Salam sejahtera, saya ingin mendapatkan khidmat nasihat pihak tuan/puan tentang beberapa padanan terjemahan berikut: (1) The National Law Popularization Office (popularization di sini merujuk kepada usaha untuk memperluaskan pengetahuan undang-undang dalam kalangan masyarakat umum); (2) "issued" by.... (issued di sini merujuk kepada 'issue' sesuatu dasar atau polisi atau pelan....maksud dalam teks sumbernya ialah "dicetak dan diedarkan" ) bolehkah diterjemahkan sebagai "dikeluarkan oleh...." atau "diedarkan oleh...."? ; (3) National Food and Drug Safety Plan (Drug di sini merujuk kepada 'ubat-ubatan') Bolehkah diterjemahkan sebagai "Perancangan Keselamatan Makanan dan Drug Negara"? Sekian, terima kasih. | Kami mencadangkan padanan istilah dalam bahasa Melayu seperti yang berikut: i) The National Law Popularization Office – Pejabat Popularisasi Undang-undang Kebangsaan ii) issued - diterbitkan iii) National Food and Drug Safety Plan - Pelan Keselamatan Makanan dan Ubatan Kebangsaan Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang tertentu. | Lain-lain | 08.06.2021 |
Salam sejahtera Tuan, 1. Penggunaan yang betul ialah (a) Daerah ini di bawah kuasa kerajaan pusat. atau (b) Daerah ini di bawah penguasaan kerajaan pusat. ? 2. Adakah penggunaan "di bawah" dalam konteks ayat (a) dan (b) di atas tepat? Sekian, terima kasih. | Dalam bentuk kata umum, frasa 'di bawah' digunakan apabila merujuk: i. di kawasan sekeliling rumah dan sebagainya yang bertangga; ii. di ruang kosong di antara tiang rumah atau kaki meja (kerusi dan sebagainya); iii. yang terletak pada baris (ruang dan sebagainya); iv. kurang daripada; v. berada dalam atau tertakluk pada (peraturan, undang-undang, bimbingan, arahan, kuasa, dan sebagainya). Pemakaian bahasa dalam bidang undang-undang kadangkala tidak persis dalam penulisan umum. Bahasa dalam undang-undang mempunyai larasnya tersendiri dan penggunaannya terhad dalam bidang tersebut | Tatabahasa | 26.09.2013 |
1)Apakah kriteria-kriteria yang dititikberatkan ketika pemilihan sesuatu karya untuk diterbitkan? 2)Bagaimanakah caranya pengkarya untuk mengetahui sesuatu karya yang dihantar telah berjaya diterbitkan? 3)Berapakah royalti bagi sesebuah puisi dan cerpen? | 1 Kriteria pemilihan: (i) Isi: Keaslian idea, ketepatan fakta, dan perkara yang ditulis tidak bertentangan dengan agama Islam, undang-undang, kesusilaan, dan kepentingan negara. (ii) Cara Persembahan: Penyusunan idea yang logik, kemas, dan sesuai dengan sasaran (pembaca umum, ahli akademik, kanak-kanak dan remaja). (iii) Bahasa: Penggunaan bahasa yang baik dan istilah yang tepat; ejaan dan tanda baca yang betul serta sesuai dengan sasaran. (iv) Pasaran: Mempunyai potensi pasaran yang luas. 2 Pengurus projek akan memaklumkan kepada penulis melalui surat sama ada karya tersebut wajar diterbitkan ataupun tidak. 3. Kadar royalti untuk kumpulan puisi ataupun cerpen ialah 12%. Dewan Bahasa dan Pustaka akan membayar 50% apabila buku terbit dan 50% lagi berdasarkan jualan buku. | Lain-lain | 28.04.2008 |
