| Tuan, Bolehkah saya menggunakan lebih malang lagi atau lebih-lebih lagi sebagai pangkal ayat? Contoh, Kemalangan jalan raya menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa. Lebih malang lagi, kemalangan juga membawa kemautan kepada mangsa yang tidak berdosa. Adakah ayat di atas gramatis dan penggunaan "lebih malang lagi" adalah betul? Terima kasih. | 1. Ayat yang betul ialah Kemalangan jalan raya menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa. Lebih malang lagi, kemalangan tersebut telah membawa maut kepada mangsa yang tidak berdosa. | Tatabahasa | 22.09.2021 |
| tolong semak penggunaan kata sendi nama dalam ayat berikut: 1. Soal jodoh dan rezeki terletak pada/di tangan Tuhan. 2.Kuasa pemerintahan terletak sepenuhnya pada/di tangan raja tersebut. 3.Segala harta Ali telah jatuh ke tangan Abu. 4.Tawanan yang berada di/pada tangan pihak musuh perlu diselamatkan. 5.Pemuda yang tidak berdosa itu akhirnya terbunuh di/pada tangan penguasa yang zalim. | Penggunaan kata sendi nama ayat di bawah ini dibuat dengan penambahbaikan: 1. Soal jodoh dan rezeki terletak pada takdir Allah. 2. Kuasa pemerintahan terletak sepenuhnya pada kuasa raja tersebut. 3. Segala harta Ali telah jatuh kepada Abu. 4. Tawanan yang berada pada pihak musuh perlu diselamatkan. 5. Pemuda yang tidak berdosa itu akhirnya terbunuh pada penguasa yang zalim. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan pada halaman 274 - 275. | Tatabahasa | 18.06.2026 |
| Rangkaian kata ''melakukan siasatan'' betul atau ''menjalankan siasatan'' yang betul? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, menjalankan bermaksud 1. mengusahakan (membuat) supaya berjalan (kereta, kereta api, mesin, perniagaan dan lain-lain). Contoh ayat: (a) Dia cuba menjalankan kereta itu tetapi tidak berjaya. (b) Setelah ayahnya meninggal dunia, Alilah yang menjalankan perniagaan itu. 2. mengerjakan (tugas dan lain-lain), melaksanakan. Contoh ayat: Pak Leman tidak berasa susah untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang penarik beca. Kata melakukan pula membawa maksud menjalankan (tugas), membuat (kerja dan lain-lain), mengerjakan. Contoh ayat: Kitalah yang berdosa kerana menuduh ia melakukan perkara yang bukan-bukan. Berdasarkan keterangan di atas, rangkaian kata "melakukan siasatan" dan "menjalankan siasatan" mempunyai maksud yang sama dan betul penggunaannya dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 09.07.2021 |