salam, ketika bila penggunaan 'commercial' diterjemahkan kepada dagangan atau perdagangan dalam istilah ekonomi dan perdagangan? t.kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat perdagangan bermaksud perihal berdagang, urusan berniaga, perniagaan (biasanya antara negara-negara): cukai yang tinggi ke atas barang-barang yang diimport menyekat ~ antara dua buah negara itu; usaha-usaha untuk memajukan ~ antara negara-negara yang sedang maju; Dagangan pula bermaksud barang-barang yang diperjualbelikan atau diperniagakan: Barang ~nya terdiri daripada kain batik, kain songket dan kain kasa. 2 urusan dagang. Kedua-duanya boleh digunakan mengikut konteks ayat dan lazimnya perdagangan digunakan bagi terjemahan commercial. Puan boleh merujuk data melalui http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=commercial . | Penyemakan dan penterjemahan | 15.06.2016 |
Terjumpa istilah ini: SCIENCE POPULARIZATION. Apa terjemahan dalam bahasa Melayu? Adakah PEMPOPULARAN SAINS? Bagi perkataan dengan imbuhan "memper...kan", benarkah imbuhan "kan" dalam perkataan itu perlu/boleh digugurkan dalam penggunaannya? Contoh, cukup sekadar "mempertajam ilmu" bukan lagi "mempertajamkan ilmu." Adakah syarat ini terpakai dalam semua keadaan, dengan kata lain, apa-apa perkataan yang menerima imbuhan "memper...kan" boleh digugurkan imbuhan "kan"nya itu. Mohon nasihat. Terima kasih. | 1. Untuk makluman, tidak terdapat istilah khusus untuk SCIENCE POPULARIZATION. Walau bagaimanapun, terdapat istilah bahasa Melayu untuk popularization, iaitu popularisasi. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan, popularization diterjemahkan sebagai usaha mempopularkan. 2. Awalan memper- dapat bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Contohnya: memperalat (kata nama 'alat'), memperluas (kata adjektif 'luas' dan memperoleh (kata tugas 'oleh). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (ms. 177 - 181) | Istilah | 02.08.2011 |
Mengapakah ayat "Teruskan usaha membetulkan penggunaan bahasa Melayu kita" adalah betul manakala ayat "Teruskan usaha betulkan penggunaan bahasa Melayu kita" adalah salah? Ayat ini bukankah ayat suruhan? Bukankah dalam ayat suruhan kedua-dua kata kerja hendak hadir dengan akhiran-kan seperti "teruskan" dan "betulkan"? | Perkataan "betulkan" lazimnya digunakan dalam ayat perintah seperti "betulkan bahasa Melayu anda dalam penggunaan harian". Ayat contoh yang diberi ialah ayat penyata. | Tatabahasa | 12.05.2014 |
1. Contoh Ayat: Sukacita kiranya pihak tuan dapat menimbang dan meluluskan syor di atas. Mengapa kita perlu menggunakan perkataan 'menimbang dan meluluskan' tetapi bukan 'menimbangkan dan meluluskan'? Saya perlukan penjelaskan kenapa imbuhan 'kan' untuk katakerja yang pertama (menimbang) digugurkan. 2. Sila komen ayat berikut: Dalam usaha menambahbaik amalan 5S.....Dalam usaha ke arah penambahbaikan amalan 5S....ayat yang mana lebih sesuai? Betulkan penggunaan perkataan menambahbaik tersebut? 3. Perkataan penambahbaikan dirapatkan kerana ia diapit oleh imbuhan pe dan kan...bagaimana pula dengan perkataan menambahbaik atau menambah baik? 4. Apakah perbezaan perkataan PERLAKSANAAN dan PELAKSANAAN? 5. Adakan perkataan PERLANTIKAN dan PELANTIKAN juga mempunyai maksud yang berbeza? 6. Bagaimana pula dengan perkataan PERLETAKAN JAWATAN atau PELETAKAN JAWATAN. | Jawapan bagi soalan-soalan tersebut adalah seperti yang berikut: 1. Imbuhan 'kan' digugurkan bagi perkataan menimbang dalam ayat tersebut kerana ayat yang menerima imbuhan 'kan' ialah kata kerja transitif, iaitu memerlukan objek atau penyambut dalam ayat. Contoh ayat, Sukacita kiranya pihak tuan dapat menimbangkan syor di atas. