Yang Mana satu betul:- 1. Lantikan Sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program. atau 2. Lantikkan Sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program. - Mohon beri panduan berkaitan ejaan perkataan "Lantikan' atau "Lantikkan" Terima kasih. | Lantikan bermaksud tindakan melantik, iaitu mengangkat seseorang untuk memegang sesuatu jawatan dan tidak ada kata lantikkan kecuali apabila kita menggunakannya dalam ayat perintah. Satu lagi kata terbitan ialah pelantikan yang merujuk perihal melantik. Oleh itu, penggunaan yang paling tepat ialah "Pelantikan sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program". | Tatabahasa | 17.07.2011 |
Yang manakah betul? 1. Suai Kenal atau Suai kenal? 2. Mereka Bentuk atau Mereka bentuk? 3. Urus Setia atau Urus setia? | Kata majmuk dieja dengan huruf kecil. Jika di pangkal ayat, huruf pertama hendaklah dieja dengan huruf besar. | Ejaan | 10.12.2013 |
Assalamualaikum w.b.t., Saya ingin menyemak, - Ejaan yang betul bagi perkataan-perkataan berikut: 1) cap syarikat atau cop syarikat 2) laman web atau laman sesawang 3) sebutharga atau sebut harga (tender) 4) Urus setia atau Urus Setia 5) e-tender atau e-Tender - Setahu saya nombor di bawah sepuluh, penggunaan dalam ayat ialah "Didi membeli dua (2) buah buku" dan nombor sepuluh dan ke atas tidak perlu dieja. Adakah penggunaan tersebut betul dalam urusan surat rasmi? Sekian, terima kasih. | Salam sejahtera, Ejaan yang betul: 1. Cap syarikat 2. Laman web / laman sesawang (kedua-dua betul) 3. Sebut harga 4. Urus setia 5. e-tender 6. Kelaziman: nombor dieja dahulu dan diikuti bentuk angka dalam kurungan. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 27.09.2019 |
Frasa manakah yang betul penggunaannya? 1....seperti pada ketetapan berikut ATAU pada ketetapan seperti berikut 2....seperti pada Lampiran A ATAU seperti di Lampiran A? 3. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak urus setia.. ATAU sukacita dimaklumkan, pihak urus setia.. 4. hingga ATAU sehingga | Frasa yang betul ialah: 1....seperti pada ketetapan berikut: 2..... seperti pada Lampiran A 3. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak urus setia.. 4. hingga dan sehingga - Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa , waktu atau tempat, manakala sehingga digunakan sama dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Kedua-duanya boleh digunakan mengikut kesesuaian ayat. | Tatabahasa | 13.03.2019 |
Mohon bantuan ejaan betul bagi perkataan 'mengurusetiakan'. Tiada maklumat dalam carian kata. Jika 'Urus Setia' dieja dengan dua perkataan, adakah 'mengurus setiakan' juga begitu. | Ejaan yang betul ialah ‘mengurussetiakan’ atau boleh juga tuan gunakan ‘menjadi urus setia’. 1"> | Tatabahasa | 10.12.2014 |
Adakah betul cara penulisan perkataan tersebut? 1. siaraya 2. atur cara 3. urusetia 4. urus niaga | Ejaan yang betul ialah siar raya, atur cara, urus setia dan urus niaga. | Ejaan | 29.08.2007 |
Salam, Tuan, 1.Mana yang betul di kalangan atau dalam kalangan. 2. Kenapa kereta api bukan keretapi? 3. urus setia apabila menerima apitan keurusetiaan, kenapa tidak keurussetiaan. | 1. Yang betul ialah dalam kalangan. 2. kereta api ialah kata nama majmuk yang ditulis sebagai dua perkataan. 3. Urus setia apabila menerima apitan ke-...-an menjadi keurussetiaan, bukan keurusetiaan. | Tatabahasa | 29.07.2010 |
Assalamualaikum. Saya ingin mendapat penjelasan berhubung format penulisan minit mesyuarat terkini. i. Benarkah agenda Perutusan Pengerusi tidak dinomborkan. ii. Penomboran ditulis mengikut nombor agenda (contoh: 1.1, 1.2, 2.1.2.2, dan seterusnya) atau secara kronologi (contoh: 1, 2, 3, dan seterusnya) iii. Mana yang betul : Mengesahkan minit mesyuarat atau Pengesahan minit mesyuarat. iv. Dalam mesyuarat jabatan, bolehkah ketua jabatan selaku pengerusi mesyuarat juga dilantik sebagai urus setia mesyuarat berkenaan. Harap mendapat perhatian daripada pihak tuan. Terima kasih. | i. Agenda perutusan/kata alu-aluan pengerusi diletakkan nombor. ii. Penomboran ditulis mengikut nombor agenda. Contohnya: 1. Kata Alu-aluan Pengerusi 1.1...................... 1.2........................ 2. Laporan Perkara Berbangkit 2.1.............................. 2.2................................ iii. Pengesahan Minit Mesyuarat/Mengesahkan Minit Mesyuarat, kedua-duanya boleh diterima pakai bergantung pada pola penggunaan ayat dalam minit mesyuarat tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Bahasa Laporan, oleh Asmah Haji Omar, terbitan DBP. iv. Pada lazimnya, ketua jabatan yang dilantik sebagai pengerusi mesyuarat akan bertindak selaku pengerusi mesyuarat sahaja. Contohnya, Pengarah Jabatan Bahasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan dengan peristilahan, urus setia mesyuarat ialah Bahagian Peristilahan. | Tatabahasa | 22.02.2010 |
Dalam minit mesyuarat, saya perlu menulis ayat seperti di bawah: 1. i) Penambahan perenggan baharu 3.5.5 seperti berikut:'Mesyuarat juga bersetuju supaya urus setia membuat rundingan tawaran harga dengan syarikat ABC'. Soalan: Adakah tatacara penulisan dengan penggunaan tanda (:) diikuti tanda (') adalah betul? Sila beri tunjuk ajar | Tanda baca titik bertindih (:) boleh digunakan kerana fungsinya memperkenalkan atau menambah keterangan. Manakala tanda petik tunggal (') tidak perlu digunakan kerana selalunya digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit dengan tanda petik ("). Maka, penggunaan tanda baca yang betul adalah: i) Penambahan perenggan baharu 3.5.5 seperti yang berikut: Mesyuarat juga bersetuju supaya urus setia membuat rundingan tawaran harga dengan syarikat ABC. | Tatabahasa | 01.06.2011 |
Assalamualaikum dan Selamat sejahtera, Tuan/puan Kebelakangan ini saya sering keliru dengan penggunaan dalam Bahasa Melayu. Proses kerja saya seringkali melibatkan surat menyurat. saya ingin mendapatkan kepastian dan kesahihan dari DPB tentang pengunaan perkataan dua (2) perkataan yang sebelum ini adalah satu (1) CTH : Urusetia (urus setia), . Adakah perkara ini benar dan dimanakan boleh saya dapatkan panduan tentang perkataan-perkatan lain yang terlibat | Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh dan dieja sebagai satu perkataan, iaitu; antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, matahari, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara, dan pesuruhjaya. Saudara boleh rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 07.07.2008 |