Mana yang betul. 1. Tiap-tiap orang pelajar atau 2. Tiap-tiap pelajar Alasannya | Kedua-dua ayat boleh digunakan. Kata 'tiap-tiap' boleh digantikan dengan 'setiap'. Ayat (1) menggunakan penjodoh bilangan'orang'. Ayat ini lebih baku. | Lain-lain | 21.07.2008 |
salam sejahtera, Perlukah penjodoh bilangan digunakan selepas penggunaan kata bilangan "setiap/ tiap-tiap)? Contoh ayat, 1. Setiap orang pekerja yang tidak hadir dalam aktiviti gotong-royong itu mesti memberikan surat tunjuk sebab. 2. Tiap-tiap peserta Bengkel Tatabahasa itu dikehendaki mengenalpasti struktur ayat yang salah berdasarkan hukum tatabahasa. | Kata setiap atau tiap-tiap tidak perlu diikuti penjodoh bilangan, isu sebenarnya ialah sama ada kata nama yang hadir selepas kata setiap perlu didahului penjodoh bilangan atau tidak. Bagi menghasilkan ayat yang gramatis dan untuk menunjukkan bilangan kata nama perlu hadir berpasangan dengan penjodoh bilangan. | Tatabahasa | 02.01.2013 |
1. Tiap-tiap petang, abang mengambil upah memotong rumput.Betulkah struktur ayat ini? 2. Ahli bomba memadamkan api dengan paip air. Atau Ahli bomba memadamkan api dengan air paip. 3. Penggunaan alat moden dalam pertanian memerlukan modal yang besar dan tidak mampu dibiayai oleh petani kebiasan di negara ini.Betulkah penggunaan imbuhan kebiasan dalam ayat ini ? 4. Mayat yang dijumpai terapung di tasik itu kembang perutnya.Apakah kata yang sesuai untuk menggantikan kata kembang? | Ayat sdr yang telah disemak dan disahkan penggunaan bahasa Melayu betul adalah seperti yang berikut: 1. Tiap-tiap petang abang mengambil upah memotong rumput. atau: Abang mengambil upah memotong rumput pada setiap petang. 2. Ahli bomba memadamkan api dengan air paip. 3. Penggunaan alat moden dalam pertanian memerlukan modal yang besar dan tidak mampu dibiayai oleh petani yang miskin di negara ini. (Nota: Kata "kebiasaan" membawa makna hal yang biasa dilakukan oleh seseorang. Oleh itu, kata kebiasaan ini tidak merujuk taraf petani tersebut. Justeru, frasa yang tepat ialah petani yang miskin yang tidak mempunyai kemampuan untuk membeli peralatan moden seperti jentera untuk bertani.) 4. Mayat yang dijumpai terapung di tasik itu kembung perutnya. (Nota: kata kembung menunjukkan perut mayat tersebut membesar akibat dimasuki air dan udara, manakala kata kembang merujuk keadaan sesuatu benda yang terbuka atau terbentang luas. Misalnya, bunga yang telah kembang itu terbuka luas. Begitu juga kata kembang merujuk perasaan seseorang. Contohnya, hidungnya kembang apabila dipuji oleh ketuanya ). | Tatabahasa | 09.04.2009 |
Salam sejahtera, Merujuk kepada soalan yang saya tanya tempoh hari yang lepas dan jawapan yang diperoleh seperti berikut; Soalan, salam sejahtera, Perlukah penjodoh bilangan digunakan selepas penggunaan kata bilangan "setiap/ tiap-tiap)? Contoh ayat, 1. Setiap orang pekerja yang tidak hadir dalam aktiviti gotong-royong itu mesti memberikan surat tunjuk sebab. 2. Tiap-tiap peserta Bengkel Tatabahasa itu dikehendaki mengenalpasti struktur ayat yang salah berdasarkan hukum tatabahasa. Jawapan, Kata setiap atau tiap-tiap tidak perlu diikuti penjodoh bilangan, isu sebenarnya ialah sama ada kata nama yang hadir selepas kata setiap perlu didahului penjodoh bilangan atau tidak. Bagi menghasilkan ayat yang gramatis dan untuk menunjukkan bilangan kata nama perlu hadir berpasangan dengan penjodoh bilangan. Dengan hal yang demikian, adakah ini bermakna contoh ayat 1 salah dan contoh ayat 2 betul ? Bagaimanakah dengan contoh ayat ini, Setiap dua orang murid perlu membawa seringgit ke sekolah. | Berdasarkan jawapan yang diberikan sebelum ini ayat yang gramatis ialah ayat pertama, Setiap orang pekerja yang tidak hadir dalam aktiviti gotong-royong itu mesti memberikan surat tunjuk sebab dan ayat Setiap dua orang murid perlu membawa seringgit ke sekolah. | Tatabahasa | 08.01.2013 |
