| Salam.. saya terpanggil untuk bertanyakan pandangan DBP berkaitan dengan konsep kebersamaan dalam kepelbagaian. Merangkumi ruang lingkup wanita dan masyarakat di Malaysia. | Maklumat yang diperlukan tidak ada dalam pangkalan data kami. Soalan yang berbentuk tugasan ini memerlukan kajian dan pembacaan yang banyak untuk menyelesaikannya. Sila rujuk buku/makalah yang berkaitan. | Lain-lain | 26.07.2012 |
| Saya rasa terpanggil untuk bertanya samada perkataan Pegawai Waran atau Pegawai Waren yang seharusnya digunakan. Saya telah merujuk kepada Kamus Dewan dan mendapati hanya mendapati terjemahan perkataan Waran sahaja. Akan tetapi, Laman Web Rasmi TLDM menggunakan perkataan Waren. Persoalan saya adakah Waran dan Waren merupakan 2 perkataan yang berbeza maksudnya? Mana satu yang betul dari segi ejaan? | Waran bermaksud surat kuasa yg dikeluarkan oleh majistret, biasanya kpd pegawai polis utk membolehkannya menangkap seseorang atau menggeledah (merampas) harta, dll (rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat). Oleh itu yang betul ialah Pegawai Waran. | Makna | 07.08.2007 |
| Assalamualaikum dan Salam Sejahtera warga DBP. Saya terpanggil untuk menulis komen di sini setelah melihat satu iklan di sebuah akhbar tempatan. Jujurnya saya agak terkilan apabila dalam penulisan bahasa, perkataan ceduk digunakan. Terbaharu saya lihat perkataan 'wayarles' diguna dalam iklan Bahasa Malaysia. Apabila kamus DBP (atas talian) dirujuk, didapati perkataan itu disenaraikan. Agak ralat perkara ini berlaku kerana sudah jelas perkataan itu bukan berasal daripada Bahasa Malaysia. Bukan ke sebelum ini kita guna perkataan "tanpa wayar"? Kenapa "les" di dalam perkataan "wayarles" disamakan dengan perkataan "tanpa"? Sejak bila kita ada imbuhan "les" dalam tatabahasa. Saya seorang pendidik di sebuah universiti, dan sangat menekankan penulisan tesis dalam Bahasa Malaysia yang berkualiti. Penggunaan bahasa yang diceduk ini akan merosakkan bahasa kita. Bagaimana saya nak mendidik pelajar untuk menulis dengan baik sekiranya perkataan tersebut ada dalam daftar kamus dewan. Saya perhatikan banyak perkataan ceduk mula timbul di zaman teknologi maklumat dan ini sangat menyedihkan. Kalau perkara ini diteruskan, tidak mustahil jati diri Bahasa Malaysia akan terkubur. Harap pihak DBP mengambil berat perkara ini. -Pendokong Bahasa Malaysia- | Waalaikumsalam, penggunaan istilah wayarles dan tanpa wayar diterima dalam bahasa Melayu dan juga merujuk kepada wireless. Perkataan wayarles telah lama diterima dalam bahasa Melayu kerana penggunaannya telah mantap. | Lain-lain | 20.01.2015 |
| Adakah wujud perkataan ‘pengkumur’ untuk menggantikan perkataan ‘mouthwash’? Saya terpanggil untuk menyemak setelah melihat penggunaan perkataan ini dalam satu iklan ubat kumur di media massa. Untuk imbuhan peng, apakah hukum (rules) imbuhan secara umum? Mengikut pemahaman saya, untuk perkataan bermula dengan k, huruf k digugurkan apabila imbuhan peng ditambah (prefix). Eg: kawal - pengawal. Adakah huruf k dikekalkan hanya untuk kata pinjaman? Eg: katalog - pengkatalogan. Bagaimana pula dengan perkataan kelas yang merupakan kata pinjaman inggeris ‘class’ namun menjadi pengelasan dan bukannya pengkelasan. Adakah terdapat faktor tambahan dalam kes ini? | 1. Kata pengkumur masih belum terakam dalam kamus terbitan DBP. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. Berdasarkan korpus, kata pengkumur mulut untuk ‘mouthwash’ adalah lebih tinggi kekerapannya berbanding pengumur. Dari segi semantik jika menggunakan perkataan pengumur, makna pertama yang muncul dalam minda masyarakat ialah perkaitan makna dengan kata akar umur, berbanding apabila menggunakan pengkumur, masyarakat akan terus mengaitkan makna bagi kata akar kumur. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 109, huruf p, t, k, s pertama pada kata dasar yang bercantum dengan awalan peN-, huruf pertama tersebut akan luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya dengan bunyi pertama pada kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut. Contoh: pemukul (pukul), penahan (tahan), pengarang (karang) dan penyelam (selam). 2. Huruf pertama pada kata dasar yang bercantum dengan apitan peN-…-an tidak akan luluh untuk kata pinjaman seperti penkatalogan. Contoh lain: pemprosesan (proses), pengkateran (kater), dan pemvetoan (veto). (rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 107-111) 3. Walau bagaimanapun, kata asing yang telah terserap dalam bahasa Melayu, huruf pertama kata dasarnya akan luluh apabila menerima imbuhan apitan peN-…-an. Contoh: penyeteman (setem), pengelasan (kelas), penelefon (telefon). | Tatabahasa | 08.06.2024 |
