SESUAIKAH PERKATAAN 'TUNTASNYA' MENGGANTIKAN PERKATAAN 'KESIMPULANNYA' DALAM KARANGAN? WAJARKAH KITA MENGGUNAKAN PERKATAAN 'KONKLUSINYA' BAGI MENGGANTIKAN PERKATAAN 'KESIMPULANNYA' SEDANGKAN PERKATAAN TERSEBUT HANYALAH PINJAMAN SAHAJA. APA PENDAPAT TUAN? | Saudara Nor Aznim, Perkataan tuntas bermaksud menyeluruh, sempurna, lengkap,segala-galanya. Perkataan kesimpulan bermaksud 1. ringkasan dr apa yg telah dibicarakan dll, inti atau isi dr keseluruhannya (karangan, syarahan, dll), kesudahan pendapat, ikhtisar: boleh pula disuruh kanakkanak membuat satu-satu ~ dr bacaannya; 2. keputusan: mahasiswa telah mengambil ~ mengecam tindakan Amerika Syarikat mengebom Vietnam Utara. Oleh itu, daripada kedua-dua makna tersebut, perkataan 'tunta' tidak sesuai digunakan, manakala perkataan 'konklusi' bukan varian bagi perkataan 'kesimpulan'. | Tatabahasa | 17.05.2010 |
Adakah DBP menerbitkan kamus yang memberi definisi perkataan-perkataan bersertakan golongan kata seperti yang telah diterbitkan oleh pelbagai kamus bahasa Inggeris (Oxford, Longman, dll.)? Contoh: Makan - 1. (kata kerja) perbuatan.... 2. (kata nama) santapan... Sesetengah perkataan yang dicari di halaman Carian Kata PRPM tidak mempunyai paparan golongan kata. Sebagai contoh, perkataan "punya" tidak diberi golongan katanya di halaman tersebut, tetapi hanya diberi penjelasan definisinya. Paparan golongan kata mampu meyenangkan lagi tugas penyelidik dalam bidang linguistik seperti saya. Terima kasih. | Untuk makluman tuan, DBP telah menerbitkan buku Tesaurus Bahasa Melayu Dewan: Edisi Baharu, 2008 yang memerikan perkataan berserta dengan golongan kata. Sebagai contoh, perkataan makan diberikan pemerian dan golongan kata berserta kata terbitan yang terhasil pada halaman 538 manakala perkataan punya pada halaman 681. Bagi penyelidik linguistik seperti tuan, kami cadangkan tuan mempelbagaikan sumber rujukan bagi mendapatkan hasil penyelidikan yang lebih tuntas. | Tatabahasa | 04.06.2014 |
adakah setiap perkataan asing yang digunapakai dalam Bahasa Melayu terlebih dahulu dibincang dan dipilih oleh panel DBP seperti perkataan Jawa, Inggeris dan dailek(daerah-daerah di negeri-negeri di Malaysia) contohnya sekarang kita menggunakan perkataan Tuntas, Transformasi, jom dll. | Sebenarnya dalam setiap bahasa itu peminjaman bahasa memang berlaku secara tabii apabila dua komuniti bahasa, bahkan juga dua komuniti dialek, bertemu satu sama lain- juga bermakna pengambilan unsur bahasa daripada bahasa-bahasa lain ke dalam bahasa sendiri. Contohnya fikir - bahasa Arab, ayu- Jawa, almari - Portugis. Penggunaan kata pinjaman ini bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut terutamanya penggunaan dalam bidang-bidang khusus. Manakala kata serapan pula ialah kata daripada bahasa asing yang diambil masuk dengan hanya menyesuaikan bunyi, dan ejaannya jika perlu supaya sesuai dengan bunyi dan ejaan Melayu. Peminjaman usur-unsur bahasa asing merupakan kelaziman. Sebab peminjaman ialah 1.Tiada perkataan dalam BM dan keperluan memberikan nama am atau khsusus kepada benda, perkara (fenomena)2. Perkataan BM belum ada yang dapat menepati maksud semantik bahasa asing.3.Perkataan asing sesuai dan kelihatan lebih bergaya berbanding BM sedia ada yang mungkin sudah lapuk .Misalnya matematik menggantikan ilmu hisab. Peminjaman unsur asing oleh BM dapat dilihat dari segi peminjaman. 1. huruf atau sistem tulisan 2. bunyi-bunyi 3. imbuhan 4. kosa kata seperti perkataan, istilah, dan peribahasa asing, dan 5. struktur ayat. Jenis-jenis peminjaman ialah 1. peminjaman tulen (matematik, bonus), 2. peminjaman kacukan (kasut but), 3. peminjaman pemerian (kapal selam, kapal terbang, peluru meriam) 4. peminjaman dialek Igmpar (dialek Pulau Pinang).5. peminjaman kuno (purnama) 6.peminjaman berpindah (vokal/vowel). Penggunaan bahasa asing dalam bahasa Melayu semakin berleluasa dan tidak terkawal kerana sifat sesuatu bahasa itu sendiri yang sentiasa berkembang seiring dengan perubahan dari semasa ke semasa. DBP hanya menerima perkataan asing sekiranya mematuhi proses peminjaman unsur asing ke bahasa Melayu. Silalah berkunjung ke Pusat Dokumentasi Melayu, DBP untuk maklumat lanjut.
| Tatabahasa | 14.03.2013 |
Apakah yang dimaksudkan dengan novel popular dan novel berat? Apakah perbezaan yang ketara antara kedua-dua jenis novel? | Untuk pengetahuan saudara, belum ada definisi yang tuntas berkaitan dengan novel popular dan novel serius. Walau bagaimanapun kedua-dua novel ini dapat dibezakan. Antara ciri-ciri novel popular ialah mempunyai tema cerita yang banyak menekankan persoalan cinta yang sememangnya memenuhi ruang kehidupan muda-mudi, ceritanya santai yang tidak meninggalkan kesan pembacaan, dan plot cerita yang mudah tidak perlu menggunakan daya intelektual yang tinggi untuk memahaminya. Biasanya novel popular diminati oleh golongan remaja. Novel popular juga mempunyai nilai komersial, yang lebih mengutamakan keuntungan daripada penjualan novel tersebut atas kemampuannya menambat hati pembaca untuk membelinya.1"> 1"> Manakala novel serius pula dikenali juga sebagai novel intelektual iaitu novel yang memberi banyak maklumat dalam pelbagai bidang ilmu yang dapat menambah pengetahuan pembaca. Tema dan persoalannya serius yang memaparkan tentang keagungan tamadun bangsa, mengandungi unsur falsafah dan pemikiran, dan plot cerita yang kompleks yang memerlukan daya berfikir yang tinggi daripada pembaca untuk memahaminya. Dengan membaca novel serius, pembaca akan mendapat kesan intelektual yang tinggi yang dapat memberi manfaat kepada kehidupan. 1"> | Sastera | 28.11.2019 |