Salam, saya keliru pengggunaan titik bernoktah dan titik berkoma. A. Jelaskan ciri-ciri kompetensi yang berikut: atau ;0 I. Bertanggungjawab atau bertanggungjawap Ii. Menilai pencapaian atau menilai pencapaian | Tanda titik bertindih (:) digunakan seperti yang berikut: (1) pada akhir suatu penyataan apabila diikuti (a) rangkaian atau pemerian, atau (b) penjelasan. Contohnya: (a) Yang kita perlukan sekarang ialah barang-barang yang berikut: kertas, dakwat dan pen. (b) Ketua: Abdullah Salleh Hari : Isnin (2) di antara jilid atau nombor dengan halaman, (ii) di antara bab dengan ayat dalam kitab-kitab, atau (iii) di antara judul dengan anak judul. (3) Digunakan dalam teks drama sesudah kata yang menunjukkan pelaku dalam percakapan. Contohnya: Ibu: “Bawa bungkusan ini, Mir!” Tanda koma bertitik (;) digunakan untuk (1) memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara. Contohnya: Malam makin larut; kamu belum selesai juga. (2) memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majmuk sebagai pengganti kata penghubung. Contohnya: Ayah menyiapkan kertas kerjanya, ibu sibuk memasak di dapur; adik menghafal nama pahlawan nasional; saya sendiri asyik mendengar siaran pilihan pendengar. 2. Ejaan yang betul ialah bertanggungjawab | Tatabahasa | 24.03.2021 |
Bagaimana menggunakan tanda titik koma dengan betul dalam ayat,bagaimana ingin membezakan tanda baca titik koma dengan tanda baca koma dalam ayat,mengapa tanda baca ini jarang digunakan dan sila nyatakan beberapa contoh ayat yang mengandungi tanda baca titik koma. | Dibetulkan istilah tanda baca, daripada 'titik koma' kepada 'koma bertitik'. Tanda koma bertitik (;) digunakan apabila: (a) memisahkan dua atau beberapa klausa dalam satu ayat. Contohnya: (i) Membaca menambah ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikanlah kedua-dua ini pegangan hidupmu. (ii) Malam makin larut; kerja masih banyak. (b) memisahkan klausa induk daripada klausa atau frasa yang bermula dengan kata hubung juga, walau bagaimanapun, di samping itu, oleh yang demikian, sesungguhnya, dan sebagainya. Contohnya: (i) Harga barang-barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik. (ii) Antara pendekatan yang boleh digunakan termasuklah pendekatan psikologi; pendekatan androgogi; dan pendekatan sinergogi. (c) memisahkan klausa yang bersiri yang berlainan maklumat dalam satu ayat yang lengkap. Contohnya: kepada mereka yang selamat, diucapkan syukur; kepada mereka yang cedera, diminta bersabar; dan kepada keluarga mereka yang gugur, diucapkan takziah. Tanda koma (,) digunakan: (a) sebagai unsur pemisah. (b) sebagai unsur yang mengapit keterangan subjek, predikat atau objek. Contohnya: (i) Duit syiling itu jatuh, dan sebelum sempat dipungutnya, bergolek laju ke dalam lubang. (ii) Pagi tadi, sebelum datang ke sini, saya singgah sebentar di pejabat. (iii) Lima belas orang, termasuk dua orang wanita, telah menyertai bengkel itu. (c) mewujudkan ada perkataan yang telah dihilangkan. Contohnya: Saya mahu kopi. Dia, teh tarik. Tanda koma bertitik jarang digunakan, mungkin disebabkan pengguna kurang faham. Perbezaan penggunaannya tidak ketara, boleh menggunakan sama ada tanda koma atau koma bertitik untuk memisahkan beberapa klausa dalam ayat. Kecuali, jika dalam beberapa klausa ada penggunaan tanda koma. | Lain-lain | 04.03.2012 |
