| Hidup Ini Indah Oct 20th, 4:58pm Asalamualaikum DBP. saya memohon DBP buat tindakan kepada media tv agar hanya menyiarkan temubual, ucapan menteri dan sesiapa sahaja dalam Bahasa Melayu sahaja. Berita buletin utama Bahasa Melayu tetapi wawancara menteri berbahasa Inggeris. Kenapa menteri Melayu sendiri tidak mahu berbahasa Melayu??? | Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang diurussetiakan oleh DBP berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan pengurusan tertinggi dan atasan sector awam. Perkara ini diambil perhatian oleh Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Media dan Komunikasi agar diberi perhatian oleh pihak media sendiri, di samping jati diri dan kecintaan kepada bahasa kebangsaan dalam kalangan pemimpin dan pengurusan tertinggi sektor awam amatlah diharapkan dalam menangani isu ini. | Lain-lain | 21.10.2015 |
| Assalamualaikum Mohon penjelasan berkaitan penggunaan panggilan kehormat/panggilan diraja di dalam penulisan buku terjemahan biografi. Saya agak keliru dengan kewajipan penggunaan gelaran kehormat tersebut memandangkan di dalam buku berbahasa Inggeris, gelaran tersebut tidak dinyatakan pun. Hanya nama disebut. Bolehkah jika gelaran kehormat tersebut tidak dinyatakan di dalam buku berbahasa Malaysia? Atau jika perlu dinyatakan, mohon dapat beri sedikit penerangan. 1. Contoh bagi penggunaan Tun Dr Mahathir, apakah setiap kali nama beliau dirujuk di dalam buku tersebut, harus disertakan bersama gelaran/panggilan kehormat beliau atau cukup dengan nama beliau sahaja, Mahathir? Bolehkah gelaran kehormat untuk Tun Dr Mahathir disebut sekali sahaja di dalam buku dan kemudian dirujuk sebagai Mahathir sahaja setiap kali diulang? 2. Bagi gelaran Sultan/Agong, contoh seperti Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah, perlukah disertakan bersama gelaran KDYMM Seri Paduka Baginda setiap kali disebut di dalam buku atau cukup dengan gelaran Yang di-Pertuan Agong sahaja? Mohon penjelasan. Terima kasih. | Gelaran dan nama penuh perlu dinyatakan pada setiap permulaan penulisan dalam setiap tajuk/topik dan bagi pengulangan, boleh menggunakan gelaran sahaja. Contoh: Tun Mahathir bin Mohamad ialah seorang doktor dan ahli politik. Tun merupakan Ahli Parlimen Langkawi. Begitu juga untuk gelaran Agong, perlu dinyatakan dahulu gelaran penuhnya dan boleh diulangi dengan Yang di-Pertuan Agong.
| Lain-lain | 13.10.2021 |
| apakah mksud istilah berkelakuan baik, menderhaka terhadap kerajaan, dan fasih berbahasa melayu | Berkelakuan baik bermaksud mempunyai akhlak yang baik, bermoral ataupun beretika. Menderhaka terhadap kerajaan bermaksud menentang atau tidak mengikut undang-undang yang telah sedia ada dalam sesebuah kerajaan yang sah. Fasih berbahasa Melayu bermasud seseorang itu boleh menuturkan bahasa Melayu dengan baik terutamanya dari sudut tatabahasa dan difahami oleh orang lain. | Lain-lain | 29.06.2008 |
| saya lihat ramai anak muda sekarang suka berbahasa inggeris daripada bahasa melayu. adakah pihak tn. setuju bahawa anak muda suka berbahasa inggeris adalah disebabkan proses pembentukan kata bahasa melayu banyak berunsurkan bahasa inggeris.contohnya seperti perkataan akronim seperti felda, rtc dan sebagainya.berikan ulasan anda... | Pada pandangan saya pembentukan akronim hanyalah sebahagian kecil daripada unsur bahasa yang tidak sepatutnya menyumbang kepada kegoyahan jati diri rakyat Malaysia kepada bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi orang Melayu kepada bahasa ibundanya sendiri. Keutuhan jati diri penting bagi setiap rakyat Malaysia termasuklah mempunyai rasa sayang akan bahasa kebangsaannya. Tidak salah untuk sesiapa sahaja termasuklah anak muda menggunakan apa-apa bahasa sekalipun asalkan dalam konteks dan tempat yang betul. Dalam urusan rasmi dan kenegaraan bahasa Melayu ialah bahasa pengantarnya. Wallahua'lam. | Lain-lain | 08.03.2013 |
