Prof: 1.gambar itu tersangkut 'di' dinding atau gambar itu tersangkut pada dinding . bagaimana cara untuk menyatakan perbezaan penggunaan terhadap kedua-dua kata sendi tersebut. | Kedua-dua sendi nama "di" dan "pada" boleh digunakan dalam ayat tersebut kerana kedua-dua sendi nama tersebut hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat yang tetap. | Tatabahasa | 11.08.2009 |
1. Kami sampai agak lewat di majlis itu kerana kereta kami ______ di jalan raya akibat hujan terlalu lebat. (tersangkut, terkandas, terhimpit, terhenti). Jawapan saya ialah tersangkut. Betul? 2. Belunjur dengan berlunjur? Apakah bezanya? | 1. Kami sampai agak lewat di majlis itu kerana kereta kami terkandas di jalan raya akibat hujan terlalu lebat. 2. Kata terbitan yang betul ialah berlunjur (tidak ada perkataan belunjur). | Tatabahasa | 17.07.2011 |
1) Apakah jawapan yang sesuai bagi tempat kosong di bawah? -Layang-layang yang tersangkut pada pokok besar itu ______ apabila ditiup angin. A. terpontang-panting B. melambai-lambai 2) Apakah jawapan yang paling TEPAT bagi soalan berdasarkan gambar di bawah? | 1) Layang-layang yang tersangkut pada pokok besar itu ______ apabila ditiup angin. B. melambai-lambai 2) Apakah jawapan yang paling TEPAT bagi soalan berdasarkan gambar di bawah? Jawapan yang tepat ialah melayur. | Tatabahasa | 09.09.2013 |
Apakah jawapan yang sesuai untuk ayat ini? 1. Layang-layang yang tersangkut pada pokok besar itu ____ apabila ditiup angin. a) terpontang-panting b) melambai-lambai c) bergegar-gegar d) meliang-liuk 2. Bolehkah 'bagai lautan manusia' digunakan dalam karangan? 3. Perkataan "tuanku" bolehkah digunakan dalam karangan autobiografi. Cthnya : Tuanku menjaga aku dengan baik. | 1. Layang-layang yang tersangkut pada pokok besar itu ____ apabila ditiup angin. a) terpontang-panting b) melambai-lambai c) bergegar-gegar d) meliang-liuk jawapan= meliang liuk. 2. Bolehkah 'bagai lautan manusia' digunakan dalam karangan? Jawapan = boleh 3. Perkataan "tuanku" bolehkah digunakan dalam karangan autobiografi. Cthnya : Tuanku menjaga aku dengan baik. Penggunaan perkataan tuanku khusus kepada percakapan seseorang dengan raja dan tidak merujuk kepada tuan yang empunya. | Tatabahasa | 28.08.2012 |
"Saya ikut sunah nabi," suara Wafiq tersangkut-sangkut. (Betulkah penggunaan tanda koma itu. Atau sebetulnya adalah tanda noktah?) | Penggunaan yang betul ialah tanda noktah. | Ejaan | 10.10.2011 |
Tolong tuan tunjukkan cara betul menggunakan "berkait" dan "berkaitan" dalam sesuatu ayat? | Untuk melihat perbezaan penggunaan kedua-dua perkataan tersebut, saudara perlu melihat makna kedua-dua kata. Berkait bermaksud: i. mempunyai kait, bercangkuk hujungnya; ii. tersangkut (pada); dan iii. berkaitan (bersangkutan, berhubungan, berkenaan). Oleh itu, untuk situasi yang membawa maksud bersangkutan atau berhubungan kata berkait dan berkaitan boleh digunakan, manakala untuk situasi yang lain kata berkait sahaja yang digunakan. | Tatabahasa | 27.08.2011 |
penggunaan di dan pada Cikgu Ali menulis mutiara kata pada/di papan hitam. | Penggunaan kata sendi nama yang betul dalam ayat ini ialah pada kerana kata sendi nama "pada" digunakan bagi menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Contoh lain: berpaut pada palang besi, tersangkut pada tiang telefon, ditampal pada papan kenyataan dll. Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama/frasa nama yang menunjukkan tempat, contohnya di sekolah, di perhentian bas dll. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265 dan 274. | Tatabahasa | 03.12.2010 |