Soalan no.1 Tuan, selepas titik bertindih, adakah maklumat selepas itu mesti dimulakan dengan huruf besar? Contoh: Calon seharusnya dapat: (a) Mentakrifkan hadith marfu‘, mawquf, dan maqtu‘; (b) Mengemukakan pendapat ulama tentang hukum beramal dengan hadith marfu‘, mawquf, dan maqtu‘. Soalan no.2 Bagaimana dengan tanda baca pada setiap poin. Perlu diletak tanda noktah atau koma bertitik? | Penggunaan huruf besar pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) yang menggunakan tanda titik bertindih (:) adalah untuk menunjukkan keterangan yang boleh berdiri sendiri. Jika saudara menggunakan tanda koma bertitik (;) perlulah menggunakan huruf kecil pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) kerana ayat tersebut merupakan satu kesatuan. Ringkasnya, penggunaan huruf besar atau huruf kecil pada permulaaan ayat yang menggunakan (i), (ii) dan (iii) bergantung pada penggunaan tanda titik bertindih (:) ataupun tanda koma bertitik (;). Jika saudara menggunakan tanda titik bertindih (:), maka permulaan ayat perlu menggunakan huruf besar. Jika menggunakan tanda koma bertitik (;) perlu menggunakan huruf kecil pada permulaaan ayat. | Tatabahasa | 28.02.2013 |
Tuan, Terima kasih di atas respon yang diberi terhadap pertanyaan saya sebleum ini. Bagaimanapun, saya menghadapi kesukaran menerangkan kepada ahli mesyuarat saya tentang penggunaan huruf besar pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii). Mereka bertanya saya, "Kenapa perlu mulakan dengan huruf besar sedangkan sebenarnya setiap ayat tersebut adalah sambungan atau lanjutan daripada 'Murid akan dapat:'?". Harap tuan dapat membantu saya memberi penjelasan tentang perkara di atas. Kerjasama dan perhatian tuan amat dihargai. Terima kasih. Yang benar, (Susilawati Ehsan) Bahagian Pembangunan Kurikulum. | Penggunaan huruf besar pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) yang menggunakan tanda titik bertindih (:) adalah untuk menunjukkan keterangan yang boleh berdiri sendiri. Jika saudara menggunakan tanda koma bertitik (;) perlulah menggunakan huruf kecil pada setiap permulaan ayat (i), (ii) dan (iii) kerana ayat tersebut merupakan satu kesatuan. Ringkasnya, penggunaan huruf besar atau huruf kecil pada permulaaan ayat yang menggunakan (i), (ii) dan (iii) bergantung pada penggunaan tanda titik bertindih (:) ataupun tanda koma bertitik (;). Jika saudara menggunakan tanda titik bertindih (:), maka permulaan ayat perlu menggunakan huruf besar. Jika menggunakan tanda koma bertitik (;) perlu menggunakan huruf kecil pada permulaaan ayat. Contoh 1: (Ayat yang menggunakan tanda titik bertindih) Murid akan mendapat: i) Mengenal pasti ungkapan kuadratik (ii) Membentuk ungkapan kuadratik (iii) Menyelesaikan masalah yang melibatkan ungkapan kuadratik Contoh 2: (Ayat yang menggunakan tanda koma bertitik) Murid akan mendapat; i) mengenal pasti ungkapan kuadratik, (ii) membentuk ungkapan kuadratik, dan (iii) menyelesaikan masalah yang melibatkan ungkapan kuadratik. | Tatabahasa | 04.02.2010 |
apakah beza penggunaan : dan ; ? sebagai contoh, ....seperti berikut: atau seperti berikut; | Tanda titik bertindih (:) berfungsi: i. memperkenalkan atau menambah keterangan, contohnya - Prinsip hidup saya senang sahaja: Tekun dan ikhlas, ii. memisahkan subjudul daripada judul utama, contohnya - Ekonomi Kini: Prinsip dan Persoalan, iii. menunjukkan nisbah, contohnya - 12:12:12. Tanda koma bertitik berfungsi (;) berfungsi: i. memisahkan dua atau beberapa klausa utama, contoh - Makin larut malam; kerja makin banyak, ii. memisahkan klausa yang dimulai dengan kata hubung, contohnya - Seminar akan diadakan pada minggu hadapan; oleh yang demikian ... . | Tatabahasa | 07.01.2011 |
