Assalamualaikum, Saya ingin bertanya tentang penggunaan perkataan condong (italic). Perlukah diitalikkan untuk pernyataan dari orang terdahulu / buku lain. Contoh: 1) ...daripada Abdullah r.a. katanya: Turun ayat 2-3 surah at-Talaq... 2)Rasullah bersabda: Makanlah... 3) Menurut al-azdi dan al-Daraqutni: Beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya. 4)...seperti yang dinyatakan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak: Hadis ini adalah hadis sahih isnadnya... Bolehkah saya italikkan semua ayat selepas titik bertindih untuk keempat-empat contoh di atas? Contoh lain: ...Muqadimah Sahih: Muhammad bin Abdullah memberitahu kepada saya daripada penduduk Meru, katanya: Saya mendengar Abdan bin Uthman berkata; Saya mendengar Abdullah bin al-Mubarak berkata; Isnad itu... (untuk contoh ayat dia atas, bolehkah saya italikkan ayat bermula dari 'Muhammad bin Abdullah hingga keseluruhan ayat seterusnya? Saya keliru kerana dalam satu dialog terdapat riwayat dari beberapa perawi - katanya,katanya etc) Harap pihak DBP dapat menjelaskan kekeliruan tersebut. Sekian, terima kasih. | Tidak perlu diitalikkan petikan tersebut, kecuali petikan daripada bahasa asing. Contohnya: Pelakon itu menuturkan kata-kata Hamlet: To be or not to be. | Tatabahasa | 29.12.2014 |
Salam sejahtera, Terima kasih atas jawapan terdahulu. Lalu, jawapan untuk soalan no. 2 saya ialah...?: 2) Antara 'pembedahan torasik' (dalam Kamus Inggeris-Melayu untuk 'thoracic surgery') dan 'bedah toraks' (dalam Kamus Istilah untuk 'thoracic surgery'), adakah kedua-dua ini betul dan boleh digunakan? Sekiranya kedua2nya betul, apakah rasionalnya? Bolehkah saya nyatakan sebagai tiada perbezaan, kedua-duanya betul, dan hanya beza takrifan kamus? Mohon penjelasan lanjut. Terima kasih. | Kedua-dua istilah tersebut sama, cuma berbeza dari segi pembentukan kata. | Istilah | 07.02.2012 |
pertanyaan saya bertarikh 9.8.2022 belum dijawab oleh pihak tuan dalam tempoh masa yang telah dijanjikan iaitu dua hari dari tarikh soalan diajukan. | Kami mencadangkan padanan berikut “Kehadiran pegawai tuan ke program ini adalah untuk berkongsi maklumat program bahasa yang telah dijalankan di organisasi tuan.” Mohon rujuk pada PRPM atau klik FAQ melalui laman web KNDBP untuk koleksi soalan KNB yang terdahulu sebagai panduan. | Lain-lain | 13.08.2022 |
Mengikut saranan nasihat yang terdahulu, "untuk" boleh digunakan pada pangkal ayat, tapi semua contoh yang diberikan sama iaitu "Untuk makluman…" Bagi terjemahan ayat bahasa Inggeris di bawah, bolehkah "untuk" digunakan di pangkal ayat atau ayat tersebut perlu diubah susunannya? To stay aloft and travel long distances, he must learn to ride the wind. Terjemahan yang sesuai: 1) Kondor perlu belajar meluncur angin untuk kekal terapung dan mengembara jauh. 2) Untuk kekal terapung dan mengembara jauh, kondor perlu belajar meluncur angin. Adakah ayat (2) salah dari segi tatabahasa? Terima kasih. | 1. Kondor perlu belajar meluncur angin untuk kekal terapung dan mengembara jauh. 2. Untuk kekal terapung dan mengembara jauh, kondor perlu belajar meluncur angin. Kedua-dua ayat ini betul, ayat pertama susunan biasa dan ayat kedua susunan songsang. Perkataan "untuk" pada pangkal ayat, lazimnya digunakan dalam susunan songsang. | Tatabahasa | 02.02.2022 |
Berikut beberapa pertanyaan tambahan dari saya. 7. Mengapa kata “selsius” tidak ada di dalam kamus? Apakah alasan DBP menggunakan ejaan bahasa Inggris iaitu “celsius”? 8. Adakah lagu boleh dianggap atau dikategorikan sebagai salah satu bentuk syair? 9. Adakah kata “rentan” boleh digunakan untuk hal-hal selain dari penyakit? Seperti contoh, “Indonesia merupakan negara rentan gempa bumi kerana kedudukan geografinya yang berada di kawasan lingkaran api pasifik.” Dalam bahasa Indonesia, terdapat kata “rawan” yang bererti mudah menimbulkan gangguan keamanan atau bahaya. 