Apakah yang dimaksudkan kata ganda semu? Contoh? | Tuan, Merujuk Kamus Dewan perkataan semu: bukan yg sebenarnya, tidak sesungguhnya, pura-pura: keadilan yg hanya ~ sahaja; 2. = semu-semu lebih kurang, agak; ~ lengkung agak lengkung; 3. = ~ daya tipu daya, muslihat: baiklah kita cari jalan tipu ~ dan kita empat bersaudara ini kita berpecah; ~ Jawa, pujuk Melayu. | Makna | 01.05.2009 |
Apakah lawan perkataan azam? | Menurut Kamus Dewan makna perkataan azam ialah kemahuan (keinginan, cita-cita, dsb) yang sangat kuat, tujuan (yg sesungguhnya). Oleh itu, lawan kata azam ialah tidak berkeinginan, tidak bercita-cita tinggi, atau tidak mempunyai kemahuan terhadap sesuatu. | Makna | 24.03.2009 |
apakah implikasi bahasa melayu terhadap penggunaan bahasa inggeris dalam bidang sains dan teknologi? | Sesungguhnya pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang sains dan teknologi tidak menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan. Dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan pelbagai seminar, persidangan, ceramah, syarahan, wacana ilmu dan bicarawara . Bagi menggalakkan penggunaan bahasa yang betul dan meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan masyarakat, penyebaran maklumat bahasa turut dilakukan melalui media cetak dan elektronik melalui penerbitan sisipan Klik DBP dalam akhbar Berita Harian, ruangan Munsyi Dewan dan Forum Pelajar dalam sisipan Pendidikan keluaran Utusan Malaysia. Pedoman bahasa juga dimuatkan dalam ruangan Cintai Bahasa Kita dalam Berita Harian dan siaran Teleinfo Bahasa menerusi RTM TV2. Bagi memantapkan usaha memperkasa bahasa Melayu di seluruh Negara, DBP Cawangan (Sabah dan Sarawak) dan DBP Wilayah (Utara, Timur dan Selatan) turut memainkan peranan dalam menyebarluaskan maklumat bahasa melalui media. DBP juga melaksanakan projek Khidmat Nasihat Bahasa bagi tujuan meningkatkan dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu. DBP juga menerbitkan kamus istilah yang mencecah 1 juta istilah yang merangkumi pelbagai bidang ilmu, pelbagai kamus ekabahasa dan dwibahasa untuk rujukan pengguna, khidmat nasihat bahasa, misalnya dalam bidang iklan khidmat bahasa yang diberikan percuma kepada penulis papan iklan dan Pihak Berkuasa Tempatan. DBP juga mewujudkan Karyanet, iaitu portal penerbitan dalam talian yang menyediakan kemudahan berkarya dan penerbitan serta penjualan terbitan melalui internet. Usaha mengetahui dengan lebih terperinci, langkah-langkah DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu, bolehlah menghubungi Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu 03-2148 1960 | Lain-lain | 08.08.2008 |
Adakah frasa "Mendepani Pertanian" bermaksud menjuarai pertanian? Terima kasih | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, mendepani bermaksud 1. berada di depan sesuatu 2. berusaha tidak mahu ketinggalan; mendahului. Perkataan "menjuarai" pula bermaksud menjadi juara, menjadi johan 2. memperjuangkan (mempertahankan, menyokong dan sebagainya) dengan sesungguhnya. Oleh itu, kedua-dua perkataan ini berbeza maksudnya. | Istilah | 31.10.2015 |
