Mengapakah ejaan ubahsuai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dieja jarak, sedangkan ubah suai itu merupakan akronim daripada ubah sesuai ? | Ubah suai merupakan dua perkataan yang terdiri daripada morfem bebas, iaitu ubah dan sesuai, oleh itu ia perlu dipisahkan, sama seperti atur cara iaitu atur dan acara. | Tatabahasa | 24.08.2006 |
1. Adakah perkataan SUAI itu kata akar? Apakah definisinya? (sebab dalam kamus dewan saya jumpa istilah ubah suai, suai kenal dan tali suai) 2. Adakah perkataan SESUAI itu, kata SUAI yang menerima imbuhan SE - 3. Mana satu yang betul dalam membina ayat, (a) SUAIKAN gambar A dan gambar B, atau (b) SESUAIKAN gambar A dan gambar B. 4. Atau lebih baik digunakan PADANKAN (match) terima kasih. | 1. Perkataan suai ialah kata akar, manakala perkataan suai kenal, ubah suai dan tali suai ialah kata majmuk (kata yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih tetapi membawa satu makna). 2. Awalan se + suai membentuk kata terbitan sesuai. 3. SESUAIKAN/PADANKAN gambar A dengan gambar B. - kedua-duanya betul | Tatabahasa | 25.11.2011 |
temuduga atau temu duga soalselidik atau soal selidik masakini atau masa kini kadang kala atau kadangkala ubahsuai atau ubah suai acapkali atau acap kali | Jawapan yang betul ialah: 1. temu duga 2. soal selidik 3. masa kini 4. kadangkala 5. ubah suai 6. acap kali | Ejaan | 05.04.2013 |
ubahsuai (akronim)? | Ubah suai ialah kata majmuk. Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu , dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Contohnya, kapal terbang dan gambar rajah. Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata. Contohnya, cerpen dan Bernama. | Tatabahasa | 04.07.2011 |
Saya telah merujuk kepada Koleksi Lembar Bahasa 2000-2001 dan 2007. Ada beberapa kekeliruan: 1. cap (tera/cetak) - cap (apa kesalahan ejaan tersebut? Adakah istilah cop yang dimaksudkan?) 2. istirehat - isytirahat. Istilah mana yang tepat? Isytirahat atau istirahat? 3. diubah suai - diubahsuai. Mengikut buku Tatabahasa dewan, kata majmuk berpasangan yang ditambah imbuhan apitan sahaja akan ditulis rapat, contoh ubah suai menjadi diubah suai sepatut masih ditulis terpisah tetapi dalam senarai Koleksi Lembar Bahasa tercatat sebagai yang betul ialah diubahsuai ? 4. Bandar raya - Bandar raya. Apa kesalahan ejaannya? Ada beberapa istilah yang betul tetapi dicatatkan salah ejaannya. 5. Definasi - Fefinisi. Adakah ini kesalahan menaip? 6. Cendekiawan atau cedekiawan? 7. Apa perkaitan renik (rendah) dengan ruang niaga? Terima kasih | Penggunaan kata/ejaan yang betul ialah cap, istirahat, ubah suai, diubah suai, bandar raya, definisi, cendekiawan, renek dan ruang niaga. Untuk maklumat lanjut rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan di ruangan Carian Spesifik taipkan perkataan yang hendak dicari. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Ejaan | 11.12.2011 |
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia Saya sedang menulis tesis dalam bahasa melayu diperingkat PhD dalam jurusan kejuruteraan elekktrik di UKM. Pertanyaan saya ialah mengenai satu pendekatan "Adaptive Neuro Fuzzy Inference System (ANFIS)". Saya terjemahkannya sebagai "Sistem Taabir Kabur Neuro Adaptif", adakah boleh diterima atau ada cadangan lain dari pihak tuan/puan. Sekian | Untuk makluman tidak ada istilah khusus untuk Adaptive Neuro Fuzzy Inference System (ANFIS). Walau bagaimanapun, kami ada istilah untuk Neuro Fuzzy (Neural Kabur), Adaptive (Ubah Suai) dan Inference (Inferen). Oleh itu, istilah yang kami cadangkan ialah Sistem Inferen Neural Kabur Ubah Suai. | Istilah | 20.04.2011 |
Salam 1Bahasa, Tuan, 1. Perkataan 'ubahsuai' dikatakan perkataan terbaharu Kata Nama Majmuk Mantap yang akan dimasukkan dalam Tatabahasa Dewan pada masa akan datang. 2. Ungkapan 'Sehubungan dengan itu...' dikatakan lewah kerana dalam Kamus Dewan, ungkapan 'sehubungan' bermaksud 'berkaitan dengan'. Dengan kata lain, 'Sehubungan (berkaitan dengan) dengan itu...' adalah lewah. Ada juga yang mengatakan fungsinya sebagai penanda wacana. 3. Perkataan 'cendera' dikatakan bermaksud 'melalaikan mata'. Jadi, kata nama 'cenderamata' adalah lebih tepat berbanding dengan 'cenderahati'. Dengan kata lain, kita bukannya hendak melalaikan hati tetapi melalaikan mata dengan pemberian cenderamata. 4. Perkataan 'sempang' dikatakan merujuk kepada penggunaan kata ganda, contohnya, gunung-ganang manakala perkataan 'sengkang' pula dikatakan merujuk kepada maksud 'hingga', contohnya, dari pagi - petang. Mohon penjelasan tuan tentang perkara di atas. Terima kasih. | 1. Ubah suai tidak tergolong dalam kategori kata majmuk yang telah mantap ejaannya sebagai satu perkataan. Sehingga kini ubah suai dieja sebagai dua perkataan. 2. Perkataan sehubungan bermaksud berkaitan dengan atau bersangkutan dengan. Frasa "sehubungan dengan itu" bermaksud sama dengan. Berdasarkan makna yang tersebut, perkataan sehubungan itu/sehubungan dengan itu sama, kedua-duanya boleh dipakai. Walau bagaimanapun, frasa "sehubungan dengan itu" yang lebih tepat kerana merujuk perkataan berhubung dengan itu, perlu adanya perkataan dengan dalam frasa tersebut. 3. Perkataan cenderamata dan cenderahati, kedua-duanya diterima pakai bagi merujuk sesuatu yang diberikan kepada seseorang sebagai tanda ingatan. 4. Dalam Kamus Dewan perkataan 'sempang' dan sengkang kedua-duanya boleh merujuk simbol yang digunakan dalam kata hubung. Walau bagaimanapun kedua-dua perkataan tersebut ada makna lain yang tidak boleh disamakan penggunaannya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan. | Tatabahasa | 14.04.2012 |