Soalan saya berkaitan tanda bacaan. Antara waris yang terlibat ialah: Atau; ( titik bertindih : atau koma bertindih; selepas iaitu? a. Datuk terdindig oleh bapa si mati. b. Nenek sebelah ibu. c...., Soalan saya juga adakah rincian tersebut perlukan tanda noktah, atau koma atau tidak perlu? | Berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Buku Gaya Dewan, terbitan DBP, terdapat 17 tanda baca yang telah digunakan dengan mantap,iaitu tanda koma(,), tanda noktah(.), tanda pisah (-), tanda sempang(-), tanda ellipsis (...), tanda titik bertindih (:), tanda koma bertitik (;), tanda soal (?), tanda seru (!), tanda kurung dan kelompok ({[( )]}), tanda kurung (( )), tanda kurung siku ([ ]), tanda kurung dakap ({ }), tanda petik (" "), tanda petik tunggal (' '), tanda garis miring (/) dan tanda penyingkat ('). Setiap simbol/tanda baca ada fungsinya. Tanda titik bertindih (:) digunakan seperti yang berikut: (1) pada akhir suatu penyataan apabila diikuti (a) rangkaian atau pemerian, atau (b) penjelasan. Contohnya: (a) Yang kita perlukan sekarang ialah barang-barang yang berikut: kertas, dakwat dan pen. (b) Ketua: Abdullah Salleh Hari : Isnin (2) di antara jilid atau nombor dengan halaman, (ii) di antara bab dengan ayat dalam kitab-kitab, atau (iii) di antara judul dengan anak judul. (3) Digunakan dalam teks drama sesudah kata yang menunjukkan pelaku dalam percakapan. Contohnya: Ibu: “Bawa bungkusan ini, Mir!” Tanda koma bertitik (;) digunakan untuk (1) memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara. Contohnya: Malam makin larut; kamu belum selesai juga. (2) memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majmuk sebagai pengganti kata penghubung. Contohnya: Ayah menyiapkan kertas kerjanya, ibu sibuk memasak di dapur; adik menghafal nama pahlawan nasional; saya sendiri asyik mendengar siaran pilihan pendengar. Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut tentang tanda baca, saudara boleh merujuk Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Buku Gaya Dewan, terbitan DBP. | Tatabahasa | 24.04.2023 |
Selamat sejahtera pihak DBP. Apakah contoh kelewahan tanda baca yang sering dilakukan? | Antara contoh kelewahan tanda baca yang sering dilakukan ialah penggunaan tanda baca yang lebih daripada satu atau yang telah ditetapkan. Antara contoh-contohnya, i. Tanda soal. Contohnya: Bilakah dia meninggal??? - cukup hanya satu sahaja ii. Tanda seruan. Contohnya: Berhenti!!! - cukup hanya satu sahaja iii. Menggunakan kedua-dua tanda bacaan. Contohnya: Bilakah dia meninggal?! - pilih salah satu yang besesuaian iv. Tanda titik. Contoh dalam cerpen/novel yang menggunakan titik lebih daripada 4 titik manakala Tanda elipsis ... Contohnya: ... bahawa kita menemui xxx - tidak boleh lebih daripada daripada 3 titik. | Lain-lain | 15.10.2018 |
Bagaimanakah cara penulisan dalam esei untuk i. Guru Besar/guru besar ii. Guru Tingkatan/guru tingkatan iii. dibankkan/membankkan? iv. dicop/dicap? v. Tanda baca (:-) sering digunakan dalam penulisan. (penyenaraian). Tetapi apabila saya rujuk saya tidak menjumpai tanda baca tersebut. vi. Contoh tanda baca dalam penyenaraian - Antara ciri-ciri tersebut: 1. Xxxxxxxxxxxxx; 2. Xxxxxxxxxxxxx; dan 3. Xxxxxxxxxxxxx. atau Kita gunakan noktah pada setiap akhir ayat? Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah: i. guru besar ii. guru tingkatan iii. dibankkan/membankkan - tidak ada contoh penggunaan kedua-dua kata ini, jika merujuk transaksi yang dilakukan boleh menggunakan perkataan lain seperti diamsukkan ke bank iv. dicap v. Penggunaan tanda baca yang betul ialah titik bertindin (:) atau sempang (-) vi. Contoh tanda baca dalam penyenaraian - Antara ciri-ciri tersebut: 1. Xxxxxxxxxxxxx; 2. Xxxxxxxxxxxxx; dan 3. Xxxxxxxxxxxxx. Penggunaan tanda baca dalam contoh ini betul. | Tatabahasa | 06.12.2011 |
