| Untuk pengetahuan, saya akan menulis tesis sarjana berkaitan bidang sains dan kejuruteraan didalam bahasa melayu. Maka, saya ingin menghasilkan karya yang menggunakan istilah yang tepat dan struktur yang lebih sempurna agar tesis ini dapat mencerminkan keindahan bahasa melayu dalam penulisan akademik. Bagaimana pihak DBP dapat membantu saya? Mungkin ada buku atau dokumen yang boleh dijadikan rujukan. Harap dapat membantu. | Dalam penggunaan kata dan ejaan yang betul kami cadangkan saudara gunakan Kamus Dewan. Untuk mengenal pasti penggunaan istilah yang tepat kami cadangkan saudara gunakan daftar istilah dan glosari yang berkaitan seperti Istilah Kejuruteraan, DBP, 1970; Istilah Kejuruteraan Pengajian Tinggi: Bahasa Inggeris - Bahasa Malaysia, DBP, 1987; Istilah kejuruteraan : bahasa Inggeris - bahasa Malaysia, DBP, 2008; dan Kamus kejuruteraan awam, DBP, 2006. Data daripada kamus, daftar istilah dan glosari ini boleh diperoleh melalui laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan tuliskan kata/istilah yang diperlukan dalam ruangan carian spesifik dan saudara akan dapat melihat data daripada pelbagai sumber. Untuk memastikan ayat yang digunakan adalah betul rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Lain-lain | 17.07.2011 |
| Saya merupakan pelajar sarjana dalam bidang sains komputer,Namun, untuk tesis sarjana, saya telah menggabungkan komputer dan bahasa yakni dalam bidang komputeran linguistik. oleh itu, saya memerlukan data semua perkataan melayu di mana setiap perkataan itu mestilah mempunyai jenis misalnya perkataan makan berjenis kata kerja.Harap pihak DBP dapat membekalkan keperluan itu pada saya.terima kasih. | Kamus Dewan belum lagi memasukkan kelas kata dalam setiap entrinya. Bahagian Perkamusan, DBP sedang menyiapkan Kamus Besar yang memasukkan kelas kata bagi setiap entri. Oleh itu, data tersebut tidak dapat kami sebarkan lagi kerana masih di peringkat draf. Sila rujuk kamus-kamus terbitan lain atau buku yang berkaitan untuk rujukan saudara. | Lain-lain | 15.01.2008 |
| 1. saya memerlukan makna KEPEMIMPINAN dan KEPIMPINAN? 2. apakah perbezaaan antara KEPEMIMPINAN dan KEPIMPINAN? 3 beri contoh kedua-dua perkataan tersebut. Ini kerana saya sedang membuat Tesis Sarjana Sains Politik dari UKM. Pensyarah minta saya terangkan apa perbezaan antara Kepemimpinan dan Kepimpinan. pohon bantuan. | | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Kepemimpinan pula bermaksud keupayaan (kebolehan, pencapaian, dan sebagainya) sebagai pemimpin, daya (tindak-tanduk, kecekapan, dan sebagainya) seseorang pemimpin. | | Makna | 26.11.2013 |
| Saya merupakan pelajar peringkat pasca ijazah sarjana dalam bidang Fakulti Perubatan jurusan Sarjana Sains Kesihatan Masyarakat. Syarat wajib lulus adalah menghasilkan satu kajian "Thesis" di mana laporan perlu dihasilkan dalam Bahasa Melayu. | Untuk makluman, DBP tidak menjalankan kerja penterjemahan atau menawarkan khidmat penyemakan tesis. | Lain-lain | 07.05.2025 |
| Saya pelajar peringkat ijazah sarjana di UKM dalam proses menyiapkan tesis saya. Persoalan saya berkaitan dengan pengistilahan yang saya gunakan untuk digunakan dalam penulisan malah dalam kertas kerja yang bakal saya bentangkan di persidangan mahupun yang diterbitkan di dalam jurnal. Saya juga ingin memetik (quote) penjelasan tentang istilah ini di dalam kajian saya, agar sekiranya terdapat rujukan yang akan datang boleh menggunakan istilah yang sama. Bahasa Inggeris /Bahasa Malaysia Technological Pedagogical Content Knowledge/ Pengetahuan Teknologi Pedagogi Kandungan* Technological Pedagogical Knowledge/Pengetahuan Teknologi Pedagogi Technological Content Knowledge/Pengetahuan Teknologi Kandungan Pedagogical Content Knowledge/Pengetahuan Pedagogi Kandungan* Technological Knowledge/Pengetahuan Teknologi Pedagogical Knowledge/Pengetahuan Pedagogi Content Knowledge/Pengetahuan Kandungan Untuk pengetahuan pihak tuan, saya pernah terjumpa beberapa artikel yang diterbitkan dalan jurnal dan yang ditulis oleh pensyarah-pensyarah bahasa sendiri yang menggunakan istilah bertanda *. Sekiranya dapat disahkan istilah ini dan dimuat naik ke dalam portal PRPM atau DBP lebih baik. Terima kasih | Untuk makluman puan, semua istilah yang dikemukakan belum ada dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, puan boleh menggunakan istilah bahasa Melayu yang dicadangkan. Istilah ini akan dikemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk dibincangkan dan disahkan. | Istilah | 10.09.2012 |
| Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera. Izinkan saya untuk memperkenalkan diri saya. Nama saya Muhammad Firdhaus bin Zulkifli. Saya merupakan pelajar dalam jurusan Bahasa Arab bagi peringkat sarjana ijazah di Universiti Mohamed ke-5 Rabat, Maghribi. Tahun ini merupakan tahun terakhir pengajian saya di mana saya perlu menulis tesis bagi melayakkan saya mendapat sijil. Saya berniat untuk memperkenalkan bahasa melayu di dalam tulisan saya di mana saya telah memilih untuk menulis berkaitan Nasalisasi dalam Bahasa Melayu di mana ia merupakan kajian ilmu fonologi. Saya berharap pihak DBP dapat memberi cadangan artikel - artikel yang dapat saya jadikan rujukan untuk kajian ini. Terima kasih | Tidak ada maklumat tentang penulisan khusus tentang nasalisasi. Aspek ini merupakan subtajuk dalam bidang fonologi. Kami mencadangkan tuan merujuk buku linguistik dan fonologi. Untuk melihat tajuk-tajuk buku tuan boleh melihat katalog buku Pusat Dokumentasi Melayu, DBP melalui laman web http://pustaxa.dbp.gov.my/pustaxa/. Syabas tuan dan semoga berjaya dalam pelajaran. | Tatabahasa | 09.11.2017 |
| 1) saya mahu tahu mengenai sejarah perkembangan sastera kanak-kanak islam di Malaysia 2) saya mahu tahu mengenai perkembangan sastera kanak-kanak islam di Malaysia | Sehingga kini masih belum ada kajian atau penulisan tentang sejarah sastera kanak-kanak Islam di Malaysia yang dibukukan. Saudara mungkin boleh meminta bantuan pensyarah atau perpustakaan tentang kajian yang dibuat oleh sarjana sama ada dalam bentuk tesis atau kertas kerja. | Lain-lain | 28.07.2008 |