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194-196. 2. Ayat yang betul ialah Dalam usaha menambah baik amalan 5S..... 3. Perkataan menambah baik boleh digunakan dan dieja dua perkataan kerana menerima satu imbuhan, iaitu 'me...' pada kata dasar tambah baik, manakala perkataan penambahbaikan dieja satu perkataan kerana menerima kata kerja berapitan, iaitu 'pe...an'. 4. Perlaksanaan bermaksud hasil drpd melaksanakan (mengerjakan, menyelesaikan) sesuatu rancangan (tugas dsb). Contoh ayat, meninjau perlaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga. Pelaksanaan pula ialah perbuatan atau proses melaksanakan (menjalankan, mengusahakan) rancangan (tugas dsb). Contoh ayat, Pelaksanaan KBSR (3M) tahap pertama sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. 5. Perkataan yang tepat ialah pelantikan, iaitu kata dasar lantik menjadi melantik( perbuatan) dan pelantikan (perihal melantik), dan peletakan jawatan, iaitu orang yang meletakkan jawatan/gelaran dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.04.2010 |
1. Apakah penjodoh bilangan bagi kek? 2. Apakah penjodoh bilangan bagi kemalangan? 3. Apakah bezanya "mengadakan" dan " menganjurkan"? 4. Guru Besar atau guru besar? 5. di kalangan atau dalam kalangan? 6. baru atau baharu? 7. Dia makan epal, durian, dan manggis. Perlukah tanda koma diletakkan sebelum perkataan "dan"? 8. pantai Port Dickson atau Pantai Port Dickson? 9. negeri Selangor atau Negeri Selangor? 10. kereta api atau keretapi? 11. sebuah negeri atau satu negeri? 12. Apakah penjodoh bilangan bagi majlis dan hantu? | 1. Penjodoh bilangan bagi kek bergantung pada bentuknya. Boleh digunakan sebiji kek (jika kek itu belum dipotong) ataupun sepotong kek. 2. Tidak ada penjodoh bilangan yang khusus untuk kemalangan. 3. Mengadakan bermaksud 1. menjadikan ada atau wujud, mewujudkan, menjadikan, menciptakan: Tuhanlah yg ~ seluruh alam ini; 2. mengusahakan sehingga ada (tersedia, terdapat, dsb), menyediakan: ~ wang yg diperlukan; peruntukan belanjawan utk ~ lebih banyak sekolah dan maktab teknik; 3. mengusahakan sehingga berlaku atau berjalan sesuatu (spt seminar, mesyuarat, kenduri, dll), menganjurkan serta mengurus sesuatu: ~ kursus bahasa-bahasa asing; ~ kempen kebersihan, manakala menganjurkan 1. memajukan (menyorong, menghulur) ke depan: jangan dianjurkan badan keluar tingkap; 2. mengemukakan, mengesyorkan, menyarankan, mencadangkan, mengusulkan: pengerusi ~ supaya mogok makan; 3. mengadakan: ~ ceramah. 4. Dalam konteks umum, guru besar dieja dengan huruf kecil kerana ia merupakan kata nama am. Walau bagaimanapun, ia perlu ditulis dengan huruf besar jika diikuti oleh kata nama khas. 5. Frasa yang betul ialah dalam kalangan. 6. Baru bermaksud 'just', contohnya baru tiba manakala baharu bermaksud 'new', contohnya seperti buku baharu, baju baharu dll. 7. Tanda koma tidak perlu diletakkan kerana epal, durian dan manggis tergolong dalam kategori yang sama. 8. Perkataan pantai Port Dickson tidak perlu ditulis dengan huruf besar pada perkataan pantai kerana pantai ialah kata nama am. 9. Ejaan yang betul ialah negeri Selangor sahaja. 10. Ejaan yang betul ialah kereta api. 11. Sebuah negeri. 12. Penjodoh bilangan bagi hantu ialah seekor kerana hantu tidak tergolong dalam kumpulan manusia tetapi hanya menyerupai bentuk manusia. | Tatabahasa | 10.03.2010 |