difinisi kepandaian dan kecerdikan...tima kasih | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kepandaian bermaksud kecerdikan, kemahiran, kepintaran: ada wang tetapi tidak ada ~, tidak boleh jadi juga; manakala kecerdikan ialah 1. kepintaran, kepandaian; 2. kecurangan, kelicikan. Terima kasih. | Istilah | 14.01.2009 |
Saya masih keliru, kenapa perkataan tertakluk dan bergantung mesti diikuti dengan kata sendi nama "pada" dan bukannya "kepada"? Apakah pertimbangan atau rujukan yang dibuat bagi menentukan sendi nama itu bagi perkataan-perkataan ini. Saya telah melihat PRPM. Alasan yang diberikan antara lainnya menyebut "frasa yang betul ialah "bergantung pada" kerana sendi nama pada digunakan sandaran kepada bergantung, begitu juga tertakluk". Jadi, kenapa kata sendi "kepada" tidak boleh jadi sandaran kepada kedua-duanya ini sedangkan jika dilihat kepada maksud, ia juga boleh dijadikan sandaran. Bergantung kepada keadaan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Saya dapati ada juga jawapan yang menyatakan kalau kepada orang contohnya awak, boleh pula guna kepada, contoh "tertakluk kepada awak". Tiada mana-mana penjelasan terdahulu yang menyatakan "tertakluk pada" adalah pada benda atau abstrak, manakala "tertakluk kepada" kepada manusia. Mohon penjelasan tuan. Terima kasih. | Menurut buku TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA (hlm. 272) kata sendi nama “kepada” terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk kepada manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Kata sendi nama “pada” pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat dan sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi sesuatu kata kerja (perkara ini membawa maksud sandaran). Oleh itu, salah satu daripada fungsi kata sendi nama “kepada” adalah untuk menunjukkan maksud sasaran. Manakala, salah satu daripada fungsi kata sendi nama “pada” adalah untuk menunjukkan maksud sandaran. Jadi, penggunaan frasa yang betul ialah "bergantung pada atau tertakluk pada", iaitu membawa maksud sandaran bukannya kepada yang membawa maksud sasaran. | Tatabahasa | 09.04.2020 |
Assalamualaikum... maafkan saya, saya pelajar UMS yang akan memilih major penulisan semester hadapan jadi boleh tidak sekiranya saya cuba menghantar karya2 yang saya tulis untuk semakan pihak DBP.? terima kasih | Untuk makluman, permintaan puan adalah di luar skop perkhidmatan kami. Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) membantu pengguna menyelesaikan pelbagai masalah penggunaan bahasa Melayu seperti ejaan Rumi dan Jawi, perkataan dan istilah serta penyemakan bahasa. KNDBP juga turut melayan pertanyaan yang berkaitan dengan aktiviti sastera, penerbitan dan korporat. Untuk semakan sila rujuk tenaga pengajar di institut puan dan untuk semakan sendiri sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Lain-lain | 14.08.2014 |
Kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka: Saya telah melampirkan soalan saya di lampiran fail. Sekian, terima kasih. | Terima kasih atas pandangan saudara. Untuk makluman saudara, jawapan yang diberi merujuk Kamus Dewan. Perkataan harus bermaksud: 1. tidak boleh tidak, tidak dapat tidak, mesti, patut, wajib; 2. boleh jadi, mungkin; 3. tidak mustahil (berlaku, terjadi, dsb) atau mungkin; dan 4. boleh dilakukan dan boleh pula ditinggalkan. Manakala perkataan mesti bermaksud: 1. tidak boleh tidak, wajib; 2. tentu; dan 3. patut, wajar. Berdasarkan makna tersebut dalam keadaan tertentu perkataan harus boleh saling berganti dengan perkataan mesti seperti ayat Kita mempunyai kepentingan sendiri yang harus/mesti dijaga. Manakala dalam keadaan yang lain pula kedua-dua perkataan tersebut tidak dapat bertukar ganti, seperti Harus seorang musuh itu bertukar menjadi seorang kawan dan Apa-apa yang dilakukan Kamal mestilah Aini tahu. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan terjemahan perkataan harus dan mesti dibezakan, harus - due/due to be dan mesti - must. | Tatabahasa | 28.02.2012 |
