Adakah ayat di bawah salah: 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Pada pendapat saya, 3 & 4 tidak mempunyai kesalahan tetapi 1 & 2 sepatutnya, 1. Tiap-tiap/ Setiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak mematuhi larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. atau ( patuh akan larangan ) Apakah pendapat tuan/ puan. Terima kasih. | 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. Betul kerana tiap sama dengan setiap dan tiap-tiap. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. Salah, yang betulnya ... tidak mematuhi larangan .... 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. Tiada kesalahan. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Tiada kesalahan.
| Tatabahasa | 17.10.2012 |
Salam sejahtera, saya ingin tanya soalan kesalahan tatabahasa: 1. Bangunan-bangunan pencakar langit di bandar raya itu tinggi-tinggi. 2. Penduduk di kawasan itu tidak patuh larangan membuang sampah di dalam sungai tersebut. Terima kasih atas menjawab soalan saya. | 1. Ayat yang betul ialah “Bangunan pencakar langit di bandar raya itu tinggi-tinggi belaka”. 2. Ayat yang betul ialah “Penduduk di kawasan itu tidak mematuhi larangan membuang sampah ke dalam sungai tersebut”. | Tatabahasa | 04.06.2024 |
Salam sejahtera, tuan. Soalan 1: adakah selepas kata hubung? Soalan 2: patuh kepada suruhan Allah atau patuh pada suruhan Allah? Soalan 3: Adakah memberi digunakan untuk benda bernyawa dan memberikan digunakan untuk benda tidak bernyawa? | - Soalan tidak difahami. Sila terangkan dengan lebih jelas.
- Cadangan jawapan ialah "Patuh pada suruhan Allah".
- Perkataan “memberi" dan “memberikan" merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan “memberi” hendaklah diikuti dengan kata nama objek bernyawa, manakala “memberikan” hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. Contoh ayat adalah seperti yang berikut:
- Ali memberi kucing makan.
- Ali memberikan makanan kepada kucing.
Sila rujuk buku tatabahasa bahasa Melayu untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
| Tatabahasa | 18.03.2022 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Antara dua ini, manakah penggunaan yang betul? Normal baharu-Patuh arahan PKPB atau Norma baharu-Patuh arahan PKBP. Terima Kasih. | Penggunaan perkataan yang betul ialah “Norma baharu-Patuh arahan PKBP” kerana “norma” bermaksud “peraturan baharu yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit”. Manakala normal pula membawa makna, tindakan atau tingkah laku yang baharu atau tidak seperti kebiasaan untuk dijadikan standard atau biasa disebabkan oleh sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit, dalam usaha mengadaptasi keadaan tertentu. | Makna | 12.05.2020 |
1. Mak Siti sayang (pada/ akan/ kepada) anaknya. 2. Ali patuh (pada/ akan/ kepada) peraturan. 3. Ali mengalami kesakitan yang amat sangat kerana terjatuh dari katil. 4. Baju ini amat sangat cantik. Adakah ayat-ayat di atas gramatis? (merujuk kepada TD Edisi ke-3, "pada" tidak boleh digunakan di depan kata nama yang bermaksud sasaran, adakah pada dalam soalan 1 tidak boleh digunakan di depan anaknya?) | Ayat yang betul ialah: 1. Mak Siti sayang akan anaknya. 2. Ali patuh pada peraturan. 3. Ali mengalami kesakitan yang amat sangat kerana terjatuh dari katil. 4. Baju ini amat cantik / sangat cantik. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, rujuk halaman 274, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 08.08.2010 |
apakah yang dimaksudkan dengan berkerjasama,berdikari gigih,tekun,amanah,bijaksana dan ikhlas | Bekerjasama ialah bekerja (berbuat sesuatu) bersama-sama atau dengancara saling membantu, bergotong-royong. Berdikari ialah tidak mengharapkan orang lain untuk menolong. Gigih ialah keras hati, tegar hati, patuh kepada pendirian sendiri. Tekun ialah rajin dan usaha, bersungguh-sungguh. Amanaha ialah kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang. Bijaksana ialah berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati. Ikhlas ialah hati suci, tidak menipu dan tidak berpura-pura. | Makna | 16.03.2008 |
