| Pihak kami (KKM) sedang menyiapkan risalah maklumat ubat untuk pengguna dalam Bahasa Malaysia. Terdapat beberapa jenis ubat yang mana nama-nama generik ubat tersebut dalam Bahasa Inggeris diakhiri dengan perkataan pine seperti amlodipine, carbamazepine, nevirapine dll. Terdapat nama dagangan bagi ubat-ubat tersebut. Adakah bila dialihkan kepada bahasa Malaysia nama-nama generik ini menjadi amlodipina, karbamazepina, nevirapina? Terima kasih. | Untuk makluman, nama generik ubat perlu disesuaikan dengan ejaan bahasa Melayu, contohnya, amlodipina, karbamazepina dan nevirapina. Walau bagaimanapun, nama dagang ubat tersebut tidak perlu diubah. | Istilah | 06.09.2011 |
| Yang mana betul: 1) sebarang ubat atau 2) sebarang ubat-ubatan? Jika kita tidak boleh gunakan "sebarang ubat-ubatan" harap dapat berikan penjelasan. Terima kasih. | Sebarang ubat sahaja memadai, tidak perlu digandakan. | Tatabahasa | 07.01.2010 |
| Ubat hendaklah diambil 3 kali sehari atau dimakan 3 kali sehari. | Arahan yang betul ialah 'Dimakan tiga kali sehari'. | Tatabahasa | 20.12.2007 |
| Mohon pandangan pernyataan yang paling bersesuaian bagi tema persidangan untuk orang awam yang telah dilantik sebagai wakil masyarakat sebagai agen perubahan tingkah laku untuk amalan kesihatan a. Kenali Ubat: Duta Pemangkin Komuniti Sihat. b. Duta Kenali Ubat, Pemangkin Komuniti Sihat. c. Kenali Ubat: Komuniti Sihat Sejahtera. d. Kenali Ubat: Duta Hebat rakyat sihat. Untuk makluman, Kenali Ubat Anda merupakan aktiviti berterusan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan mendidik dan memberi pendedahan kepada orang awam berkaitan penggunaan ubat-ubatan secara berkualiti. Sekian, terima kasih. | Kami mencadangkan pernyataan d. , iaitu Kenali Ubat: Duta Hebat, Rakyat Sihat. | Lain-lain | 22.01.2018 |
| Selamat sejahtera, 1.Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya cepat sembuh. 2 Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya adik cepat sembuh. (Yang manakah merupakan ayat gramatis?)Kalau salah minta perbetulkan. 3.Ibu menyuapkan ubat kepada adik.(Adakah kata sendi nama "kepada" sesuai digunakan?) 4.Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda "Berhenti" di tengah-tengah jalan raya.(Adakah tanda baca pemetik seperti yang ditaip perlu digunakan?)Sila beri penjelasan. Terima kasih. | 1. Ayat yang pertama betul, iaitu “Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya cepat sembuh”. 2. Dalam ayat kedua, perkataan “adik” tidak perlu diulang. Ayat yang betul ialah “Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya cepat sembuh”. 3. Perkataan “menyuapkan” dalam konteks ayat yang diberikan bermaksud memasukkan makanan dan lain-lain ke dalam mulut seseorang. Sehubungan dengan itu, penggunaan kata sendi nama “kepada” dalam ayat yang diberikan tidak betul. Ayat yang betul ialah “Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik”. 4. Menurut buku Gaya Dewan, tanda petik ("/") digunakan untuk tujuan tertentu seperti mengapit cakap ajuk, mengapit judul dan mengapit istilah ilmiah. Sehubungan dengan itu, dalam ayat “Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda “Berhenti” di tengah-tengah jalan raya”, penggunaan tanda petik (“/”) pada perkataan “Berhenti” tidak perlu digunakan. | Tatabahasa | 15.09.2022 |
| Apakah terma Bahasa Melayu yang paling tepat untuk 'blood anticoagulant'? Ubat pencair darah? Ubat antigumpal darah? Antikoagulan darah? | Padanan bahasa Melayu yang sesuai untuk "blood anticoagulant" ialah "antikoagulan darah" dan "anti pembeku darah". | Penyemakan dan penterjemahan | 23.07.2020 |
| Saya mengambil ubat yang doktor beri saya. Saya mengambil ubat yang doktor berikan kepada saya. Ayat yang manakah betul? | Ayat yang betul ialah “Saya mengambil ubat yang doktor berikan untuk saya.” | Tatabahasa | 28.11.2023 |
| Yang manakah betul ? 1. Dia menyapukan ubat pada permukaan luka. 2. Dia menyapukan ubat di permukaan luka. | Yang betul ialah: Dia menyapukan ubat pada luka. Kata sendi nama pada digunakan sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 274-276 untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 24.04.2008 |
| "Ubat itu dipercayai dapat memperkuaatkan sistem pertahanan badan manusia". atau "Ubat itu dipercayai dapat memperkuat sistem pertahanan badan manusia". Ayat manakah yang betul dan mengapa ayat tersebut betul??? Apakah kesalahan tatabahasanya??? | Ayat yang betul ialah "Ubat itu dipercayai dapat memperkuat sistem pertahanan badan manusia". - kuat ialah kata adjektif dan dapat menerima awalan memper- sahaja. | Tatabahasa | 14.01.2011 |
| apakah penjodoh bilangan untuk ubat gigi yang telah dikeluarkan dari kotak tapi masih berada di dalam bekasnya? contoh ayat: 1. sebatang ubat gigi. (adakah penjodoh bilangan ini betul) | Untuk makluman, bukan semua perkataan boleh diberikan penjodoh bilangan, antaranya ubat gigi. | Lain-lain | 11.09.2017 |