Assalamualaikum dan salam sejahtera. 1. Apa yang membezakan penggunaan 'tiub' dan juga 'tabung'? Adakah kedua-duanya padanan kepada 'tube'? 2. Adakah 'badan', 'tubuh' atau 'tubuh badan' mempunyai makna yang sinonim? Mana yang paling tepat sebagai padanan kepada 'body' dalam bidang sains perubatan? 3. 'Tanah-tanih' merupakan istilah yang termasuk dalam hukum kekecualian iaitu perlu diletakkan tanda sempang sekalipun 'tanah' dan 'tanih' boleh berdiri sendiri dengan makna tersendiri. Adakah terdapat senarai lengkap istilah yang termasuk dalam hukum kekecualian ini? Terima kasih. | 1. Tiub ialah 1. benda yang bulat panjang dan berlubang di tengahnya, torak: ~ kaca (getah); 2. sejenis bekas daripada plastik dll yang digunakan untuk mengisi cecair yang likat dsb: ~ ubat gigi; 3. bahagian dalam tayar basikal. Manakala tabung ialah 1. bekas ruas daripada buluh dll (untuk menyimpan sesuatu), bumbung: ~ air; 2. bekas yang berbentuk silinder: ~ gas oksigen; 3. peti atau kotak (utk surat dll); 4. tempat menyimpan wang (daripada buluh dll), celengan; 5. sesuatu yang berbentuk bulat torak (dlm enjin dll), silinder; 6. wang yang dikumpulkan (dengan mengutip derma dll) untuk maksud tertentu, dana. Dalam data kami, padanan istilah tube dalam bahasa Melayu ialah tiub, tabung dan salur. 2. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, tubuh badan bermaksud keseluruhan jasad. Istilah yang sesuai digunakan dalam bidang perubatan ialah badan. 3. Tanah-tanih merupakan kata ganda yang bermaksud segala macam tanah. | Tatabahasa | 06.10.2013 |
Salam Saya hendak bertanya tentang ejaan "tiub falopio". Berdasarkan rujukan di PRPM (kamus dewan/glosari) perkataan ini dieja "fallopio" tetapi dalam buku teks tingkatan 1 dieja "falopio". Mohon pencerahan ejaan yang betul. Terima kasih | Salam sejahtera. Ejaan yang tepat bagi istilah tersebut ialah "tiub Fallopio", iaitu tiub yang membawa ovum yang dihasilkan oleh ovari ke dalam rahim. Tiub Fallopio juga dikenali sebagai oviduktus.
| Ejaan | 09.10.2019 |
Sila nyatakan frasa yang mana betul. 1. Tanpa 'mengalih' tiub, gantikan kayu dengan batu. 2. Tanpa 'mengalihkan' tiub, gantikan kayu dengan batu. Terima kasih. | Perkataan mengalih dan mengalihkan, kedua-duanya betul dan booleh digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 28.08.2012 |
1. Ahli bomba memadamkan api dengan air. 2. Ahli bomba memadamkan api dengan hos. 3. Ahli bomba memadamkan api dengan saluran paip air. Adakah penggunaan "hos" dan "saluran paip air" boleh digunakan untuk ayat di atas. Mengikut kamus, hos bererti tiub untuk mengalirkan air dari paipnya. Adakah saluran yang digunakan oleh ahli bomba untuk memadamkan api ialah hos? | Tiub merujuk tiub yang dibuat daripada getah dan sebagainya untuk menyalurkan cecair atau gas; manakala saluran ialah sesuatu (seperti paip) yang digunakan untuk mengalirkan benda-benda cair. Merujuk maksud perkataan hos dan saluran tersebut ketiga-tiga contoh ayat tersebut boleh diterima. | Tatabahasa | 14.04.2010 |
Salam sejahtera, Tuan/Puan Saya ingin rujuki istilah sains yang terdapat dalam "Carian Kata" laman sesawang DBP: 1) Delivery tube = diterjemahkan sbg "Salur penghantar" 2) Glass tube = diterjemahkan sbg "Tiub kaca" Walaupun kedua-dua istilah sumber mempunyai "tube", mengapa istilah sumber yang diberikan pula adalah berbeza? Adalah istilah "salur" dan "tiub" boleh digunakan secara rambang? Sekian, terima kasih. | Untuk makluman istilah digubal berdasarkan konsep. Istilah dibentuk oleh pakar bidang dan padanan bahasa Melayu ditentukan berdasarkan konsep sesuatu benda tersebut. Dalam konteks ini, bentuk, kegunaan dll akan diambil kira semasa membentuk istilah tersebut. Oleh sebab itu, sama ada salur atau tiub, bergantung pada konsepnya dan tidak boleh ditukar ganti secara rambang kerana istilah tube mempunyai beberapa padanan bahasa Melayu seperti salur, tiub dan tabung. | Istilah | 29.11.2011 |