Salam sejahtera, 1. Murid-murid diminta berjalan menuju ke Blok C. 2. Murid Kumpulan D diminta membuat persembahan senamrobik dalam talian. 3.Kita perlu mengambil Vitamin C setiap hari. * Blok C , blok tulis dalam huruf besar atau kecil termasuk c. *Kumpulan D, kumpulan tulis dalam huruf besar atau kecil. *Vitamin C, vitamin ditulis dalam huruf besar atau kecil? Sila berikan pencerahan.Terima kasih. | Ketiga-tiga perkataan perlu ditulis dengan huruf kecil, iaitu blok C, kumpulan D dan vitamin C kerana perkataan tersebut merupakan kata nama am. Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya. Contohnya kereta, cuaca dan keadilan. Manakala perkataan yang ditulis dengan huruf besar ialah kata nama khas. Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Kata nama khas dibahagikan kepada dua kumpulan: (i) Kata nama khas hidup (manusia dan bukan manusia). Contohnya Tun Abdul Razak (manusia) dan Tompok (bukan manusia). (ii) Kata nama khas tak hidup. Contohnya Melayu dan Universiti Putra Malaysia. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 95 - 101. | Tatabahasa | 25.07.2021 |
Tuan, Sukacita saya merujuk perkara di atas. 2. Saya memohon bantuan pihak Tuan untuk menterjemahkan perkataan-perkataan seperti yang berikut ke dalam bahasa Melayu. i. field; ii. promotion; dan iii. body politic or body corporate. Perkataan-perkataan di atas digunakan dalam peruntukan di bawah seksyen 5, 12 dan 13 Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (Perbadanan) 1965 [Akta 540] seperti di bawah: “Purpose of the Corporation 5. The purposes of the Corporation shall be— (a) in time of peace or war, to carry on and assist in work for the improvement of health, the prevention of disease and the mitigation of suffering throughout the world; (b) in time of war, to furnish voluntary aid to the sick and wounded of armies and non-belligerents, to prisoners of war and to civilians suffers from the effects of war, in accordance with the spirit and covenants of the Geneva Conventions for the amelioration of conditions of the wounded and sick in armed forces in field, signed at Geneva on 12 August 1949; … Application of income and property 12. (1) The income and property of the Corporation, whencesoever derived, shall be applied solely towards the promotion of the objects of the Corporation as set out in this Act, and no portion thereof shall be paid or transferred directly or indirectly by way of dividend, bonus or otherwise howsoever by way of profit to the members of the Corporation: (bersambung) | Perkataan atau frasa yang puan berikan terlalu umum. Terjemahan yang baik dan tepat memerlukan pemahaman yang menyeluruh berkaitan konsep dan konteks penggunaan teks dalam sesebuah bidang. Padanan yang diberikan juga perlu selaras untuk keseluruhan teks, khususnya teks laras undang-undang. Untuk makluman, DBP tidak menjalankan kerja penterjemahan atau menawarkan khidmat penyemakan terjemahan, sama ada daripada bahasa Melayu kepada bahasa asing atau sebaliknya. Sila hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), melalui talian 03-9226 2506 atau e-mel terjemah1@gmail.com. Untuk maklumat tambahan berkaitan padanan istilah, puan boleh melayari laman web PRPM melalui https://prpm.dbp.gov.my | Penyemakan dan penterjemahan | 09.02.2022 |
Bagaimanakah cara untuk membezakan kata nama khas yang tunggal dan kata nama khas yang majmuk? Kemukakan beberapa contoh bagi memudahkan pemahaman saya. | Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata nama khas dan kata nama dihuraikan seperti yang berikut:1"> 1. Kata Nama Khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas dibahagikan kepada: (i) kata nama khas hidup (manusia dan bukan manusia); (ii) kata nama khas tak hidup. Contoh kata nama khas hidup ialah Tun Abdul Razak, Belang, Vanda Diana (orkid); kata nama khas tak hidup ialah Kuala Lumpur, Ahli Mangku Negara, Proton Preve. 