Antara berikut ayat manakah betul? 1. Tulis jawapan berdasarkan petikan 2. Tuliskan jawapan berdasarkan petikan 1. Tulis ayat yang betul berdasarkan gambar. 2. Tuliskan ayat yang betul berdasarkan gambar. Sekiranya ayat tersebut betul atau salah, bolehkah saya tahu mengapa. | Salam sejahtera, Tuan, Ayat yang dinyatakan betul dari segi tatabahasanya ialah ayat "Tuliskan jawapan berdasarkan petikan" dan " Tuliskan ayat yang betul berdasarkan gambar". Ayat yang dinyatakan merupakan ayat arahan. Arahan lazimnya mengandungi kata kerja dengan imbuhan kan seperti tuliskan. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 06.04.2018 |
Apa beza dirujuki dan dirujuk, garisi dan gariskan, tulisi dan tuliskan? Yang mana betul penggunaannya? | Penggunaan yang betul ialah dirujuk, gariskan dan tuliskan. Akhiran -kan boleh bergabung dengan banyak golongan kata dan membentuk kata transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua dan dalam ayat suruhan. Kata Kerja akhiran -i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran -i, iaitu: memberi pengertian menyebabkan sesuatu dan menyatakan unsur tempat. Perbezaan penggunaan ...i dan ...kan kerana akhiran ...kan mengandungi unsur benefaktif manakala akhiran ...i mengandungi unsur lokatif (tempat), contoh belikan - membeli untuk orang lain, naiki - naik ke atas suatu tempat. (Rujuk Tatabahasa Dewan) | Tatabahasa | 17.07.2013 |
Salam, Yang mana lebih tepat? (a) Tulis jawapan yang betul berdasarkan gambar. (b) Tuliskan jawapan yang betul berdasarkan gambar. | Dalam bentuk arahan, ayat "Tuliskan jawapan yang betul berdasarkan gambar" adalah yang paling tepat. | Tatabahasa | 18.05.2012 |
Mohon pencerahan, bagi penggunaan arahan soalan dalam buku latihan murid seperti: Warnakan Tuliskan Suaikan Padankan Tandakan Adakah perlu dibuang "kan" di belakangnya? | Untuk makluman, perkataan seperti "Warnakan", "Tuliskan", "Suaikan", "Padankan" dan "Tandakan" perlu dikekalkan penggunaan "-kan" kerana bertujuan memberikan perintah atau arahan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 448. | Tatabahasa | 24.07.2025 |
Boleh saya tahu tatabahasa bagi ayat-ayat yang berikut betul atau salah? saya keliru perlu imbuhan -kan atau tidak. 1. Tuliskan kosakata yang anda suka. 2. Pilihkan kosakata yang anda suka. 3. Bulatkan kosakata yang anda suka. | Ayat yang betul ialah: 1. Tulis kosa kata yang anda suka. / Tuliskan kosa kata yang anda suka. 2. Pilih kosa kata yang anda suka. / Pilihkan kosa kata yang anda suka. 3. Bulatkan kosa kata yang anda suka. Bulat ialah kata adjektif. Ayat suruhan dengan kata adjektif perlu disertai dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 30.01.2024 |
Selamat sejahtera tuan / puan, Tolong bimbing saya untuk mengenal pasti sama ada ayat-ayat berikut benar atau salah. 1. Tuliskan saya sepucuk surat. 2. Antara yang berikut, yang manakah benar? 3. Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. 4. Kami dilindungi. 5. Anita saya kirimi sepucuk surat. 6. Bas yang mereka naiki itu rosak. Sekian, terima kasih. | Selamat sejahtera, 1. Tuliskan saya sepucuk surat. - Ayat ini betul 2. Antara yang berikut, yang manakah benar? - Ayat ini betul 3. Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. - Ayat ini betul 4. Kami dilindungi. - Ayat ini tergantung. 5. Anita saya kirimi sepucuk surat - Ayat yang betul ialah Saya mengirim sepucuk surat kepada Anita. 6. Bas yang mereka naiki itu rosak. - Ayat ini betul | Tatabahasa | 21.09.2015 |
Salam, ayat yang manakah betul? 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Boleh terangkan penggunaan imbuhan akhiran-kan? Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah: 1. Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Akhiran –kan merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (I) memberi pengertian kausitif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (II)memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan(membelikan untuk orang lain), masak-masakkan.