1. Adakah betul ayat ini " Saya tersenyum apabila tiap kali pulang..." perkataan tiap bukankah sepatutnya ditukar kepada perkataan setiap atau tiap-tiap kerana perkataan tiap tidak mempunyai maksud. Tlg jelaskan alasannya. 2. nyatakan sebab kesalahan penggunaan bahasa Inggeris dalam ayat bahasa Melayu? sebagai contoh : Saya perlu bergerak ke check point seterusnya. 3. Adakah titian Siratul Mustaqim kata pinjaman arab dalam bahasa Melayu? Berikan alasan yang jelas. 4. "RAKAN saya" adakah ayat ini boleh dikatakan kesalahan bahasa kerana menggunakan huruf besar? | 1. Klausa tersebut betul kerana tiap sama maknanya dengan setiap dan tiap-tiap. 2. Terjemahan check point dalam bahasa Melayu ialah tempat pemeriksaan. Oleh itu, penggunaan perkataan bahasa Inggeris dalam ayat tersebut menjadikan bahasa yang bercampur-campur atau disebut bahasa rojak. 3. Perkataan siratalmustakim dipinjam daripada bahasa Arab. 4. Kesalahan penggunaan tanda baca. Perkataan rakan ialah kata umum dan tidak perlu ditulis dengan huruf besar kecuali apabila kesemua perkataan ditulis dengan huruf besar. | Tatabahasa | 23.03.2012 |
Adakah ayat di bawah salah: 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Pada pendapat saya, 3 & 4 tidak mempunyai kesalahan tetapi 1 & 2 sepatutnya, 1. Tiap-tiap/ Setiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak mematuhi larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. atau ( patuh akan larangan ) Apakah pendapat tuan/ puan. Terima kasih. | 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. Betul kerana tiap sama dengan setiap dan tiap-tiap. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. Salah, yang betulnya ... tidak mematuhi larangan .... 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. Tiada kesalahan. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Tiada kesalahan.
| Tatabahasa | 17.10.2012 |
Penggunaan kata sendi pada Manakah satu ayat berikut adalah betul? 1) Setiap petang, dia akan ke pantai untuk mencari ketenangan. 2) Pada setiap petang, dia akan ke pantai untuk mencari ketenangan. Adakah kata sendi "pada" boleh digugurkan penggunaan dalam konteks ayat (1) ataupun wajib hadir (bersama dengan konteks penggunaan yang menerangkan masa) Sekiranya, setiap = tiap-tiap dan kita mengandaikan bahawa kata sendi "pada" mesti hadir di hadapan ayat maka ayat: 1) Tiap-tiap petang, Ali bermain di padang bola sepak (ayat ini salah kerana tiada kata sendi "pada") Terima kasih | Kedua-dua ayat yang dikemukakan, iaitu 'Setiap petang, dia akan ke pantai untuk mencari ketenangan.' dan Pada setiap petang, dia akan ke pantai untuk mencari ketenangan.' adalah betul. Tidak ada peraturan yang mengatakan kata sendi 'pada' tidak boleh digugurkan dan wajib hadir dalam konteks tersebut. | Tatabahasa | 31.10.2011 |
Apakah kata bilangan yang sesuai digunakan dalam ayat di bawah?Para/Setiap? 1) Para/Setiap guru di sekolah itu mendapat penghagaan daripada murid-murid bersempena dengan Hari Guru. | Kedua-dua perkataan boleh digunakan dalam ayat tersebut tetapi membawa makna yang berbeza. Perkataan para digunakan dalam konteks yang ramai, manakala setiap bermaksud tiap-tiap. Penggunaan kata perlulah bersesuaian dengan konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 20.06.2013 |
Salam memperjuangkan bahasa Melayu, tuan DBP. Adakah rangkai kata "masing-masing pihak" betul? Contoh ayat: (1) Jika demikian, tutup sajalah persoalan kesalahan bahasa dan biarkanlah bahasa berkembang menurut kehendak masing-masing pihak. Bukankah frasa bahasa Melayu berurutan Diterangkan-Menerangkan, iaitu nama utama di hadapan, penerang di belakang? Maka sepatutnyalah frasa itu berurutan "pihak masing-masing": "masing-masing" yang bermaksud tiap-tiap dirinya penerang nama utama "pihak" ataupun kerana "masing-masing" bermaksud tiap-tiap dan setiap, dan "setiap" kata bilangan, oleh itu "masing-masing" yang disamakan dengan "setiap" yang bergolongan kata bilangan perlu diletakkan di depan nama utama sebagai penentu bilangan, seperti: setiap pihak = masing-masing pihak? | Perkataan yang lebih sesuai ialah "pihak masing-masing" | Lain-lain | 12.12.2016 |
1. Pada setiap waktu petang, Pak Ali akan memberikan __________ nasi kepada ayam ternakannya. A. sekepal B. segenggam Apakah perbezaan antara A. dan B.? Terima kasih. | Maksud sekepal - sebanyak yg dpt dikepal; segenggam: ~ nasi. Maksud Segenggam pula ialah banyak yg dpt dipegang dlm tangan yg dikepalkan: Tiap-tiap pagi dan petang, Limah memberi ayam didiknya ~ padi. (Kamus Pelajar Edisi Kedua). Perbezaannya dapat dilihat dari segi jumlah banyaknya sesuatu yang dapat dipegang. | Makna | 02.07.2019 |