| La Alexander De Ghaza assalamualaikum dan selamat menyambut aidil adha buat admin yang bertugas terpanggil saya untuk mengunakn medium yang ada untuk bertanya DPB yang mempunyai kuasa dan organisasi yang bertanggungjawab memartabatkan Bahasa kebangsaan. saya masih keliru dengan pengunaan aidil fitri ataupun eidul fitri ? manakah yang lebih tepat ? jika boleh mengunakan eidul fitri , kenapa sebelum-sebelum ini perkataan tersebut tidak digunakan . terima kasih,moga saya dapat sesuatu melalui jawapan yang diberikan oleh pihak admin DBP | Saudara boleh ajukan pertanyaan tersebut dalam laman Khidmat Nasihat DBP. Soalan tersebut akan dijawab oleh Pemudah Cara DBP: http://sbmb.dbp.gov.my/kndbp/nb_halaman_utama.aspx Halaman Utama sbmb.dbp.gov.my | Lain-lain | 15.10.2013 |
| 1)Makna-meragau ikan -terhimbau -conggoh 2)Yang manakah betul 'terdedah kepada' atau 'terdedah pada' | 1. Kata terbitan yang betul ialah terimbau bermaksud terpanggil, perkataan conggoh tidak ada dalam sumber rujukan kami yang ada conggok bermaksud tegak (dengan kepala tidak tunduk), begitu juga perkataan meragau ikan tidak ada dalam sumber rujukan kami, sila hubungi kami semula dan nyatakan konsep serta contoh penggunaannya. 2. Frasa yang betul ialah "terdedah kepada". | Tatabahasa | 28.01.2010 |
| Saya ingin memohon pandangan pihak DBP berkaitan gantian perkataan terbaik untuk 'Pelucutan'. Untuk makluman tuan, wujud tradisi dalam perkhidmatan TLDM untuk upacara Pelucutan Tauliah atau 'decommissioning' bagi kapal-kapal TLDM yang telah lama berkhidmat. Pada hemat saya, perkataan 'pelucutan' lebih bersifat negatif. Saya terpanggil untuk mencari nama baharu bagi majlis pelucutan tauliah yang lebih bersifat positif. Contohnya, majlis penyuraian jasa bakti atau apa-apa perkataan lain yang mungkin boleh digunakan bagi majlis yang dimaksudkan. | Istilah decommissioning diterjemahkan kepada penyahtauliahan. Walau bagaimanapun pelucutan juga boleh digunakan kerana pelucutan bermaksud perihal menarik balik atau memberhentikan sesuatu. Tanggapan maksud sama ada positif atau negatif bergantung pada konteks penggunaannya. | Istilah | 22.06.2018 |
| Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Semester ini, kami telah dikehendaki melakukan penyelidikan untuk tugasan proposal kami sehingga tahun hadapan (semester akhir - 06). Saya memilih untuk mengkaji bidang pragmatik bagi menjalankan kajian fyp saya. Saya ada menyertai sebuah bengkel dbp sebelum ini, penceramah (Dr. Shamsudin Othman) ada menyebut tentang sebuah novel ni. Tajuknya lebih kurang 'Ah.' begitu seingat saya. Saya terpanggil untuk menjalankan kajian fyp dalam bidang pragmatik terhadap novel tersebut. Justifikasinya untuk saya buat pemerhatian kerelevanan kuasa bahasa dalam pragmatik. Tapi saya tak pasti benarkah tajuk novel tu. Boleh tak DBP tolong semakkan kalau kalau betul ada novel DBP yang bertajuk macam tu. Kalau tiada, tidak mengapa. Sekadar bertanya. Dan kalau boleh nak minta pandangan DBP juga tentang kajian tu, relevans ke saya nak kaji novel tu sebab pragmatiknya nak melihat apa isu yang cuba penulis bangkitkan sampai tajuknya begitu dan kesannya kepada pembaca kerana dalam bidang pragmatik kita mengkaji 'speaker's meaning' dan bukan 'sentence meaning'. Segala kerjasama amat saya hargai. Terima kasih :D | Melalui semakan kami melalui Katalog Awam dalam Talian, tidak menemukan novel Ah. Untuk melihat kesesuaian tajuk dan bidang kajian, sila berbincang dengan pensyarah/penyelia kajian puan kerana merekalah pihak yang berwenang dalam hal ini. | Lain-lain | 08.04.2017 |