| Lain-lain | 20.10.2023 |
Salam, ayat yang manakah betul? 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Boleh terangkan penggunaan imbuhan akhiran-kan? Terima kasih. | Semua ayat tersebut betul: 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Akhiran –kan juga merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (ii) memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan (membelikan untuk orang lain), masak-masakkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183 - 186.
| Lain-lain | 23.10.2023 |
assalamualaikum dan selamat sejahtera, apa yg saya ingin tuliskan di sini ialah mengenai dewan kosmik terbitan pihak dbp. alhamdulillah banyak input yang kami, sebagai pelajar dapat daripada majalah tersebut. namun apa yang saya kesal kan di sini ialah mengenai harga dan saiz. seperti mana yang diketahui karangkraf telah memberikan hakmilik dewan kosmik kepada pihak dbp semula.harga yang ditetapkan pihak dbp terlalu mahal. mmg lah ilmu itu penting. namun rm 6 dengan harga rm4.80(harga lama) mcm x munasabah. selain itu, jika dibandingkan kosmik lama dan baru, kosmik baru lebih pendek. dan pengisian agak kurang berbanding yg lepas. di harap pihak dbp dapat mempertimbangkan apa yang saya komenkan ini.terima kasih | Terima kasih dan syabas atas penghargaan saudara kepada majalah Dewan Kosmik. Sebenarnya Karangkraf tidak memberikan hak milik Dewan Kosmik kepada DBP, seperti yang saudara sebutkan. Hak milik Dewan Kosmik ialah DBP kerana majalah ini diterbitkan mengikut Akta DBP. Saiz majalah Dewan Kosmik mengikut spesifikasi mesin cetak. Komen saudara tentang harga dan pengisiannya diambil maklum. | Lain-lain | 15.01.2008 |
Selamat pagi, pohon semak arahan berikut, terima kasih. a. Nyatakan alasan terhadap program pertukaran pilihan anda. atau Nyatakan alasan mengapa anda memilih program tersebut. b.Bincangkan dengan rakan anda dan bentangkan hasil dapatan tersebut. atau Bincangkan bersama-sama dengan rakan anda dan bentangkan hasil perbincangan tersebut. c. Tuliskan Kanji di tempat yang bergaris. atau Tuliskan Kanji pada ruangan yang bergaris. atau Tuliska Kanji di ruang yang bergaris. d. Tahukah anda tentang amalan hidup orang Jepun? Dapatkan maklumat dan lengkapkan jadual berikut. atau Tahukah anda tentang kehidupan seharian orang Jepun? Dapatkan maklumat daripada sumber yang sesuai dan lengkapkan jadual yang disediakan. e. Rakan-rakan anda menceritakan tentang perkara yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian mereka. Bina ayat berdasarkan contoh. atau Rakan-rakan anda menceritakan tentang perkara yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka. Bina ayat berdasarkan contoh. f. Baca itinerari yang disediakan oleh Zul. atau Baca jadual yang disediakan oleh Zul. g. Apabila kita memperkatakan negara Jepun,,,,,, atau Apabila kita memperkatakan tentang negara Jepun.... | 1. Nyatakan alasan terhadap program pertukaran pilihan anda. 2. Bincangkan bersama-sama rakan anda dan bentangkan hasil dapatan tersebut. 3. Tuliskan Kanji pada ruangan yang bergaris. 4. Tahukah anda tentang kehidupan seharian orang Jepun? Dapatkan maklumat daripada sumber yang sesuai dan lengkapkan jadual yang disediakan. 5. Rakan-rakan anda menceritakan perkara yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka. Bina ayat berdasarkan contoh. 6. Lihat jadual yang disediakan oleh Zul. 7. Apabila kita memperkatakan negara Jepun... | Tatabahasa | 11.05.2014 |