SAYA INGIN TAHU TENTANG BILA MASA KITA PERLU MENGGUNAKAN TANDA-TANDA SEPERTI /,:,;,",',.,&,! DLL. PERLU ATAU TIDAK PERKATAAN SELEPAS ITU DIJARAKKAN ATAU MENGGUNAKAN HURUF BESAR ATAU KECIL | Menurut buku Gaya Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, terdapat beberapa fungsi bagi tanda-tanda yang dinyatakan. 1. Tanda Titik Bertindih ( : ) a) Memperkenalkan atau menambah keterangan. contoh : Prinsip hidup saya senang sahaja: Tekun dan ikhlas. (selepas 'sahaja' terus tanda titik bertindih dan barulah ada jarak dan huruf besar) b) Memisahkan: i) subjudul daripada judul utama buku dalam penulisan. ii) Nombor adegan daripada nombor babak drama, lakonan atau filem. iii) Nombor surah daripada nombor ayat dalam al-Quran. iv) Nombor jilid dan nombor halaman rujukan bagi buku berjilid. v) Nombor jilid, bilangan, dan halaman rujukan majalah. vi) tahun dan halaman rujukan bagi penerbitan. vii) Tempat terbit dan nama penerbit dalam penulisan biblografi. c) Menunjukkan nisbah. tanda seru ( ! ) - Digunakan dalam ayat seperti berikut Amboi, cantiknya pakaian dalam almari itu! -Huruf besar selepas tanda seru. Sila rujuk Buku Gaya Dewan untuk keterangan dengan lebih lanjut beserta contoh penggunaan simbol yang terdapat dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 11.09.2012 |
1. Mohon penjelasan tentang perbezaan penggunaan 'ke' dan 'kepada'. 2. Juga tentang perbezaan penggunaan 'dari' dan 'daripada'. 3. Betulkan penggunaan perkataan 'mengenai' hanya boleh digunakan untuk ayat yang membawa maksud kena dan tidak lagi boleh digunakan untuk membawa maksud tentang? Contoh: Tembakan penjenayah itu mengenai dada pengawal keselamatan. 4. Singkatan perkataan selalunya ditulis dengan titik, contoh salinan kepada ditulis s.k. Mengapakah perkataan yang berbahagia dato di tulis YBhg Dato' (tanpa titik)? | 1. Kata sendi nama "ke" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan waktu atau masa. Contoh: i. Mereka akan ke Kuantan esok ii. Mereka mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: i. Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat itu ii. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan iii. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. 2. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contoh: i. Angin bertiup kencang dari arah selatan ii. Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi iii.Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi. Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. 3. Perkataan "mengenai" boleh bersilih ganti penggunaannya dengan kata sendi nama "tentang" walaupun sebenarnya perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu melihat konteks ayat. Contoh ayat yang saudara kemukakan itu, perkataan yang betul dan tepat ialah mengenai, bukan kata sendi nama tentang kerana jika ditukar perkataan mengenai kepada tentang, ayat itu tidak mempunyai makna. Untuk keterangan lanjut tentang kata sendi nama ke, kepada, dari, daripada, dan tentang, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. 4. Ejaan yang betul untuk kependekan Yang Berbahagia ditulis sebagai YBhg. (ada tanda titik) bukan YBhg | Tatabahasa | 18.02.2010 |