Peribahasa melayu membawa banyak makna tersirat sebagai medium komunikasi. Adakah peribahasa seperti "seperti kacang lupakan kulit". "gunting dalam selimut", marahkan nyamuk kelambu dibakar" boleh dikatakan membawa suatu konotasi negatif kepada masyarakat melayu? kerana peribahasa terhasil daripada ketajaman pemerhatian orang dahulu kala. | Peribahasa Melayu ialah salah satu medium komunikasi yang tercipta hasil daripada tuturan mulut ke mulut dan kemudian diwarisi kepada satu generasi kepada satu generasi sebagai satu etos bangsa. Etos ialah sistem nilai yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Sifat sesebuah masyarakat diandaikan terbit daripada sistem nilai yang menjadi panduan kepada kehidupan mereka sebagai sebuah masyarakat yang terbentuk atas persetujuan para anggotanya untuk patuh kepada sesuatu pegangan hidup secara bersama. Pegangan hidup itu ialah nilai hidup yang menjadi ukuran kepada apa-apa yang baik dan tidak baik. Oleh itu, ketiga-tiga peribahasa di atas tidak membawa konotasi negatif, tetapi sebaliknya sebagai satu ingatan atau pesanan kepada pendengarnya agar tidak bersifat sedemikian. Secara tidak langsung, peribahasa-peribahasa tersebut ingin mengingatkan kita bahawa bangsa Melayu sangat berpegang kepada nilai-nilai atau etos yang baik demi kerukunan hidup bersama. | Sastera | 19.08.2024 |