| saya telah membeli buku kesantunan bahasa karangan prof dr awang sariyan namun tidak dinyatakan secara khusus ciri-ciri kesantunan bahasa. harap dpt membantu dgn memberikan secara ringkas ciri-ciri kesantunan bahasa tersebut. | Ciri-ciri kesantunan bahasa banyak, contohnya dari segi nada suara misalnya mestilah tenang, lembut, jelas, tidak nyaring, tidak sinis, tidak marah, mengawal perasaan, tidak mengada-ngada, tidak biadab dll. Sdr bolehlah merujuk buku-buku berkenaan kesantunan berbahasa yang ditulis oleh penulis lain selain daripada Dr Awang. | Tatabahasa | 08.08.2007 |
| Apakah ayat yang sesuai bagi "paddy parcel area"? Ini kerana agensi ini menterjemahkan kepada - keluasan pasel padi. Adakah perkataan pasel boleh diguna pakai dalam perenggan laporan berbahasa melayu? Sekiranya tidak, apakah perkataan "parcel" dalam bahasa melayu" | Dalam pangkalan data kami, padana bahasa Melayu untuk "area" ialah luas atau kawasan. padanan bahasa Melayu untuk "parcel" ialah petak atau bidang. Oleh itu, padanan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "paddy parcel area" ialah luas petak padi. | Istilah | 04.04.2014 |
| Soalan saya berkaitan Papan Tanda. Boleh atau tidak Papan Tanda rasmi mengandungi ayat atau tulisan berbahasa CINA (Mandrin atau Kantonis). Jika boleh, bagaimana cara saya untuk dapatkan terjemahan tulisan atau bahasa CINA (Mandrin atau Kantonis) untuk : GELANGGANG BOLA KERANJANG KAMPUNG DESA AMAN. | Untuk makluman tuan, paparan di tempat awam termasuklah iklan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan. Jika bahasa Mandarin hendak dikekalkan, mesti ada padanan dalam bahasa kebangsaan, iaitu sediakan dalam dwibahasa (Melayu dan Mandarin). Untuk pengesahan iklan, kemukakan permohonan tuan melalui domain "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP". | Lain-lain | 03.04.2017 |
| Berapa kerapkah korpus DBP dikemas kini dan adakah semua terbitan bahasa Melayu dimasukkan ke dalam korpus tersebut? | Korpus DBP telah dibangunkan beberapa tahun dahulu dan belum lagi dibuat kemas kini. Kami berpandangan tidak semua terbitan berbahasa Melayu dimasukkan dalam korpus, lebih-lebih lagi terbitan terkini. Sumber korpus boleh dilihat melalui http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/Report/SenaraiBahan.aspx. Korpus DBP merupakan antara fungsi Bahagian Peristilahan, DBP. | Lain-lain | 01.06.2020 |
| bagaimana untuk dapatkan terjemahan percuma bagi teks berbahasa melayu ke English?Di mana saya boleh dapatkannya?? | Kami tidak menyediakan perkhidmatan sedemikian sama ada secara percuma atau tidak. Jika saudara memerlukan perkhidmatan tersebut, saudara bolehlah menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia (21424381) atau Institut Terjemahan Negara Malaysia (41497210)tetapi saudara perlu membayar kos penterjemahan tersebut. | Lain-lain | 05.09.2007 |
| Adakah pihak DBP mempunyai hak untuk menegur pihak seperti KTMB berkaitan tiada penggunaan Bahasa Melayu pada laman web KTMB? Jika ada, semak sekali laman web MyRapid. Saya pelik mengapa mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu dengan alasan laman web digunakan oleh semua orang dari pelbagai negara. Jika ingin dibandingkan, pengguna berBahasa Melayu lebih ramai berbanding yang berBahasa Inggeris. Selain itu, adakah pihak DBP mempunyai hak utk menegur pihak MRT Corp yang menggunakan sesetengah nama stesen bagi Laluan SSP dlm Bahasa Inggeris? Contohnya, Sri Damansara West, Sentul West, KLCC East, Bandar Malaysia North,Serdang Raya South&North dan Cyberjaya North. Lebih enak didengar jika perkataan 'West,East,North,South' ditukar ke Bahasa Melayu seperti KLCC Timur dan Sentul Barat. Harap pihak DBP dapat menyelesaikannya kerana penggunaan Bahasa Melayu semakin hari semakin berkurang. Terima kasih. | Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan pemantauan penggunaan bahasa dalam semua media termasuklah media peragaan dan paparan. Pemantauan kesalahan penggunaan bahasa yang dibuat berserta dengan pembetulannya akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkenaan untuk diambil tindakan pembetulan dan sebagainya. Usaha pemantauan memang dilakukan termasuklah surat-surat teguran yang dihantar kepada syarikat atau agensi kerajaan yang melakukan kesalahan dalam apa juga jenis paparan yang ditujukan untuk umum. Terima kasih kerana peka dengan kesalahan dan perkara berkenaan dan amatlah kami hargai. | Lain-lain | 03.03.2018 |