Saya ada satu kemusykilan. Adakah perkataan 'kaleidoskop' juga membawa maksud 'pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada sesuatu tahun'? Terima kasih. | Tuan, Mengikut Kamus Dewan, kaleidoskop bermaksud: 1. sejenis alat mainan (berbentuk tiub, dengan lubang kecil pada satu penghujung) yang membolehkan seseorang melihat corak tertentu yang berwarna-warni (melalui lubang tersebut) apabila tiub itu diputarkan; 2. pola warna, imej, dan sebagainya yang sering berubah dengan cepat. | Istilah | 08.06.2019 |
Assalamualaikum/Selamat pagi, 1. Saya ingin kepastian mengenai terjemahan kata "carbon nanotubes". Yang mana yang tepat? karbon tiub nano atau karbon nanotiub atau saya boleh gunakan kedua-duanya? 2. Bagaimana pula untuk perkataan "multi-walled carbon nanotubes"? Untuk istilah "multi-walled" bolehkan saya guna istilah multi dalam bahasa melayu? Seperti "multi-dinding"? Sekian, terima kasih. Aminah. | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "carbon nanotube" dan "multi-walled carbon nanotube" ialah nanotiub karbon dan nanotiub karbon multidinding. | Istilah | 02.11.2016 |
makna efek,teoretisi,kaleidoskop? | Kata efek tak wujud dalam bahasa Melayu jika diterjemakan daripada kata effect (bahasa Inggeris) terjemahan dalam bahasa Melayunya ialah kesan (bukan efek) . Teoretisi tiada dalam bahasa Melayu yang ada hanyalah teoretis iaitu berdasarkan teori, berhubung dgn atau menurut teori. Kaleidoskop bermaksud; 1. sj alat mainan (berbentuk tiub, dgn lubang kecil pd satu peng hujung) yg membolehkan seseorang melihat corak tertentu yg berwarna-warni (melalui lubang tersebut) apabila tiub itu diputarkan; 2. pola warna, imej, dsb yg sering berubah dgn cepatnya. | Makna | 12.02.2008 |
Salam sejahtera tuan/puan. Sukacita sekiranya pihak tuan/puan dapat memberikan terjemahan bagi istilah berikut: 1. Tilt in Space Wheelchair 2. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Pipe Reclaim Conveyor 3.Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Tube Conveyor 4.Clay Mining Bulk Handling Gantry Crane 5.Clay Mining Bulk Handling Grab Barge Unloader 6.Clay Mining Bulk Handling Grab Ship Unloader 7.Clay Mining Bulk Handling Grizzly Feeder Sekian, terima kasih. | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan adalah seperti yang berikut: 1. Tilt in Space Wheelchair - Kerusi Roda Ruang Boleh Condong 2. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Pipe Reclaim Conveyor - Konveyor Pulih Guna Paip Sawat Boleh Lentur Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 3. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Tube Conveyor - Konveyor Tiub Sawat Boleh Lentur Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 4. Clay Mining Bulk Handling Gantry Crane - Kren Gantri Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 5. Clay Mining Bulk Handling Grab Barge Unloader - Pemunggah Barj Cekam Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 6. Clay Mining Bulk Handling Grab Ship Unloader - Pemunggah Kapal Cekam Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 7. Clay Mining Bulk Handling Grizzly Feeder - Penyuap Grizli Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat
| Istilah | 09.05.2016 |