Jelaskan konsep metafora secara meluas. Boleh kongsikan senarai bacaan yang terkait dengan aspek metafora? Senaraikan buku atau artikel yang terkait dengan penggunaan metafora dalam penulisan. | Metafora merupakan gaya bahasa kiasan atau perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa kata atau frasa tersebut atau makna sebenar perkataan berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan yang biasa terdapat dalam sajak/puisi. Sifat gaya bahasa ini ringkas, padat, tersusun rapi dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Jenis-jenis Metafora ialah (1) metafora implisit -pengucapan yang mengandungi unsur-unsur bandingan yang memang tersirat sifatnya;(2) metafora rancu - penggunaan /percampuran dua atau lebih unsur metafora dalam sesuatu pernyataan: (3) metafora usang - metafora atau kiasan yang tidak lagi mempunyai keaslian penyairnya, contoh 'merpati putih' dan 'bendera putih'. Antara buku yang berkaitan: (1) Metafora Melayu:Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk epistemologinya,Hassan Ahmad, 2003; (2) Metafora:kumpulan Cerpen, Rustamaji Susanti,2004. Kami mencadangkan puan ke perpustakaan termasuk Pusat Dokumentasi Melayu, DBP untuk membuat rujukan. | Makna | 11.02.2014 |
Ahmad Suyuti KHA 6.30 PTG selamat sore, saya mahu bertanya terkait padanan istilah. sudah adakah senarai istilah semasa (padanan istilah baharu Inggeris-Melayu)? semacam swafoto untuk "selfie" dan semacamnya. adakah senarai yang bisa saya rujuk? mohon informasinya. terima kasih. | Tuan, istilah semasa DBP disebarkan dalam pelbagai medium termasuklah majalah keluaran DBP, Facebook DBP dan media elektronik seperti radio dan televisyen. | Istilah | 14.09.2017 |
Adakah kata 'Malaysiana' akan dimasukkan dalam kamus baharu dbp? (Malaysiana - apa - apa yang terkait Malaysia). | Setiap kata yang dimasukkan dalam kamus akan melalui proses pemilihan dan saringan yang standard. Fungsi kamus adalah untuk merakam perkataan yang lazim digunakan oleh masyarakat. | Lain-lain | 25.12.2018 |
Assalamualaikum wbt., Tuan, Bolehkah saya membuat semakan desertasi/tesis saya dengan bantuan khidmat daripada DBP..? Makluman Tuan, desertasi/tesis saya adalah di dalam Bahasa Melayu...Mungkin juga ada beberapa masalah terkait dengan penggunaan bahasa,ejaan dan struktur ayat yang tidak betul dan tidak sesuai untuk digunakan... Oleh yang demikian, sekiranya pihak Tuan boleh menyediakan khidmat untuk semakan tersebut, amatlah saya harapkan.. Terima kasih. | (1) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada menyediakan perkhidmatan penyemakan penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi dan umum, termasuk tesis. (2) Kadar bayaran yang dikenakan ialah RM6.00 untuk satu halaman. (3) Tempoh masa yang diambil bergantung atas persetujuan antara pihak anda dengan DBP. (4) Sila kemukakan permohonan anda kepada Encik M. Azahari bin Edin, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Permohonan boleh dikemukakan kepada beliau melalui e-mel azahari@dbp.gov.my. atau telefon 03-21479111 untuk perbincangan lanjut. | Lain-lain | 17.10.2017 |
Apakah "Barb Outlet" dalam bahasa Melayu? ia adalah komponen dalam mesin oksigen. Yang pasti ia bukanlah "cangkuk" kerana ia tidak berbentuk seperti cangkuk | Kami mencadangkan istilah "barb outlet" diterjemahkan sebagai "saluran keluar ruit", "saluran keluar terkait" atau "alur keluar lekap". Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 20.08.2021 |
Adakah ayat-ayat di bawah dikategorikan sebagai ayat aktif tak transitif: 1. Sarah menjeling manja ke arah kami apabila namanya dipanggil. 2. Saya yakin bahawa berita itu sungguh mendebarkan anda. | Kedua-dua ayat ini ialah ayat majmuk dan tidak terkait dengan contoh ayat aktif tak transitif. | Tatabahasa | 08.10.2015 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang frasa 'serampang dua mata'. Kamus menyatakan ia ada dua makna. Pertama, kiasan yang membawa maksud sesuatu dasar/program yang mempunyai dua matlamat/kepentingan/objektif. Kedua, ia peribahasa yang bermaksud orang yang menyebelahi dua pihak yang berlawanan. Terkait maknanya sebagai peribahasa, adakah 'serampang dua mata' digunakan untuk konotasi positif atau negatif? Kerana, apabila membaca takrif iaitu orang yang menyebelahi dua pihak berlawanan, timbul ketaksaan sama ada 'orang' itu pembelot (yakni membeloti kedua-dua pihak, membawa konotasi seorang oportunis) atau pendamai yang memihak kepada kedua-duanya bagi tujuan menjadi pengantara neutral yang bantu mudahkan pencapaian kata sepakat. | Makna peribahasa serampang dua mata diberikan dengan jelas dalam Kamus Dewan Edisi Keempat seperti yang anda rujuk. Kebijaksanaan intelektual Melayu sememangnya sangat terserlah dalam peribahasa yang boleh ditafsir pelbagai mengikut kesesuaian konteks penggunaan. Namun, serampang dua mata bukan pembelot kerana pembelot merujuk pada orang yang lari lalu memihak kepada pihak musuh, bukannya memihak kepada kedua-dua pihak yang berlawanan. | Makna | 05.01.2019 |
Assalam, saya nak tanya, apakah perkataan yang betul untuk Draf ataupun deraf? Dan kalau draf merupakan perkataan yang betul, kenapa terdapat syarikat penerbitan akhbar yang masih menggunakan perkataan deraf? Adakah ia melibatkan laras bahasa yang digunakan? | 1. Ejaan yang betul ialah "draf". 2. Syarikat yang menggunakan ejaan "deraf" mungkin telah terbiasa dengan ejaan lama kata tersebut. 3. Tiada laras bahasa yang terkait. | Ejaan | 21.11.2024 |
Mohon pandangan berkaitan terjemahan yang telah saya buat, adakah ia menepati dalam konteks pendidikan. 5 ISTE STANDARD FOR EDUCATION LEADER (5 Standard ISTE untuk Pemimpin Pendidikan) 1. Equity and Citizenship Advocate = sokongan ekuiti dan warga digital Leaders use technology to increase equity, inclusion, and digital citizenship practices. 2. Visionary Planner = perancang berwawasan Leaders engage others in establishing a vision, strategic plan and ongoing evaluation cycle for transforming learning with technology. 3. Empowering Leader = kepimpinan memperkasa Leaders create a culture where teachers and learners are empowered to use technology in innovative ways to enrich teaching and learning. 4. Systems Designer = merekabentuk sistem penambahbaikan Leaders build teams and systems to implement, sustain and continually improve the use of technology to support learning. 5. Connected Learner = model pembelajaran Leaders model and promote continuous professional learning for themselves and others | Kami mencadangkan padanan terjemahan seperti berikut: 1. Equity and Citizenship Advocate = Penyokong Ekuiti dan Kewarganegaraan atau Pendukung Keadilan Kerakyatan 2. Visionary Planner = Perancang Berwawasan 3. Empowering Leader = Pemimpin Pemerkasaan 4. Systems Designer = Pereka Bentuk Sistem 5. Connected Learner = Pelajar Terhubung atau Pelajar Berkait/Terkait Semua padanan terjemahan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 04.06.2021 |