| Salam 1 Malaysia, saya sudah merujuk tatabahasa dewan seperti yang disarankan oleh pihak tuan, tetapi kemusykilan saya ialah 'ter' yang dinyatakan dalam contoh hanya merujuk kepada 'ter' yang bergabung dengan kata dasarnya kata adjektif sahaja yang tidak boleh menerima kata penguat darjah penghabisan (ter-, paling dan sekali) contonya * tercantik sekali, *paling pandai sekali. Pandai dan cantik memang kata adjektif namun perkataan 'nama' (Kata Nama), 'desak'(Kata Kerja), yang bergabung dengan imbuhan 'ter-' menjadi 'ternama' dan 'terdesak' tidak dijelaskan berhubung dengan hukum penggunaannya. Persoalannya, adakah 'ter' dalam kes ini berfungsi sebagai imbuhan dan bukannya kata penguat dan peranannya hanya menukar golongan kata nama (nama) menjadi kata adjektif (ternama) dan kata kerja (desak) menjadi kata adjektif (terdesak). Jika ini berlaku, maksudnya, 'ternama' dan 'terdesak' boleh menerima kata penguat paling dan sekali contohnya 'paling ternama' dan 'terdesak sekali'. Saya bertanyakan soalan ini kerana saya perlu menjelaskannya kepada pelajar saya. Terima kasih. | Lihat semula buku Tatabahasa Dewan, halaman 170, di bawah tajuk Awalan teR-. Jelas dinyatakan dalam halaman berkenaan ternama dan terdesak hasil gabungan awalan teR- dan kata nama/kata kerja, dan bukannya darjah penghabisan seperti tercantik. Lihat juga halaman 244 dan bezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. | Tatabahasa | 30.01.2013 |
| salam sejahtera, saya ada kemusykilan tentang imbuhan 'ter' yang dikatakan hanya bergabung dengan kata adjektif, contohnya 'tercantik ' tidak boleh hadir bersama-sama kata penguat paling dan sekali. Persoalannya, bagaimana dengan imbuhan 'ter' yang bergabung dengan kata nama contohnya 'ternama' dan yang bergabung dengan kata kerja contohnya 'terdesak'. Bolehkah perkataan-perkataan tersebut menerima kata penguat paling dan sekali. Sekian, terima kasih. | Ada dua isu yang berbeza dalam hal ini. Pertama, awalan teR- boleh bergabung dengan kata kerja (terduduk) dan kata nama (ternama). Dan kedua ter + kata adjektif bagi mengungkapkan darjah penghabisan tidak termasuk dalam awalan teR-. Penggunaan kata adjektif yang betul ialah ter + kata adjektif (tercantik), kata adjektif + sekali (cantik sekali) dan amat/sangat/sungguh + kata adjektif + sekali (amat cantik sekali). Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 170 dan 244. | Tatabahasa | 29.01.2013 |
| Apakah terjemahan yang sesuai digunakan bagi perkataan “noted”? | Maksud noted adalah terkenal, ternama dan termasyhur seperti contoh ayat, an island noted for its beautiful beaches yang bermaksud sebuah pulau yang terkenal kerana pantainya yang indah-indah. Walau bagaimanapun, makna noted sebagai “maklum” sering juga digunakan dalam konteks bahasa percakapan. Penggunaan padanan bahasa Melayu yang sesuai bagi perkataan noted perlulah mengikut konteks dalam ayat dan bidang tertentu. Sila rujuk Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Melayu Edisi Kedua (DBP, 2002), halaman 822. | Penyemakan dan penterjemahan | 20.02.2025 |
| Syahril mudah mendapat pekerjaan di syarikat yang bernama itu kerana dia boleh bertutur dalam dwi bahasa ,Tuan,Saya nak bertanyakan soalan Apakah kesalahan imbuhan di atas ? | Syahril mudah mendapatkan pekerjaan di syarikat yang ternama itu kerana dia boleh bertutur dalam dwibahasa. | Tatabahasa | 08.01.2021 |
| b. Kenal pasti kesalahan penggunaan kata yang terdapat dalam ayat. Kemudian, betulkan kesalahan tersebut. Demi Keda 1. Buah-buahan yang telah masak ranum itu jatuh bergelimpangan di atas tanah. 2. Ibu memasukkan telur kuning ke dalam mangkuklalu memukulnya hingga kembang. 3. Penyakit aneh yang dideritai datuk memerlukan perhatian dan kajian doktor pakar. 4. Faiz menemukan barang kemas yang tidak ternilai harganya itu secara tidak sedar. 5. Adegan pihak polis kejar-mengejar perompak itu telah dirakam oleh orang ramai. 6. Ibu menegur abang yang memakai pakaian compang-camping ke majlis kenduri. Syarikat ternama itu berjaya kerana mengutamakan penghasilan dalam setiap bidang. 7. 8. Adik amat gembira sekali kerana dihadiahkan rantai kunci yang berumbai-rumbai. 9. Saya suka hati terhadap kanak-kanak itu kerana keletahnya yang manja dan bersahaja. 10. Kulitnya terasa amat perit sekali apabila terkena air kerana lukanya masih belum pulih sepenuhnya. Minta semak kegramatisan ayat di atas | Untuk penyemakan dokumen atau teks yang panjang, DBP menyediakan khidmat penyemakan dokumen/teks dalam bahasa Melayu secara berbayar. Untuk pertanyaan tuan/puan, kami menggalakkan tuan/puan membuat penyemakan langsung dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) halaman 432 hingga 575. Walau bagaimanapun, kami memberikan dua contoh penambahbaikan terhadap pertanyaan tersebut: - Ibu memasukkan kuning telur ke dalam mangkuk, lalu memukulnya hingga kembang.
- Saya gembira melihat keletah kanak-kanak yang manja.
| Tatabahasa | 22.01.2026 |