1"> 1"> 2. Kata Nama dibahagikan kepada (i) kata nama tunggal, (ii) kata nama terbitan, (iii) kata nama majmuk, dan (iv) kata nama ganda. Kata Nama Tunggal ialah perkataan yang terdiri daripada satu morfem bebas sahaja, dan perkataan yang demikian boleh masuk ke dalam ayat sebagai perkataan yang lengkap dan menjadi inti pada frasa nama. Contoh kata nama tunggal ialah yu, wanita, ADUN, Proton, Bernama, dan jentolak. 1"> 1"> 3. Kata Nama Majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah, contohnya guru besar, Leftenan Jeneral, temu duga, dan anak emas. 1"> | Tatabahasa | 02.01.2017 |
Sukacita sekiranya pihak DBP dapat menjelaskan perkara-parkara berikut: Sila beritahu sama ada atau tidak ayat-ayat yang berikut betul: 1. Kabus itu menghadkan / mengehadkan darjah penglihatan. (Saya mendapati Kamus Oxford Fajar (Prof Asmah Haji Omar), Kamus Utusan dan Kamus Lengkap (Drs. Awang Sudjai) menggunakan perkataan 'menghadkan' (restrict/limit) manakala Kamus Dewan menggunakan 'mengehadkan'. Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar dan orang awam. Peerkara ini perlu diperjelaskan dari segi tatabahasa Melayu). 2. Berita hangat /menarik itu adalah daripada BBC/CNN/Radio Malaysia. 3. Isu /perkara mengenai /tentang rasuah perlu diteliti secara halus dan mendalam. 4. Makalah yang berguna/bermanfaat/berfaedah itu adalah daripada majalah 'Dewan Masyarakat', terbitan DBP. 5. Apakah perbezaan antara perkataan-perkataan berikut: kesahihan; keesahan; sah dan sahih 6. Maklumat ini telah diperolehi daripada sumber yang boleh dipercayai. 7. Saya telah memperoleh maklumat ini daripada Kementrian Kewangan. 8. Untuk menambahbaikkan khidmat nasihat yang berkesan dan jitu mengenai tatabahasa (nahu) Melayu, respons pihak DBP perlu tepat pada masa. Sekian , terima kasih. Peter Johnson Durairaj | Soalan 1: Perkataan yang betul ialah mengehadkan, bukan menghadkan. Peng- menjadi penge- apabila bergabung dengan kata dasar yang mempunyai satu suku kata sahaja, baik perkataan Melayu ataupun perkataan pinjaman. Contoh lain: cat - pengecat, bom - pengebom, pam - pengepam. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 111. Soalan 2: Kedua-dua perkataan iaitu, hangat atau menarik boleh digunakan dalam ayat yang tuan kemukakan bergantung pada maksud yang ingin disampaikan. Soalan 3: Ayat yang betul ialah (i) Isu rasuah perlu diteliti secara halus dan mendalam. Soalan 4: Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 4(i) Makalah yang berguna itu merupakan majalah Dewan Masyarakat, terbitan DBP. 4(ii) Makalah yang bermanfaat itu merupakan majalah Dewan Masyarakat, terbitan DBP. 4(i) Makalah yang berfaedah itu merupakan majalah Dewan Masyarakat, terbitan DBP. Soalan 5: Bagi mengetahui maksud dan mengenal pasti perbezaan maksud perkataan, tuan boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, dan Dewan Pelajar. Perkataan sahih bermaksud pasti, benar, sah, dapat diakui maka kata nama yang diterbitkan daripada sahih ialah kesahihan perihal sahih (benar, pasti sah). Perkataan sah membawa dua maksud iaitu, 1. lulus pd sisi undang-undang 2. benar, pasti, nyata, manakala kesahan pula bermaksud perihal sah, sah tidaknya sesuatu. Soalan 6: Ayat yang betul ialah 6(i) Maklumat ini diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai. Soalan 7: Ayat yang betul ialah 7(i) Saya memperoleh maklumat ini daripada Kementerian Kewangan.
| Tatabahasa | 15.11.2017 |