| Tumpang tanya, di bahagian rekod pertanyaan memang yang disenaraikan soalan yang telah dijawab sahaja ke? Soalan baru yang belum dijawab memang tak keluar di situ ke? Atau, memang soalan yang saya hantar tadi sebenarnya tak berjaya dihantar ke sistem DBP walaupun ada makluman beritahu kata "Soalan anda telah kami terima. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami."? | Selamat Sejahtera. Sila log masuk akaun KNDBP dan klik "Rekod Pertanyaan" untuk melihat senarai pertanyaan dan status soalan tersebut. Pertanyaan yang baru dihantar juga boleh dilihat semula dalam rekod pertanyaan. | Lain-lain | 12.12.2023 |
| Terima kasih untuk nasihat sebelum ini di mana Hibah Takaful adalah perkataan yang betul untuk digunakan dalam Bahasa Malaysia (rujuk tangkap layar yang dilampirkan). Soalan saya seterusnya - Adakah Hibah Takaful boleh digunakan juga dalam Bahasa Inggeris atau ada perkataan lain yang lebih tepat di dalam Bahasa Inggeris, misalnya Takaful Hibah? Bantuan DBP adalah amat dihargai. | Penggunaan dalam bahasa Inggeris adalah di luar bidang kuasa DBP, melainkan istilah yang telah disediakan padanan dalam dwibahasa. | Lain-lain | 18.09.2025 |
| Terima kasih atas jawapan kepada soalan saya: Bagaimanakah ejaan yang betul, Bahasa Melayu atau bahasa Melayu? Contoh ayat: Raju mahir bertutur dalam Bahasa/bahasa Melayu. Mengapakah perkataan bahasa dalam ayat itu tidak dieja dengan huruf besar (Bahasa Melayu) ? | Ejaan dan ayat yang betul ialah “Raju mahir bertutur dalam bahasa Melayu”. Frasa “Bahasa Melayu” yang dieja dengan huruf B dan M besar bagi merujuk mata pelajaran di sekolah. | Ejaan | 05.09.2023 |
| terima kasih di atas peringatan atau terima kasih di atas pengingatan | Terima kasih atas peringatan. | Lain-lain | 09.03.2023 |
| saya terima satu surat, senarai edaran berkelat. mohon penjelasan lanjut. | Sila kemukakan soalan yang lebih jelas bagi memudahkan kami memberikan jawapan yang bersesuaian. | Tatabahasa | 17.10.2023 |
| Mengapakah "terima kasih" kata majmuk rangkai kata bebas, bukannya istilah khusus? | “Terima kasih” bukan merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah tertentu. Contoh istilah khusus dalam bidang ilmiah ialah “graf terarah”. Oleh hal yang demikian, “terima kasih” merupakan kata majmuk daripada rangkai kata bebas. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 133-134. | Tatabahasa | 02.11.2024 |
| Salam sejahtera, antara ayat berikut yang manakah penggunaan yang betul? Ia merupakan ayat yang terpapar di bunting untuk menyatakan penghargaan kepada pelanggan kami. 1. Terima kasih atas 2 tahun bersama 2. Terima kasih untuk 2 tahun bersama | Teks yang sesuai digunakan ialah “Terima kasih untuk 2 tahun bersama-sama kami”. | Tatabahasa | 15.08.2024 |
| Mohon pencerahan berkenaan didahului: Kerjasama tuan dalam hal ini amatlah dihargai dan "didahului" dengan ucapan ribuan terima kasih. kerjasama tuan dalam hal ini amatlah di dihargai dan pihak kami mendahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih. Semakan saya menggunakan kamus dewan 4 ,perkataan didahului tidak wujud. Mohon Juga pencerahan sama ada perkataan mendahului, didahulukan ....wujud.Sekian, terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, terdapat perkataan “didahului”, “mendahului” dan “didahulukan”. Antara maksud perkataan “didahului” dan “mendahului” seperti yang berikut: - Melepasi (seseorang atau sesuatu) dan berada di hadapan.
- Melebihi atau mengatasi seseorang atau sesuatu dari segi bilangan, markah, prestasi dan sebagainya yang diperoleh.
- Melakukan sesuatu lebih awal atau lebih cepat daripada seseorang atau sesuatu.
- Berlaku atau wujud sebelum atau lebih awal daripada sesuatu yang lain.
- Menduduki tempat paling atas dalam (senarai, carta dan sebagainya).
- Memberikan keutamaan pada sesuatu berbanding dengan yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, muka surat 466. | Makna | 10.12.2023 |
| Assalamualaikum, terima kasih didahulukan kerana sudi membaca dan menjawab pertanyaan saya. Saya ingin meminta saranan dan khidmat nasihat mengenai frasa "Pelaksanaan Kelestarian Kewangan". Setahu saya, lestari bermaksud kekal maka agak kurang sesuai digunakan dalam konteks kemajuan atau kecemerlangan atau penjanaan kewangan. Adakah wujud perkataan kebih sesuai untuk digunakan bagi menggantikan perkataan lestari dalam ayat tersebut? Sekian terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, lestari bermaksud dalam keadaan tidak berubah daripada yang asal atau tetap pada tahap yang tertentu. Isunya adakah penggunaan perkataan "kelestarian" dalam konteks Pelaksanaan Kelestarian Kewangan bermaksud sedemikian? Hal kewangan lazimnya dikaitkan dengan pengukuhan atau kemampanan. Pengukuhan bermaksud perihal menjadikan sesuatu itu kukuh/teguh, manakala kemampanan bermaksud (berkenaan ekonomi) mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik dalam jangka masa panjang. | Tatabahasa | 28.12.2023 |
| Assalamualaikum, Mohon maklumat anggaran jumlah entri daripada sumber Dialek Perak yang dimuatkan dalam Kamus Dewan Perdana (2020), Anggaran sahaja.Terima kasih. | Waalaikumussalam, Anggaran entri berlabel dialek Perak dalam Kamus Dewan Perdana: 582 entri Terima kasih. | Lain-lain | 05.05.2024 |