Salam sejahtera, apakah istilah atau terma bagi ayat yang digunakan sebelum pengumuman sesuatu acara ketika mengacarakan majlis? Contohnya: 1. Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian 2. Yang Berbahagia Dato', tuan-tuan dan puan- yang dihormati sekalian dan seumpamanya. Adakah ia juga dikategorikan sebagai penanda wacana? Terima kasih. | Penanda wacana wujud sebagai isyarat bagi berlakunya (sudah berlaku, sedang berlaku atau akan berlakunya) sesuatu peristiwa. Ungkapan-ungkapan yang digunakan selain mempunyai makna tersendiri juga berfungsi sebagai pemberi isyarat bagi makna keseluruhan surat rasmi itu. Penanda wacana dibahagikan menurut jenis makna dan kata yang ditimbulkannya seperti penanda rujukan, penanda penyertaan, penanda makluman dan sebagainya. Kekeliruan berlaku apabila penulis tidak menggunakan penanda wacana yang betul dan tepat mengikut konteks dan makna yang hendak disampaikan. Untuk maklumat lanjut tentang penanda wacana, sila rujuk buku Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi, Bahasa dalam Komunikasi oleh Asmah Hj. Omar. Berdasarkan contoh yang diberikan, frasa tersebut dikategorikan sebagai “kata-kata aluan”. | Tatabahasa | 09.09.2022 |
Tuan-tuan , bolehkah beritahu saya antara perbezaan / kegunaan perkataan mengacau dengan mengacaukan? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, perkataan “mengacau” merupakan kata kerja tak transitif yang bermaksud mengganggu atau menimbulkan keadaan tidak tenteram atau tidak aman dan mengaduk sesuatu supaya bercampur. Contoh ayat: Sekejap lagi, cucunya akan bangun dan mengacau di dapur. Perkataan “mengacaukan” pula merupakan kata kerja transitif yang bermaksud mengacau sesuatu untuk seseorang dan menjadikan sesuatu hal bercampur dengan sesuatu hal yang lain. Contoh ayat: Saya terpaksa mengacaukan adik-adik saya bubur sebelum ke sekolah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana muka surat 931–932 dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 88-89. | Tatabahasa | 27.03.2024 |
Salam tuan. Adakah kata-kata berikut betul? 1. salah tempat Contoh ayat: Kamu sudah salah tempat untuk membuat kad pengenalan. 2. tuan-tuan dan puan-puan sekalian Terima kasih. | Penggunaan yang lebih formal untuk menyatakan hal tersebut ialah seperti contoh yang berikut: 1. Kamu berada di tempat yang salah untuk membuat pengaduan. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Terima kasih. | Tatabahasa | 26.08.2023 |
Adakah wujud perkataan "Paduka Tuan" atau "Tuan Paduka"? | Ya wujud. Kata "paduka tuan" dan "tuan paduka" terdapat dalam penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam karya klasik. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut: 1. Sultan memberikan kuasa kepada Orang Kaya Menteri Paduka Tuan untuk mentadbirkan hal agama Islam. 2. Maka itulah beta wakilkan kepada Tuan Paduka Seri Thomas Raffles.... Sila rujuk kamus terbitan DBP yang terkini iaitu Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk maklumat berkaitan kata dan maknanya. | Lain-lain | 21.09.2023 |
Salam sejahtera, tuan -tuan dan puan-puan. Saya ingin tanya bapa borek anak rintik membawa maksud yang positif ke ataupun negatif? | “Bapa borek anaknya tentu rintik”, boleh membawa maksud negatif atau positif bergantung pada konteks dan penggunaan dalam ayat. Contoh peribahasa ini ditunjukkan dalam ayat yang berikut: Ani mengahwini jejaka idaman setiap gadis. Namun begitu, kini timbul desas-desus bahawa suaminya itu akan berkahwin lagi. Dia terus percaya kerana bapa mentuanya sendiri pernah berkahwin empat. Benarlah, bapa borek anaknya tentu rintik. | Lain-lain | 13.06.2023 |
Salam sejahtera! Bagi panggilan/gelaran tuan haji, yang mana satu betul? tuan haji atau Tuan Haji? Ayat contoh: assalamualaikum tuan haji/Tuan Haji. Sekian terima kasih! | Gelaran tuan haji ditulis dengan huruf kecil jika merujuk gelaran secara umum. Contohnya: Assalamualaikun tuan haji. Jika gelaran tersebut di hadapan nama khas seseorang, huruf pertama ditulis dengan huruf besar, contohnya Tuan Haji Hamdan Yahya. | Ejaan | 03.11.2021 |
SAYA INGIN BERTANYAKAN BAGAIMANA INGIN MEMBUAT LAWATAN? TUAN ADA CADANGAN BAHAGIAN APA YANG BOLEH DILAWAT | Untuk makluman tuan, tuan perlu menghantar permohonan berserta maklumat lawatan kepada: Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 KUALA LUMPUR. E-mel: hazami@dbp.gov.my; cc kepada: dina@dbp.gov.my Antara cadangan tujuan lawatan adalah untuk menambah pengetahuan tentang penerbitan di DBP seperti proses menerbitkan kamus, majalah dan buku pelbagai genre. Puan juga boleh mengetahui tentang kursus-kursus atau program-program yang diadakan yang melibatkan pelajar sekolah. | Lain-lain | 11.06.2024 |
Saya ingin mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa & Pustaka bersama ahli-ahli saya seramai 40 orang. Dengan siapa saya boleh hubungi dan aturkan lawatan tersebut? | Untuk makluman tuan, tuan perlu menghantar permohonan beserta maklumat lawatan kepada: Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 KUALA LUMPUR. | Lain-lain | 20.08.2023 |
Salam tuan,harap tuan boleh menjawab soalan berkenaan "ialah" dan "adalah". Hobi saya ialah membaca buku. Adakah "ialah" betul? Adakah "membaca buku" ialah frasa kata kerja? Mohon pencerahan tuan untuk kedua-dua soalan di atas. | “Ialah” dan “adalah” merupakan kata pemeri. Penggunaan kata pemeri “ialah” hadir di hadapan frasa nama. Kata pemeri “adalah” pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. “Membaca buku” merupakan frasa kerja. Namun demikian, kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh itu, ayat yang betul ialah “Hobi saya membaca buku.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 89, 90, 263, 264 dan 385. | Tatabahasa | 29.08.2024 |
Tarikh perlu ditetapkan oleh pihak tuan atau pihak tuan tetapkan? Penggunaan dalam e-mel atau surat kiriman,pihak tuan merujuk kata ganti diri kedua atau ketiga? | Frasa yang betul ialah “Tarikh perlu ditetapkan oleh pihak tuan”. “Pihak tuan” merupakan kata ganti nama kedua dalam penulisan e-mel atau surat kiriman rasmi. | Tatabahasa | 19.10.2023 |