Nyah engkau dari sini …! Ayat ini menggunakan elipsis sebelum tanda seru untuk menunjukkan penegasan, kepanjangan atau gema. Adakah DBP menerima gaya ini? | Penggunaan tanda baca yang betul ialah "Nyah engkau dari sini!". Penggunaan elipsis lazimnya digunakan dalam ayat penyata bagi menyebut sebahagian sahaja daripada petikan, manakala ayat seru lazimnya tidak panjang (tidak perlu tanda elipsis) dan senafas. | Lain-lain | 13.01.2013 |
Selamat sejahtera bolehkah saya tulis panjang tangan-panjang tangan? | “Panjang tangan” merupakan sebahagian daripada peribahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, peribahasa “panjang tangan” tidak boleh digandakan menjadi “panjang tangan-panjang tangan.” | Tatabahasa | 02.03.2025 |
Berdasarkan Tatabahasa Dewan bahagian 9.2.3.9 Kata Adverba, contoh ayat 417. Anak bongsu Pak Busu sudah besar panjang. Mengapakah frasa 'besar panjang' tidak dikategorikan sebagai frasa adjektif binaan dua perkataan, sebaliknya hanya 'besar' dikatakan kata inti dan 'panjang' dikatakan sebagai kata adverba? | Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat. Kata adverba dapat digolongkan kepada empat bentuk iaitu i) Kata adverba jati, ii) Kata adverba yang asalnya kata adjektif iii) Kata adverba yang asalnya kata kerja dan iv) Kata adverba bentuk gandaan. Menjawab persoalan saudara, iaitu mengapa perlunya kata adverba dalam bahasa Melayu, dalam hal ini, mungkin timbul keperluan untuk membezakan Kata Adverba dan Kata Adjektif yang lebih menerangkan tentang sifat dan kata adverba menerangkan lebih kepada keadaan. | Tatabahasa | 18.06.2020 |
Saya ingin bertanya apakah penjodoh bilangan bagi satu kacang panjang yang tidak diikat. Terima kasih tuan. | Penjodoh bilangan bagi kacang panjang yang tidak diikat ialah batang. Ini bermakna, sebatang/ satu batang kacang panjang merupakan penjodoh bilangan bagi satu kacang panjang. | Tatabahasa | 11.10.2015 |
apakah penjodoh bilangan untuk rumah panjang? adakah sebuah rumah panjang. terima kasih encik. | Penjodoh bilangan sebuah digunakan untuk benda yang besar dan tidak bernyawa, (bentuk atau jenisnya tidak tentu), seperti rumah, kereta, almari, buku dan sebagainya. Oleh itu, penjodoh bilangan untuk rumah panjang ialah sebuah (sebuah rumah panjang). Sila rujuk pangkalan data https://prpm.dbp.gov.my/ melalui Khidmat Bahasa DBP. | Lain-lain | 18.05.2025 |
Apakah perkataan dalam bahasa Melayu yang paling panjang ejaannya ? | Tidak ada sumber rujukan DBP yang merekodkan perkataan bahasa Melayu yang paling panjang.Oleh itu, kami sarankan saudara merujuk Kamus Melayu untuk melihat kata Melayu yang paling panjang sama ada kata dasar atau kata terbitan. | Tatabahasa | 24.05.2011 |
Apakah perkataan yang paling panjang dalam bahasa Melayu yang pernah direkodkan | Tidak ada sumber rujukan DBP yang merekodkan perkataan bahasa Melayu yang paling panjang.Oleh itu, kami sarankan saudara merujuk Kamus Melayu untuk melihat kata Melayu yang paling panjang sama ada kata dasar atau kata terbitan. | Lain-lain | 03.07.2008 |
Puan, 1) Adakah perkataan "suntuk" hanya boleh digabungkan dengan perkataan "sehari' dan " semalam" iaitu "sehari suntuk" dan "semalam suntuk" ? 2) Tolong semak kesalahan dalam ayat di bawah :- Sudah dua hari suntuk dia membantu ibunya di bendang. Terima kasih. | Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, suntuk bermaksud ;1 sudah sampai pada hadnya sehingga tidak dapat diteruskan lagi; telah terlampau atau terlewat waktunya; terlambat: Kita tidak sempat menyiapkan memorandum itu kerana masa sudah suntuk. sehari suntuk = sepanjang hari; semalam suntuk = sepanjang malam. 2 tidak panjang; pendek; singkat: suntuk akal tidak dapat berfikir lagi; pendek akal. tersuntuk tidak dapat maju atau tidak dapat mara lagi; terhalang; tertahan. kesuntukan 1 keadaan atau hal suntuk. 2 telah suntuk (waktu, wang dan lain-lain); mengalami keadaan suntuk; kehabisan atau kesempitan (wang, masa dan lain-lain). Ayat "Sudah dua hari suntuk dia membantu ibunya di bendang." betul. | Tatabahasa | 30.05.2013 |
Orang yang tidak tahan hidup kesunyian tidak akan mampu hidup berseorangan dalam tempoh _____. lama atau panjang lebih sesuai ? | Orang yang tidak tahan hidup kesunyian tidak akan mampu hidup berseorangan dalam tempoh lama. | Tatabahasa | 25.07.2014 |
SEJENIS KERA YANG PANJANG TANGANNYA TETAPI TIDAK BEREKOR | Khidmat Nasihat Bahasa tidak menyediakan sebarang perkhidmatan yang berkaitan dengan peraduan teka silangkata atau kuiz. Sila rujuk kamus untuk mendapatkan jawapan yang tersebut. | Lain-lain | 27.04.2010 |