| Apakah perbezaan di antara meteri dan meterai dan mohon contoh penggunaan perkataan tersebut di dalam ayat. Terima kasih. | Menurut data kami tiada perkataan meteri manakala meterai merujuk kepada lambang rasmi sesebuah organisasi yang dilekatkan pada dokumen, sijil, dan sebgainya sebagai tanda keabsahan atau ketulenannya, cap mohor (untuk raja-raja), segel, tera; ~ tempel Id cap yg ditampalkan sebagai tanda penerimaan wang; ~ upah Id cap sbg tanda pembayaran (upah dan lain-lain); memeterai membubuh meterai pada (sesuatu), mengecap; termeterai 1. tertera, tercap, tersegel; 2. ki tersimpul, terikat; ~ dalam hati terasa dalam hati; pemeteraian proses memeterai: perun-dingan EAEC yang dianjurkan oleh Malaysia sebagai projek bersama dan ~ tiga dokumen. (Kamus Dewan Edisi Keempat) | Makna | 24.10.2018 |
| Salam Khidmat Nasihat DBP, Saya ingin mengetahui maksud yang setepat-tepatnya peribahasa "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' dan saya juga ingin mengetahui kegunaan 'maksud' dan 'makna' Adakah betul 'maksud' untuk frasa/ayat 'makna' untuk kata/perkataan? Terima kasih | Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan bermaksud seseorang itu mesti berusaha dengan gigih semasa melakukan sesuatu dan segala kesukaran yang dihadapi perlu ditempuhi agar segala keinginan dapat diperoleh. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna didefinisikan sebagai erti atau maksud (sesuatu perkataan dll). Maksud didefinisikan sebagai 1. tujuan, hajat, kehendak, niat 2. erti yang tersimpul dalam sesuatu ayat (perbuatan dll). | Lain-lain | 27.10.2011 |
| Boleh terangkan secara ringkas,perbezaan dan persamaan antara 'pantun', 'sajak', 'puisi', 'syair', 'gurindam' dan 'seloka'? | Secara ringkas persamaan pantun, syair, seloka dan gurindam adalah dikenali sebagai puisi Melayu tradsional atau puisi lama/klasik. Manakala sajak dikenali sebagai puisi moden. Pantun terdiri daripada empat baris serangkap. Dua baris awal dikenali sebagai pembayang atau sampiran. dua baris akhir dikenali sebagai isi atau maksud. Manakala rima ujung bagi pantung empat kerat ialah a-b-a-b. Bagi syair pula mengandungi empat baris serangkap. Keempat-empat baris ini terdiri daripada isi. Rima akhir pula a-a-a-a. Seloka juga dikenali sebagai puisi tradisional yang disusun secara berangkap. Namun setiap rangkap tidak tetap, justeru rima akhir adalah bebas. Isi seloka biasanya bersifat menyindir atau mengejek seperti Seloka Pak Kaduk. Gurindam yang juga dikenali sebagai puisi lama hanya terdiri daripada dua baris serangkap. Dalam baris pertama tersimpul fikiran yang berupa soalan. dalam baris kedua pula termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi. Contoh dalam salah satu Gurindam Dua Belas karangan Pujangga Raja Ali Haji, iaitu "Jika ada tidak dilatih/Bila besar bapanya letih"/ Rima akhir pula a-a. Sajak yang dikenali sebagai puisi moden atau baru adalah bebas daripada peraturan-peraturan penciptaan berbanding puisi Melayu tradsional yang dibincangkan tadi. Oleh itu, susun baris, rangkap, dan rima adalah berdasarkan tujuan penulis atau penyair. Sifat sajak sedemikian adalah untuk memberi kebebasan kepada penulisnya untuk menyampaikan fikiran dan perasaan dengan cara yang sesuai dengan semangat sesuatu zaman. | Lain-lain | 18.05.2010 |
| Nak tanya. Puisi yang bertajuk Negaraku Permai ciptaan Khadijah Hashim ini merupakan syair ke? Saya tidak berapa jelas perbezaan antara puisi, pantun, gurindam kerana saya baru nak berjinak-jinak. | Untuk makluman, pantun, syair, seloka dan gurindam merupakan puisi Melayu tradsional atau puisi lama/klasik. Manakala sajak dikenali sebagai puisi moden. Pantun terdiri daripada empat baris serangkap. Dua baris awal dikenali sebagai pembayang atau sampiran. dua baris akhir dikenali sebagai isi atau maksud. Manakala rima ujung bagi pantung empat kerat ialah a-b-a-b. Bagi syair pula mengandungi empat baris serangkap. Keempat-empat baris ini terdiri daripada isi. Rima akhir pula a-a-a-a. Seloka juga dikenali sebagai puisi tradisional yang disusun secara berangkap. Namun setiap rangkap tidak tetap, justeru rima akhir adalah bebas. Isi seloka biasanya bersifat menyindir atau mengejek seperti Seloka Pak Kaduk. Gurindam yang juga dikenali sebagai puisi lama hanya terdiri daripada dua baris serangkap. Dalam baris pertama tersimpul fikiran yang berupa soalan. dalam baris kedua pula termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi. Contoh dalam salah satu Gurindam Dua Belas karangan Pujangga Raja Ali Haji, iaitu "Jika ada tidak dilatih/Bila besar bapanya letih"/ Rima akhir pula a-a. Sajak yang dikenali sebagai puisi moden atau baru adalah bebas daripada peraturan-peraturan penciptaan berbanding puisi Melayu tradsional yang dibincangkan tadi. Oleh itu, susun baris, rangkap, dan rima adalah berdasarkan tujuan penulis atau penyair. Sifat sajak sedemikian adalah untuk memberi kebebasan kepada penulisnya untuk menyampaikan fikiran dan perasaan dengan cara yang sesuai dengan semangat sesuatu zaman. | Sastera | 15.04.2020 |