Tuan, apakah jenis frasa bagi frasa "sangat berbahaya"? Saya merasakan frasa ini salah kerana kata "berbahaya" kata kerja, jadi tidak boleh menerima kata penguat, kerana kata penguat hanya digunakan dengan kata sifat (kata adjektif). Adakah frasa ini salah? Apakah beza frasa "sangat berbahaya" dengan "sangat bahaya"? | Kedua-dua frasa sangat bahaya dan sangat berbahaya boleh digunakan. Dalam bahasa Melayu, aspek makna pada perkataan yang berawalan beR- akan dibuat mengikut jenis golongan kata bagi kata dasar yang bergabung dengannya, iaitu sama ada kata kerja, kata nama atau kata adjektif. Imbuhan beR- yang digabungkan dengan kata adjektif membawa pengertian berada dalam keadaan. Untuk lebih lanjut, puan boleh rujuk halaman 169, buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 24.03.2015 |
Adakah ayat berikut betul? 1. Ada lima buah buku di atas meja saya. 2. Di atas meja saya ada lima buah buku. Ada pendapat mengatakan ayat tidak boleh dimulakan dengan perkataan "ada".. jadi boleh saya tahu apakah ayat yang sesuai bagi situasi diatas | Perkataan ada (terdapat) ialah kata kerja dan kata kerja sebagai predikat hadir di tengah ayat, kecuali dalam ayat songsang. Dalam kedudukan songsang keseluruhan predikat mesti hadir di pangkal ayat. Contohnya, susunan biasa: Banyak ikan ada di dalam kolam, susunan songsang: Ada di dalam kolam banyak ikan. | Tatabahasa | 21.09.2017 |
Mohon nyatakan sama ada berikut ialah pepatah ataupun bukan. "Kesihatan adalah harta dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit". Terima kasih. | Saudari, Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pepatah bermaksud peribahasa yang berisi nasihat dan lain-lain; kata-kata orang tua-tua yang terdapat ajaran di dalamnya, pepatah sama seperti bidalan dan perbilangan. Contoh pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana maufakat, cubit paha kiri, paha kanan sakit begitu juga dengan ditelan mati emak, diluah mati bapak dan Kalah jadi abu, menang jadi arang. Oleh itu, "Kesihatan adalah harta dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit" lebih kepada frasa dan bukan tergolong dalam kategori pepatah. | Tatabahasa | 08.08.2012 |
Setahu saya kata ganti diri ketiga '-nya' tidak boleh digunakan utk merujuk kpd benda. Jadi adakah ayat di bawah gramatis? 'Gunakan peralatan elektrik dengan betul dan sesuai dengan fungsinya.' | Selain daripada kata ganti nama diri ketiga, "nya" juga berfungsi sebagai kata penegas seperti dalam ayat contoh tersebut. | Tatabahasa | 31.05.2013 |
"Mengairi sawah padi" bermaksud mengairkan sawah padi? Tetapi kita tidak boleh menggunakan "mengairkan sawah padi", jadi "mengairi sawah padi" baru betul? | Mengikut Kamus Dewan dan Kamus Pelajar, ‘mengairi’ bermakna mengalirkan air ke... Sila ambil perhatian bahawa perkataan ‘mengairi’ bermakna mengalirkan air bukan mengairkan. | Tatabahasa | 01.05.2014 |
Apa sudah jadi dengan laman karyanet? Apakah e-buku yang diterbitkan dan tidak boleh lagi dilanggan akan diterbitkan oleh DBP dalam bentuk buku biasa? | Tuan boleh mendapatkan naskah bercetak (POD) bagi e-buku yang diterbitkan dalam Karyanet. Sila berikan tajuk buku tersebut dan kami akan membuat semakan sama ada tajuk tersebut masih ada dalam simpanan. Pihak kami juga sedang menimbangkan untuk menerbitkan e-buku tersebut dalam bentuk buku biasa jika didapati ada keperluan. | Lain-lain | 09.12.2010 |