| Umurnya sama dengan saya, sepuluh tahun. Ayat ini boleh diterima? | Ayat ini betul. Untuk membantu puan menyemak ayat dan membina ayat yang betul, puan boleh merujuk guru bahasa Melayu di sekolah puan. Untuk memantapkan lagi kemahiran, puan juga boleh menyemak kamus bagi mendapatkan penggunaan kata yang betul dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 17.05.2015 |
| Apakah kesalahan yang terdapat pada ayat di bawah? 1) Rusdi mempunyai banyak rakan-rakan yang tinggal di kampung yang tersusun itu. 2) Pak Long masih teguh ingatannya walaupun umurnya sudah lanjut.(SESUAIKAH PERKATAAN TEGUH DIGUNAKAN DALAM AYAT INI?) Mohon penjelasan daripada pihak tuan sekiranya ada kesalahan dari segi frasa atau penggunaan perkataan | 1) Rusdi mempunyai banyak rakan-rakan yang tinggal di kampung yang tersusun itu. Kesalahan banyak rakan-rakan - frasa ini telah lewah. rakan-rakan telah menunjukkan banyak. Tidak perlu banyak rakan-rakan. Memadai rakan-rakan. 2) Pak Long masih teguh ingatannya walaupun umurnya sudah lanjut. teguh- kurang sesuai dalam konteks ayat di atas. Perkataan yang paling tepat ialah kuat.
| Tatabahasa | 17.08.2012 |
| Assalamualaikum 1. Sambutan jubli sempena umur institusi : Sesebuah institusi tidak pernah mengadakan apa-apa sambutan dan sudah berumur 71 tahun ? Apakah sambutan yang boleh diadakan sempena umurnya itu ? 2. Saya masih keliru tentang penggunaan perkataan ' ironi ' , boleh tuan jelaskan serta contoh penggunaannya. 3. 1Malaysia : Cara penulisannya adakah boleh dijauhkan seperti 1 Malaysia ? atau pun Satu Malaysia. 4. Sendi nama seperti dan, pun di dll adakah dikira satu sebagai satu patah perkataan ? Terima kasih. | 1. Tidak ada sambutan jubli bagi umur 71 tahun, mungkin disebut sambutan ke-71 tahun. 2. Ironi bermaksud keadaan atau kejadian yang menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya, contoh ayat: Ironinya jika "Dasar Belia Nasional" ini mahu diterima, maka dengan sendirinya kita mempersempit ruang lingkup pelaksanaan dasar itu sendiri. 3. Cara penulisannya ialah 1 Malaysia ataupun Satu Malaysia. 4. Sendi Nama juga dikira sebagai satu perkataan, misalnya "di", "dan" dan sebagainya. | Tatabahasa | 12.08.2009 |
| Salam sejahtera,boleh tak pihak tuan/puan untuk menyemak penggunaan kata(dalam kurungan) sesuai atau tidak dalam ayat tersebut? 1. Tangan dan kaki pendaki Gunung Everest itu menjadi kejur kerana cuca di sana terlalu sejuk. (kejur) 2. Badan nenek saya semakin bengkok apabila umurnya meningkat 80 tahun. (bengkok) 3. Rakyat negara ini gempar apabila sebuah pangsapuri yang didirikan di lereng bukit itu rebah. (rebah) 4. Ibu mengarahkan kami mengumpulkan baju-baju usang yang tersimpan di dalam almari untuk didermakan kepada anak-anak yatim. (usang) 5. Kanak-kanak berkeliaran apabila disergah oleh lelaki yang kurang siuman itu. (berkeliaran) Selain itu,apakah perbezaan antara orang-orang dengan orang-orangan? Sekian,terima kasih | 1. Tangan dan kaki pendaki Gunung Everest itu menjadi kejur kerana cuca di sana terlalu sejuk. - Kejur bermaksud keras dan kaku, boleh digunakan dalam ayat tersebut. 2. Badan nenek saya semakin bengkok apabila umurnya meningkat 80 tahun. - Bengkok bermaksud tidak lurus dan tidak sesuai digunakan kepada tubuh badan manusia. 3. Rakyat negara ini gempar apabila sebuah pangsapuri yang didirikan di lereng bukit itu rebah. - Rebah bermaksud tumbang dan lazimnya digunakan untuk manusia manusia dan pokok. 4. Ibu mengarahkan kami mengumpulkan baju-baju usang yang tersimpan di dalam almari untuk didermakan kepada anak-anak yatim. - Usang bermaksud lama terpakai atau tersimpan dan sesuai digunakan dalam ayat tersebut. 5. Kanak-kanak berkeliaran apabila disergah oleh lelaki yang kurang siuman itu. - Berkeliaran bermaksud merayau dan boleh digunakan dalam ayat tersebut. Saudara boleh menyemak sendiri makna perkataan dan memastikan sama ada penggunaannya sesuai atau tidak dalam konteks ayat tersebut melalui laman web kami www.prpm.dbp.gov.my, dan taipkan perkataan tersebut dalam ruangan Carian Spesifik. | Tatabahasa | 09.05.2012 |