Saya agak keliru dengan istilah "nadir bumi" daripada perkataan Bahasa Inggeris "rare earth". Mengapa nadir bumi sedangkan kalau "rare gas" istilahnya dalam Bahasa Melayu adalah "gas nadir" dan bukannya "nadir gas"? ... | Istilah yang betul untuk 'rare earth' ialah nadir bumi. Untuk makluman, istilah bahasa Melayu dibentuk berdasarkan konsep dalam bidang tersebut. Oleh itu, penterjemahan istilah tersebut tidak semestinya patuh kepada persamaan bentuk. | Istilah | 06.09.2011 |
Apakah perbezaan antara ketepatan kata dan kesesuaian kata? | Mengikut Kamus Dewan, kata tepat bermaksud 1. betul (arahnya, tujuannya); 2. tidak menyimpang daripada sasarannya (tujuannya), 3. tidak kurang dan tidak lebih (waktu); 4. tidak bersalahan lagi (dugaan, ramalan), betul, cocok: 5. sesuai dan patut (peraturan, kritikan, jitu; 7. Tidak tirus, iaitu betul-betul 90 darjah. Sesuai bermaksud 1. padan benar (keadaan, rupa), cocok benar: 2. berpadanan , berpatutan; 3. setimbal, seimbang, selaras:; 4. sepakat, sehati, setuju 5. serasi,cocok benar Dari segi makna mengikut Kamus Dewan, ketepatan kata boleh membawa maksud kata yang patuh pada hukum tatabahasa bahasa Melayu, gramatis dan makna semantik, manakala kesesuaian kata ialah kata yang mengambil kira faktor pragmatik. | Istilah | 11.01.2015 |
1.Ayat yang manakah betul : a. Kedua-dua ahli pengakap itu sedang menanak nasi. b. Dua ahli pengakap itu sedang menanak nasi. 2.Apakah perkataan berlawan bagi "bimbang". Tenang atau yakin. 3.Ayat manakah yang betul. a. Kita hendaklah patuh pada undang-undang. b. Kita hendaklah patuh kepada undang-undang. Sekian, terima kasih. | Saudara, 1. Ayat yang betul ialah "kedua-dua ahli pengakap itu sedang menanak nasi. 2. Makna perkataan bimbang ialah 1 (berasa) tidak tetap hati atau ragu-ragu: Dia masih ~ ttg kejujuran orang muda itu. 2 (berasa) gelisah atau tidak sedap hati kerana memikirkan sesuatu; (berasa) takut akan berlakunya sesuatu: Oleh sebab Muhammad masih juga ~ ttg wahyu yg diterimanya, maka Khadijah memujuknya. berbimbang berasa bimbang. membimbangkan menyebabkan menjadi bimbang; mengkhuatirkan: Kelakuan anaknya itu sungguh-sungguh ~ hatinya. kebimbangan keadaan atau rasa bimbang; keraguan; kecemasan. Berdasarkan makna "bimbang", maka kata lawannya yang sesuai ialah yakin. Makna yakin ialah betul-betul percaya (tentang kebenaran, kemampuan, dll sesuatu atau seseorang), tidak ragu-ragu (syak-syak) lagi, pasti benar: dia masih tetap ~ bahawa jalan yg ditempuhnya bukanlah jalan yg salah; mengetahui dgn ~ akan arah kiblat; kami ~ dia akan berjaya dlm pertandingan itu; berkata dgn ~ berkata dgn sungguh-sungguh; meyakini 1. yakin (akan), mempercayai benarbenar (akan): setelah ~ bahawa tidak ada orang yg mengintip, barulah dia membuka peti itu; dia ~ kesanggupannya melawan musuh; 2. = meyakin-yakini menyelidikidsb supaya yakin; 3. menaruh keyakinan pd; meyakinkan 1. menyaksikan sendiri supaya yakin, mengesahkan sendiri, menentukan: dia hendak ~ sendiri apakah adiknya ada terlibat dlm perkara itu; 2. menyebabkan yakin, menjadikan yakin: mereka tidak membawa apa-apa senjata utk ~ orang Mekah bahawa kedatangan mereka bukanlah kerana hendak berperang; 3. dgn bersungguh-sungguh (membuat sesuatu), tidak main-main, serius: pelukisan masyarakat dlm kesusasteraan yg bercorak sejarah kurang ~ kerana diselingi dongeng- dongeng daerah; 4. menimbulkan keyakinan: hujah yg ~; keyakinan perihal yakin, kepercayaan yg sungguh-sungguh, kepastian, kesungguhan, ketentuan: kita akan menjalankan semula kewajiban kita dgn penuh ~ bahawa Allah akan menjayakan cita-cita kita; berkeyakinan mempunyai keyakinan, mempercayai benar-benar: ia ~ bahawa ayah dan ibunya selamat; ~ dlm apa jua bidang; ketidakyakinan perihal (sikap, pendirian, dsb) tidak yakin: ~ terhadap kemampuan bahasa Melayu wujud dlm masyarakat yg mendapat pendidikan Inggeris. | Tatabahasa | 23.10.2010 |
Salam sejahtera. Apakah jawapan untuk soalan yang berikut: Pak Cik Seng gigih mengusahakan ladang kelapa sawit bersama-sama isterinya. Pilih perkataan seerti bagi gigih. A tekun. B tabah. C rajin. D malas | Perkataan tekun, tabah dan rajin mempunyai makna yang hampir sama, namun jawapan yang paling hampir, iaitu seerti dengan gigih ialah tabah. Gigih ialah keras hati, tegar hati, patuh kepada pendirian sendiri; tabah bermaksud tidak gentar dan tetap hati, serta terus mencuba dengan penuh semangat dan azam, berani,cekal demi mencapai kejayaan, kecemerlangan. Manakala tekun ialah rajin dan usaha, bersungguh-sungguh. | Makna | 03.07.2014 |