Adakah perkataan lancar digunakan dengan betul? 1. Aktiviti itu berjalan dengan lancar. 2. Dia boleh bercakap dengan lancar. 3. Perjalanan ke kampung itu lancar. 4. Kereta itu bergerak dengan lancar. | Kamus Dewan Edisi Keempat, mentakrifkan perkataan lancar sebagai terlalu pantas dan licin (pergerakan sesuatu benda, percakapan, dll), fasih (hafaz) benar, laju, tidak tersangkut-sangkut: bacaannya ~; bas itu berjalan dgn ~nya; ~ kaji kerana diulang prb kepandaian dan kemahiran didapati kerana selalu berlatih. Oleh itu, berdasarkan keterangan tersebut, contoh ayat 1-4 yang saudara kemukakan itu betul. | Tatabahasa | 11.03.2010 |
1)Suara penyayi itu sungguh merdu/gemersik semasa mendendangkan lagu irama asli. Yang mana jawapan yang betul?? 2) bagaimana hendak menerangkan cara yang mudah untuk menerangkan tentang penggunaan imbuhan me...i dan me...kan?? 3) imbuhan Memper+ kata adjektif tidak boleh ada ...kan di belakang..contohnya memperdalam...bagaimana pula dengan mempertingkatkan betul atau salah?? mempertingkat atau mempertingkatkan??? 4) layang-layang yang tersangkut pada pokok besar itu terpontang-panting/melambai-lambai/meliang-liuk/bergegar apabila angin bertiup....yang manakah jawapan yang paling tepat??? | Saudara Aidil, 1. Suara penyanyi itu sungguh merdu semasa mendendangkan lagu irama asli. 2. Imbuhan me-...-i dan me-...-kan tergolong dalam apitan kata kerja. Kata dasar yang menerima apitan me-...-i dan me-...-kan akan membentuk kata kerja. Misalnya: mem + besar + kan = memperbesarkan 3. Perkataan yang betul ialah mempertingkatkan. Hal ini kerana 'tingkat' bukan kata adjektif dan imbuhan yang betul ialah memper-...-kan. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tiada bentuk mempertingkat disenaraikan tetapi makna perkataan mempertingkatkan ada diterangkan yang membawa maksud menjadikan lebih tinggi atau lebih besar. 4. Jawapan yang tepat ialah melambai-lambai (sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui setiap maksud perkataan yang dikemukakan) | Tatabahasa | 05.08.2012 |
Bagaimanakah membezakan perkataan "menyangkut" dan "menyangkutkan" ? Adakah perbezaannya seperti ayat di bawah: a)Ali menyangkut baju. b)Ali menyangkutkan baju pada dinding. | Saudara, Perkataan menyangkut/menyangkutkan daripada perkataan 'sangkut' bermaksud 1 terletak pd sesuatu dgn berkait; bergantung: Bajunya ~ pd paku di dinding bilik tidurnya. 2 ada kaitan atau hubungan (dgn): ~ dgn perkara itu, mereka akan mengadakan mesyuarat khas. bersangkutan 1 bersangkut banyak-banyak atau banyak yg bersangkut (bkn pakaian dll). 2 bersangkut dgn (bkn hubungan atau kaitan); ada pertaliannya atau ada hubungannya antara satu dgn yg lain; bertalian. menyangkut 1 melekat pd sesuatu (kawat pd kawat, kain pd duri dsb) kerana berkait. 2 memasukkan atau membawa ke dlm sesuatu perkara (urusan dsb); melibatkan. menyangkutkan meletakkan sesuatu pd kait; menggantungkan; menggayutkan: Dia ~ bekalannya pd dahan pohon jambu. tersangkut 1 terlekat pd sesuatu; terpaut; tergantung: Layang-layangnya ~ pd dahan pokok. 2 tidak dpt bergerak atau tidak dpt keluar dgn lancar; terhenti: Kerana air bah, kami ~ di Temerloh. 3 turut terlibat dlm sesuatu perkara: Dia ~ juga dlm perompakan itu. sangkutan 1 tempat menyangkutkan sesuatu. 2 apa-apa yg mengganggu atau yg menghalang; rintangan. persangkutan hal, keadaan dsb bersangkut atau bersangkutan; pertalian; perhubungan. penyangkutan perihal, perbuatan dsb menyangkut atau menyangkutkan. penyangkut alat yg digunakan utk menyangkutkan sesuatu. Daripada makna di atas, kata menyangkut digunakan dalam konteks melekat pada sesuatu. Contoh kawat menyangkut pada kawat yang lain, manakala kata menyangkutkan pula digunakan dalam konteks meletakkan sesuatu pada sesuatu. Contoh, Ali menyangkutkan bajunya pada dinding. | Tatabahasa | 25.08.2010 |