Assalamualaikum, Saya ingin bertanyakan kerasionalan penggunaan huruf besar/kecil bagi perkataan "iblis". Dalam DBP memang dinyatakan penggunaan huruf kecil. Namun, jika dilihat pada ayat al-Quran dan ahli syariah, secara peribadinya saya merasakan PENGGUNAAN HURUF BESAR LEBIH TEPAT. Contoh 1: Ertinya: “Iblis berkata, ‘Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).’ (14) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, engkau daripada golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).’ (15) Kemudian, iblis berkata, ‘Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) telah menyebabkan aku tersesat, (maka) sesungguhnya aku akan berusaha menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus. (16) Kemudian, aku benar-benar akan mendatangi mereka dari arah hadapan atau belakang mahupun dari arah kanan atau kiri mereka. Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur. (17)’” (Surah al-A‘raf 7: 14-17) Contoh 2: Menurut Ibn ‘Abbas, iblis dinamakan ‘Azazil dalam kalangan malaikat. Dia ialah malaikat yang tinggi darjatnya, paling kuat beribadat dan memiliki empat sayap. Namun setelah dilaknat, dia dikenali sebagai iblis. Ayat-ayat tersebut menunjukkan iblis sebagai individu jin bukannya sekumpulan jin/syaitan jahat. Jadi, mungkinkah sewajarnya ejaan iblis itu dieja dengan huruf besar (Iblis)? Sekian, terima kasih. | Iblis dikategorikan sebagai kata umum sama seperti malaikat. Iblis dieja dengan huruf besar sekiranya disandarkan dengan jenis iblis seperti Iblis Zalanbur, begitupun lazimnya disebut Zalanbur sahaja. Malaikat juga dieja dengan huruf kecil, namun nama malaikat ditulis dengan huruf besar seperti Izrail. | Tatabahasa | 08.08.2020 |
Cikgu, saya ingin menanyakan bahawa adakah penggunaan -nya dalam merujuk objek tidak bernyawa adalah betul atau salah? Perhatikan contoh-contoh berikut: (-nya telah ditulis dengan semua huruf besar -NYA untuk memberikan penegasan) 1. Hadiah itu untuk ibu. HargaNYA mahal. 2. Apabila ejaan perkataan itu ditukarkan, maksudNYA juga akan bertukar. 3. (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 75) - Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaanNYA tetap terpisah. Pada pengetahuan saya, -nya hanya digunakan sebagai kata ganti nama ketiga untuk manusia. Apakah pandangan DBP? Saya memerlukan pandangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan dalam hal ini. Terima kasih DBP. | Dalam bahasa Melayu, tidak ada ejaan semua huruf besar perkataan ‘NYA’ untuk membawa penegasan. Bentuk –nya boleh hadir sebagai kata penekan dan kata pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh dalam ayat: Hadiah itu sesungguhnya sangat mahal. | Tatabahasa | 28.06.2014 |
Tuan, antara "pohon" dengan "mohon"; "pinta" dengan "minta"; "pikir" dengan "fikir"; "paham" dengan "faham", yang manakah bentuk baku? Minta tuan tinjau WordPad saya kajian tentang masalah ini dan anjurkanlah pendapat tuan. Yang salah tentunya "fikir" dan "faham", sepatutnya dua kata itu berbentuk "pikir" dan "paham"! | Perkataan pohon dan mohon mempunyai persamaan makna kerana perkataan pohon selain bermaksud pokok, juga mempunyai maksud meminta dengan halus (dengan hormat). Dalam bahasa Melayu, penggunaan perkataan sama ada pinta atau minta, pikir atau fikir merupakan satu variasi dan menunjukkan keunikan bahasa Melayu. Penggunaan perkataan tersebut bergantung pada konteks ayat. Sesungguhnya kita tidak boleh menghukum mengatakan bahawa sesuatu ejaan tersebut salah kerana sifat bahasa yang unik bagi konteks penggunaan p atau m. Pihak kami hanya menjawab berdasarkan data rujukan kami, iaitu buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan serta bahan rujukan terbitan DBP. Bagi merungkai permasalahan yang lebih lanjut, puan/tuan bolehlah merujuk yang lebih arif tentang kajian atau pendapat puan/tuan. | Tatabahasa | 19.12.2016 |