10. Mengapa kata “iya” tidak terakam di dalam kamus Dewan? Mengapa DBP menggunakan ejaan “ia”? Sedangkan kata “ia” juga mempunyai maksud yang lain. Pada hemat saya, lebih wajar sekiranya ejaan “iya” digunakan dan dirakamkan dalam kamus Dewan untuk mewujudkan perbezaan antara “ia” yang bermaksud “ya” dan “ia” yang bermaksud kata ganti nama. Mohon dipertimbangkan. 11. Adakah bahasa Melayu klasik yang berkembang sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka menggunakan dialek Melayu baku atau dialek Johor-Riau? 12. Siapakah yang mencipta sebutan/dialek baku bahasa Melayu? Kerana ada yang mengatakan bahawa Raja Ali Haji adalah orang yang pertama kali mewujudkan dan menyusun penyebutan baku untuk bahasa Melayu. Mohon jawaban dari pihak DBP untuk kesemua 12 pertanyaan berikut. Terima kasih. | 7. Selsius tidak terakam di dalam kamus kerana ejaan yang disepakati oleh MABBIM ialah Celsius. Kependekan C juga digunakan bagi maksud Celsius atau Centigrade yang selaras dengan skala sukatan antarabangsa. 8. Sesebuah lagu boleh dikategorikan sebagai salah satu bentuk syair jika memenuhi ciri-ciri puisi tradisional tersebut. 9. Makna kata rentan yang terakam dalam kamus terbitan DBP masih berkenaan penyakit. Jika kata tersebut telah meluas digunakan dan difahami oleh masyarakat bagi maksud yang lain, secara lazimnya akan dirakamkan sebagai peluasan makna. 10. Kata ia bagi maksud ya telah terakam dalam kamus DBP sejak tahun 1970 lagi. Cadangan untuk menukar ia dengan ejaan iya bagi membezakan dengan makna ia (kata ganti nama) akan dipertimbangkan dan diputuskan bersama-sama pakar bahasa. 11. Bahasa Melayu klasik pada zaman Kesultanan Melayu Melaka tidak menggunakan bahasa Melayu baku. Pelbagai dialek/bahasa sukuan dalam rumpun Melayu digunakan sebagai medium penyampaian maklumat di rantau ini. 12. Di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan perancang bahasa yang menjalankan fungsi penubuhannya, termasuk pengekodan bahasa kebangsaan supaya menghasilkan ejaan dan sebutan yang baku atau standard. Usaha ini dilaksanakan oleh petugas DBP dengan kerjasama pakar bahasa dan pakar bidang, disokong oleh ilmu yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh hebat yang terdahulu. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 3-40). | Lain-lain | 07.06.2023 |
Saya merujuk penggunaan perkataan dalam 'RUKUN NEGARA' PELITA BAHASA Mei 2011 m.s.54 (dan dalam keluaran bulan-bulan terdahulu) 1. bolehkah perkataan 'di kalangan' telah diubah menjadi 'dalam kalangan' (dot pertama) 2. 'di mana' (dot kedua) masih dikekalkan? 3. 'bersama' (dot ketiga) kenapa tidak 'bersama-sama' 4. perkataan 'bersama' - tertinggal dalam RUKUN NEGARA tulisan jawi (DOT 3) | Untuk makluman saudara, ketiga-tiga perkataan/frasa tersebut disalin dan dikekalkan ejaannya seperti teks asal Perisytiharan Rukun Negara. Walau bagaimanapun tidak semua perkataan/frasa tersebut betul dari aspek tatabahasa. Frasa 'dalam kalangan' adalah lebih penggunaannya daripada 'di kalangan' kerana kata di digunakan di hadapan kata nama yang merujuk tempat dan masa, sedangkan kalangan bermaksud lingkungan atau golongan (tiada kaitan dengan tempat atau masa). Frasa 'di mana' tidak digunakan dalam ayat penyata, sebaliknya digunakan dalam ayat tanya yang merujuk tempat. Perkataan 'bersama' sama maknanya dengan 'bersama-sama'. Terima kasih atas makluman tuan dalam soalan ke-4 dan hal ini akan saya kemukakan kepada pihak yang berkenaan. | Tatabahasa | 16.05.2011 |
NOTIS DENGAN TINDAKAN: MENGADAKAN TONG SAMPAH JENIS MUDAH ALIH Dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas. 2. Dukacita dimaklumkan, berdasarkan pemantauan pegawai dan makluman dari konsesi kutipan sisa pepejal seliaan pihak Majlis mendapati, pengurusan sisa buangan dirumah sampah iaitu sisa domestik (sisa kantin) masih berulang dan tidak diurus dengan baik. Perkara ini telah diingatkan melalui notis terdahulu berkaitan untuk mengadakan tong sisa dan mengasingkan lokasi antara sisa domestik (sisa kantin) dengan sisa asrama. 