Selamat Sejahtera, 1. Saya mempunyai kemusykilan untuk mengetahui golongan kata 'nya' yang bergabung dengan perkataan 'misalnya' dan 'contohnya'. Adakah 'nya' dalam perkataan tersebut dikategorikan sebagai kata pascakata yang berfungsi sebagai penekan atau pembenda? 2. Boleh jelaskan juga apakah sebenarnya golongan kata untuk perkataan 'misal', 'contoh' dan 'barangkali. | -nya merupakan kata ganti diri orang ketiga. Hanya digunakan pada manusia dan Kata ganti nama Nya yang merujuk kepada Allah hendaklah dieja dengan tanda sempang dan huruf besar seperti di sisi-Nya dan kehendak-Nya. Selain bertindak sebagai kata ganti nama diri orang ketiga 'nya' juga bertindak sebagai kata pembenda/penekan. "Misal" dan "contoh" terdiri daripada kata nama, manakala "barangkali" terdiri daripada kata tugas. | Istilah | 01.08.2013 |
Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya? | Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini. | Tatabahasa | 29.05.2020 |
1)Diperkenalkannya imbuhan Ke pascakata sebab ade nya..kalau merupakan imbuhan apitan di-kan...nya bertindak sebagai apa 2)kebergantungan..imbuhan awalan apa?ke ade dua imbuahan awalan.. 3)pertama adakah kata tugas..persoalannya boleh kah menjadi imbuhan awalan per+tama | 1. Imbuhan dipeR- ...-kan ialah apitan yang membentuk kata kerja pasif transitif, contoh ayat: Dasar Wanita diperkenalkan untuk membantu kaum wanita. "Nya" ialah kata ganti nama diri orang ketiga. 2. Mengambil contoh perkataan "kebergantungan", terbit daripada akar kata gantung, mendapat awalan beR- menjadi berguna dan menerima pula apitan ke-...-an. Dalam bahasa Melayu, tidak wujud apitan kebeR-...-an untuk menghasilkan bentuk kata seperti kebergantungan. 3. Kata tugas ialah unit yang tidak dapat berdiri sendiri yang memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Fungsinya sebagai penghubung, penerang, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, dan pemeri. Contoh : dan, atau, wah, sila, maka, akan, sangat, pun, dan ialah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 91 - 93. | Tatabahasa | 07.08.2018 |
apakah maksud kecuaian dalam pekerjaan | Puan Jamiah, Maksud "kecuaian dalam pekerjaan" dapat ditakrifkan secara literal bahawa sesuatu perbuatan yang cuai atau lalai ketika melaksanakan pekerjaan atau tugas yang diarahkan. Bersama-sama ini dilampirkan takrifan kata "cuai dan pekerjaan" yang dipetik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat untuk rujukan puan. kecuaian perihal cuai, kelalaian: nahas itu berlaku kerana ~ pemandu lori itu; pekerjaan sesuatu yg diusahakan (dilakukan berterusan) kerana mencari nafkah: ~nya yg baru ini menjadikan hidupnya agak senang; mencari ~ berusaha utk mendapatkan jawatan atau tugas-tugas yg menghasilkan pendapatan (secara berterusan); 3. (segala) tugas atau urusan (yg telah ditentukan sbg tanggungjawab), kewajiban, peranan: pastikan supaya dia menjalankan segala ~nya dgn memuaskan; anggota pertubuhan ini hendaklah menjalankan ~ masing-masing; 4. sesuatu (apa sahaja) yg dilakukan, perbuatan: setiap hari itulah saja ~nya, menghabiskan masa dgn kawan-kawannya | Makna | 06.03.2009 |
1. Salah satu kata tugas ialah kata pembenda. Tolong jelaskan maksud "kata pembenda" ( seperti lajunya, sakitnya, baiknya ). 2. Apakah definisi lengkap "kata majmuk" ? 3. Adakah "kata" dan "perkataan" merujuk kepada makna yang sama ? | 1. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama misalnya lajunya, sakitnya, lantangnya. 2. kata majmuk ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit dan lazimnya dieja terpisah. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk maklumat lanjut. 3. Kata dan perkataan merujuk makna yang sama. | Tatabahasa | 09.04.2009 |
Assalam 1. Adakah -nya dan -lah tersenarai sebagai kata imbuhan akhiran? 2. Mengapakah perkataan memperolehi tidak betul sedangkaan perkataan membaiki betul ? Terima kasih. | 1. Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. Kata penegas atau partikel memberi penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat, iaitu -kah, -tah dan -lah. 2. Awalan memper- juga awalan pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk, iaitu memper-. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan per-. Namun demikian, dalam ayat aktif, per- tidak boleh wujud tanpa awalan men- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi diper- dalam ayat pasif seperti memperoleh. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya; alat - memperalat, daya - memperdaya (kata nama). Kata adjektif; luas - memperluas, tinggi- mempertinggi. Oleh- memperoleh. Kata tugas yang terdiri daripada kata sendi nama. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 177-178.
| Tatabahasa | 07.01.2014 |
Terjumpa istilah ini: SCIENCE POPULARIZATION. Apa terjemahan dalam bahasa Melayu? Adakah PEMPOPULARAN SAINS? Bagi perkataan dengan imbuhan "memper...kan", benarkah imbuhan "kan" dalam perkataan itu perlu/boleh digugurkan dalam penggunaannya? Contoh, cukup sekadar "mempertajam ilmu" bukan lagi "mempertajamkan ilmu." Adakah syarat ini terpakai dalam semua keadaan, dengan kata lain, apa-apa perkataan yang menerima imbuhan "memper...kan" boleh digugurkan imbuhan "kan"nya itu. Mohon nasihat. Terima kasih. | 1. Untuk makluman, tidak terdapat istilah khusus untuk SCIENCE POPULARIZATION. Walau bagaimanapun, terdapat istilah bahasa Melayu untuk popularization, iaitu popularisasi. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan, popularization diterjemahkan sebagai usaha mempopularkan. 2. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya: memperalat (kata nama 'alat'), memperluas (kata adjektif 'luas' dan memperoleh (kata tugas 'oleh). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (ms. 177 - 181) | Istilah | 02.08.2011 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. saya ingin bertanyakan soalan iaitu: 1. Bagaimanakah cara untuk membezakan dan menggunakan imbuhan meN-...-i dan meN-...-kan 2. Apakah perbezaan kata adverba dan kata penekan ? | 1. Fungsi apitan meN-...-kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-imenandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-imenerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Tidak berlaku pengguguran apitan meN-...-kan atau meN-...-i, dalam konteks ayat tersebut perkataan yang sesuai ialah mengambil. 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata adverba tersenarai sebahagian daripada katatugas kerana fungsinya mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu sama ada sebagai penghubung, penerang atau penentu. Kata adverba ialah kata yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, katanama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat. Kata Penekan ialah kata yang memberikan penegasan kepada perkataan yang tergabung dengannya. Contohnya: -nya dalam Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. | Tatabahasa | 21.07.2018 |