| Tuan, harap dapat nyatakan bila berlakunya KESILAPAN BAHASA dan KESALAHAN BAHASA? Bagaimana pula KESILAPAN ATAU KESALAHAN TINGKAH LAKU? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga, makna kesilapan ialah salah yang tidak disengajakan ataupun khilaf. Contoh Ayat: Kalau saya tidak silap, umurnya baru 30 tahun. Kesalahan pula ditakrifkan sebagai perihal salah, iaitu tidak benar, tidak betul, tidak tepat, tidak baik, tidak layak atau perbuatan yang menyalahi hukum. Oleh itu, kesilapan bahasa bermaksud kesalahan yang tidak disengajakan, manakala kesalahan bahasa pula dimaksudkan sebagai tidak tepat atau tidak betul. Kesalahan tingkah laku, iaitu perbuatan yang menyalahi hukum. | Tatabahasa | 12.06.2010 |
| Mohon bantuan: yang mana betul "menghafaz" atau "menghafal" ? Mohon beri contoh penggunaan yang betul bagi kedua-dua kata tersebut. Terima kasih | Dalam Kamus Dewan, edisi keempat, menghafaz membawa maksud terpelihara dan kekal dalam ingatan (khususnya tentang bacaan ayat suci al-Quran). Ayat contoh: Waktu umurnya 10 tahun, dia sudah menghafaz al-Quran. Menghafal pula bermaksud sudah masuk betul dalam ingatan (tentang pelajaran) tanpa perlu melihat buku atau catatan. Ayat contoh: Setiap hari dia bertubi-tubi menghafal nama teknikal yang begitu rumit. | Makna | 25.07.2012 |
| Assalamualaikum. Di sini terdapat beberapa soalan yang ingin saya tanyakan mengenai salah atau betul penggunaannya. Diharap pihak DBP dapat membantu. 1. hari ini hari (ke-40) ... @ keempat puluh... 2. pada usia (sepuluh) tahun... @ 10 tahun... 3. setiap (10, 15) hari... @ sepuluh, lima belas hari... 4. dia beri Amir (RM 20)... @ dua puluh ringgit... 5. harga sekeping kuih, (40 sen)... @ empat puluh sen... 6. hari (ke-29 April)... @ hari kedua puluh sembilan April.. 7. umurnya (1200) tahun @... seribu dua ratus.. 8. 20 sungai... @ dua puluh 9. siang kelabu dalam gerimis (Enam Mei)..@ 6 Mei... 10. hari ini hari ke dua puluh tiga Jun, musim 1895 @ hari ini 23 Jun, musim 1895. Terima kasih atas perhatian dan bantuan pihak DBP. | Nombor yang kurang daripada sepuluh hendaklah dieja sepenuhnya (kecuali dalam ayat matematik atau teknik), manakala nombor 10 ke atas boleh dicetak dengan angka. Cara penulisan yang betul ialah: 1. hari ini hari ke-40; 2. pada usia 10 tahun; 3. setiap 10, 15 hari; 4. dia beri Amir RM20; 5. harga sekeping kuih, 40 sen; 6. hari ke-29 dalam bulan April/29 April; 7. umurnya 1200 tahun; 9. siang kelabu dalam gerimis 6 Mei (tarikh); 10. hari ini hari ke-23 dalam bulan Jun, tahun 1895/hari ini 23 Jun, tahun 1895. | Tatabahasa | 07.04.2011 |
| Perbezaan antara orang-orang tua dengan orang tua | Puan Efarizan, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. orang-orang tua bermaksud dalam sesuatu kumpulan itu, orangnya tua-tua semuanya. Boleh juga menunjukkan kata ganda bagi ramai orang tua - perkataan pertamanya yang digandakan. Manakala bagi perkataan orang tua - seseorang itu yang dibandingkan dari segi umurnya. | Makna | 07.03.2009 |
| Assalam w.b.t dan Salam Sejahtera. saya inginkan penjelasan dari segi maksud. apakah erti "peer assessment" dalam bahasa melayu? bolehkah diertikan sebagai penilaian ahli kumpulan? mohon dapat berikan jawapan. terima kasih. wasalam.. | Istilah bahasa Melayu yang betul untuk "peer assessment" ialah penilaian sebaya. Maksud istilah ini ialah penilaian berdasarkan pendapat yang dipersetujui oleh rakan atau kelompok yang umurnya sebaya. | Istilah | 24.05.2016 |
| Apakah penggunaan 'capai' dalam "Capai Raya Meriah" sesuai? ia bermaksud kita hendak mencapai raya yang meriah. Jika tidak sesuai, apakah sebabnya dan apakah kata ganti yang sesuai yang selari dengan 'capai raya meriah' | Menurut kamu s Pelajar Edisi Kedua, maksud capai ialah: 1. (hendak) memegang atau mengambil sesuatu dengan menghulurkan tangan: Ali mencuba ~ buah yg di hujung dahan itu. 2 Sampai (ke): Umurnya sudah hampir ~ 100 tahun. 3 Mendapat (sesuatu maksud dan lain-lain); menyampaikan atau menjayakan (maksud dan lain-lain): Dia bekerja sungguh-sungguh utk ~ cita-citanya. 4 Mendapat sesuatu dgn usaha: Utk ~ tujuan itu, kita mesti bekerja dgn lebih tekun lagi. Manakala maksud raya pula ialah besar Maka cadangan penggunaan ayat yang betul dan baik ialah "Mencapai Hari Raya yang Meriah" | Tatabahasa | 18.03.2021 |