3. Sehubungan itu, pihak tuan dimohon dalam tempoh empat belas (14) hari untuk mengadakan tong sampah jenis mudah alih berkapasiti 1100liter untuk pengurusan kutipan sisa domestik (sisa kantin) sahaja oleh pihak Majlis dan menyemak semula perjanjian tuan dengan pihak kontraktor kebersihan sekolah yang perlu menguruskan baki sisa dari asrama untuk dilupuskan ke lokasi yang dibenarkan oleh pihak Majlis. 4. SILA AMBIL PERHATIAN, bagi melicinkan proses kutipan sisa pepejal di tempat tuan, pihak tuan kehendaki untuk mematuhi kehendak notis ini dan pihak Majlis boleh menjalankan aktiviti penguatkuasaan berhubung perkara tersebut. Kerjasama dari pihak tuan berhubung perkara ini amatlah dihargai. | Tiada soalan yang dikemukakan melalui platform ini. Untuk makluman tuan, DBP menyediakan khidmat penyemakan dokumen berbayar bagi teks/dokumen yang panjang. Tuan boleh meng-e-melkan teks ini kepada nawal@dbp.gov.my dalam format langkau dua baris (double spacings), fon tulisan 12 dan jenis tulisan Arial, serta fail dihantar dalam bentuk MS-Word dan PDF, dengan kelarasan (justified). Pihak kami akan menyediakan sebut harga. | Penyemakan dan penterjemahan | 11.03.2025 |
Assalammualaikum tuan/puan. Saya adalah penyelidik yang sedang mengkaji istilah-istilah Melayu lama yang sudah jarang digunakan. saya secara khusus sedang mencari data korpus atau penggunaan istilah "manai" yang asli sifatnya. selain itu saya juga mencari definisi dari istilah tersebut. sejauh pencarian saya, tiada sebarang kamus yang mempunyai entry ini. yang ada hanyalah "manai berumpun". Saya hanya menemukan entry "manai" tersebut di dalam korpus DBP. Saya ingin bertanya, sekiranya saya ingin menggali lebih dalam tentang istilah ini, ke manakah rujukan yang saya perlu cari? adakah buku, jurnal, atau kamus yang perlu saya rujuk? | 1. Bagi menambah korpus penggunaan kata manai, saudara boleh memperolehnya daripada https://mcp.anu.edu.au/Q/standard.html. 2. Maklumat tentang makna kata ini terrakam dalam kamus terbitan DBP, misalnya dalam Kamus Dewan (1970) dan Kamus Dewan Perdana (2020). Kamus-kamus terdahulu seperti Kamus Wilkinson juga boleh dirujuk. 3. Maklumat lain bolehlah digali dengan membuat rujukan di perpustakaan. | Makna | 30.11.2024 |
Peluncuran dan Pelancaran Perkataan peluncuran dengan maksud yang sama dengan pelancaran, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian. Sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya. Dalam konteks ini, perkataan peluncuran mengalami peluasan makna. Sama halnya dengan perkataan pelancaran. Dahulunya, perkataan ini tidak digunakan untuk merujuk kepada hal atau perbuatan melancarkan produk atau program. Berdasarkan data penggunaannya, makna ini baru dirakamkan dalam kamus paling mutakhir DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana yang terbit pada tahun 2020. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. Sehubungan dengan perkara tersebut, hamba tidak mendapati "... makna ini baru dirakamkan dalam kamus paling mutakhir DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana yang terbit pada tahun 2020" tiada dalam Kamus Dewan Perdana ms 1367. Sila berikan pencerahan tentang perkara ini. Sekian, terima kasih. | Makna baharu yang layak untuk dimasukkan (mengikut piawaian yang telah ditetapkan DBP) akan terakam dalam kamus terbitan DBP yang seterusnya. Untuk makluman tuan, pihak kami sedang mengumpulkan kata dan makna baharu setiap hari (termasuk makna baharu "peluncuran") untuk menjadi calon kata masukan atau makna baharu dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua. "... makna ini baru dirakamkan dalam kamus paling mutakhir DBP..." ini merujuk kata "pelancaran" (kata yang menjadi contoh perbandingan) yang membawa makna merujuk kepada hal atau perbuatan melancarkan produk atau program. Kamus terdahulu tidak merakamkan makna ini. Justeru berkaitan hal tersebut, masyarakat juga boleh menyumbang atau membuat cadangan kata atau makna baharu melalui Gerbang Kata; Saran Kata di http://ekamus.dbp.gov.my/DaftarKata.aspx. yang dipautkan di Pusat Rujukan Persuaratan Melayu (PRPM). | Makna | 05.07.2024 |