Berdasarkan penjelasan tuan (ADA di depan kata kerja) Adakah ini bermakna ayat ADA di bawah tidak sesuai? 1(a) Dia ADA pergi ke sekolah pagi tadi. 1(b) Dia TELAH pergi ke sekolah pagi tadi. 2(a) Saya ADA menerima surat daripadanya. 2(b) Saya TELAH menerima surat daripadanya. 3(a) Dia ADA menyemak senarai hitam. 3(b) Dia TELAH menyemak senarai hitam. 4(a) Surat pelantikan ADA difailkan. 4(b) Surat pelantikan TELAG difailkan. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Empat, terdapat beberapa makna ada, iaitu; 1. boleh didapati (ditemui, dilihat, dsb), bukan khayalan atau rekaan, wujud: ada orang yg mempercayai hantu itu ~ dan ada pula yg mengatakan ianya khayalan manusia; tidak ~ lagi binatang raksasa sekarang; 2. boleh diperoleh (didapati, dijumpai, dsb) di sesuatu tempat: gula dan kopi ~ di dlm almari itu; dia tidak ~ di rumahnya sewaktu kami sampai; 3. telah sedia, telah terkumpul dsb (utk diberi perhatian dsb): ~ banyak surat yg perlu ditandatangani; ~ kerja penting yg belum diurus lagi; 4. mempunyai: Razi ~ banyak barang mainan; tidak ~ cita-cita; 5. (masih) hidup, belum meninggal dunia: ibunya masih ~ tetapi ayahnya sudah meninggal; dia sudah tak ~ dia sudah meninggal dunia; 6. benar-benar, sungguh-sungguh, sesungguhnya (digunakan utk menguatkan kata kerja selepasnya): dia ~ pergi ke sekolah petang tadi; saya ~ menerima surat daripadanya; 7. hadir (digunakan sbg menjawab panggilan guru dll sewaktu memastikan kedatangan murid dll); 8. apakah (digunakan utk melembutkan pertanyaan): ~ encik melihat adik saya? ~ gula, ~ semut prb kalau orang kaya banyaklah kawannya; ~ air, ~ (adalah) ikan = ~ padang, ~ belalang = ~ batang, ~ cendawan tumbuh prb di mana pun kita duduk, ada rezeki; Penggunaan perkataan ada dalam ayat yang dinyatakan boleh digunakan. | Tatabahasa | 16.08.2013 |
Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya? | Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini. | Tatabahasa | 29.05.2020 |
Apakah bentuk yang baku pula antara "tampak" dengan "nampak"? Dalam maya, ada orang mendakwa bentuk baku "tampak" kerana “tampak” lebih padan dengan lidah orang Indonesia. Saya berpendapat bahawa "tampak" baku bukan kerana kelumrahan pengucapan orang Indonesia, tetapi mungkin apabila menerima awalan me-, t menjadi n, iaitu "menampakkan", jadi kata dasar pastinya "tampak". Tetapi, saya tidak membuang kemungkinan bahawa "menampakkan" juga dapat berasal daripada "nampak" kerana huruf awal n juga ditambah dengan awalan me- dan kekal bentuknya, seperti nyala + me- ---> menyala (huruf n kekal); nanti + me- ---> menanti (jadi asal "menanti" tidak mungkin "tanti" kerana memang huruf asal n "menanti" huruf n juga, iaitu n pada "nanti"). Oleh itu, kedua-dua bentuk "tampak" dan "nampak" juga jitulah? Ataupun, ada orang salah memahami bahawa asal "menampakkan" "nampak" tanpa mengembalikan huruf awal n "menampakkan" kepada t yang usul pada "tampak", jadi hendaknya kata dasar "menampakkan" berupa "tampak"? | Dalam bahasa Melayu, penggunaan perkataan sama ada pinta atau minta, pikir atau fikir, tampak atau nampak merupakan satu variasi dan menunjukkan keunikan bahasa Melayu. Penggunaan perkataan tersebut bergantung pada konteks ayat. Sesungguhnya kita tidak boleh menghukum mengatakan bahawa sesuatu ejaan tersebut salah kerana sifat bahasa yang unik bagi konteks penggunaan p atau m. Pihak kami hanya menjawab berdasarkan data rujukan kami, iaitu buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan serta bahan rujukan terbitan DBP. Bagi merungkai permasalahan yang lebih lanjut, puan/tuan bolehlah merujuk yang lebih arif tentang kajian atau pendapat puan/tuan. | Tatabahasa | 19.12.2016 |