Yang Mana satu betul:- 1. Lantikan Sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program. atau 2. Lantikkan Sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program. - Mohon beri panduan berkaitan ejaan perkataan "Lantikan' atau "Lantikkan" Terima kasih. | Lantikan bermaksud tindakan melantik, iaitu mengangkat seseorang untuk memegang sesuatu jawatan dan tidak ada kata lantikkan kecuali apabila kita menggunakannya dalam ayat perintah. Satu lagi kata terbitan ialah pelantikan yang merujuk perihal melantik. Oleh itu, penggunaan yang paling tepat ialah "Pelantikan sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program". | Tatabahasa | 17.07.2011 |
Salam satu Malaysia, Apakah terjemahan yang sesuai bagi "prime team"? 1) pasukan utama 2) pasukan perdana 3) lain-lain Teks ini akan digunakan untuk laman web berkenaan bola. Terima kasih. | Istilah yang sesuai ialah pasukan utama. | Istilah | 03.10.2013 |
Merujuk kepada e-mail saya pada 14 Mei 2011, saya tidak memerlukan khidmat penterjemahan tetapi saya ingin bertanya manakah antara berikut adalah ayat yang betul? 1. Perangkaan utama mengikut kumpulan saiz harta 2. Perangkaan utama mengikut saiz kumpulan harta berikut merupakan analogi kumpulan di mana menggambarkan saiz harta kurang dari RM5000 RM5000-RM10000 RM10000 dan ke atas Soalan- manakah antara dua ayat di atas adalah benar sama ada KUMPULAN SAIZ HARTA atau SAIZ KUMPULAN HARTA bagi menggambarkan selang kelas di atas? untuk makluman, soalan ini telah diajukan sebanyak dua kali dan DBP memberikan jawapan yang berbeza untuk dua soalan tersebut. sekian, terima kasih | Berdasarkan maklumat dalam ayat kedua, penggunaan frasa yang betul ialah 'saiz kumpulan harta'. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 14.05.2011 |
1. dolak-dalik atau dolak-dalih ? 2. mertua atau mentua ? 3. ucaptama atau ucap utama ? 4. agama atau ugama ? 5. taekwando atau tae kwan do ? | Ejaan yang betul ialah dolak-dalik, mentua, agama dan tae kwan do. Bagi perkataan ucaptama dan ucap utama kedua-duanya betul kerana ucaptama ialah akronim, iaitu hasil gabungan dua perkataan (ucap tama) dan diujarkan sebagai satu perkataan. Walau bagaimanapun, masyarakat diberi pilihan untuk menggunakan rangkai kata ucap utama dan hendaklah ditulis dua perkataan. | Lain-lain | 31.01.2010 |
Apakah perbezaan antara ucap utama dengan ucaptama. Bilakah kedua-dua perkataan boleh digunakan? Apakah perbezaan perkataan antara dengan di antara? | 1. Ejaan yang betul ialah ucap utama. 2. Frasa sendi nama di antara digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat. Contohnya: i. Anak kecil itu duduk diam di antara ibu dengan bapanya. ii. Rumahnya terletak di antara dua bangunan tinggi itu. 3. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. | Ejaan | 14.09.2011 |
Saya ingin mendapatkan terjemahan untuk yang berikut. 1) Key Performance Indicators 2) Soft skills Terima kasih. | 1.Penunjuk prestasi utama 2. Kemahiran asas (berdasarkan konteks) | Makna | 26.07.2007 |
Apakah jenis ayat di bawah. 1. Sedar atau tidak bahasa Melayu ketinggalan sebagai medium utama dalam dua revolusi terdahulu, iaitu Revolusi Pertanian (8000 sebelum Masehi) dan Revolusi perindustrian ( 1765 Masehi) 2.Kini dunia mengalami gelombang ketiga menerusi Revolusi Teknologi Maklumat yang dikatakan bermula seawal 1955. 3. Revolusi ini mempercepatkan lagi proses globalisasi, mencorakkan semula ekonomi serta mempengaruhi cara hidup dan cara manusia bekerja. 4.Sejak awal lagi bahasa Inggeris sudah diterima sebagai bahasa komunikasi utama di internet. 5. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara di internet dan transaksi e-dagang sangat dominan. 6. Apabila perniagaan di internet mula berkembang di Barat dan menular ke serata dunia, bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa komunikasi pemasaran. | Kesemua contoh ayat yang diberikan boleh dikategorikan dalam kumpulan ayat penyata, iaitu ayat yang yang mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. | Tatabahasa | 07.04.2013 |
1.Apakah maksud penyataan dan kata penyata yang sebenar? 2.Adakah tanda baca amat penting dalam ayat penyata?atau maksud yang lebih utama? | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, penyataan ialah perbuatan menyatakan (melahirkan dll). Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat suatu penyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. 2. Tanda baca penting kerana ia menentukan keberkesanan mesej penulis kepada pembaca. Penggunaan tanda baca yang tidak tepat akan mengelirukan pembaca. | Tatabahasa | 24.03.2009 |
Harap dapat memberitahu adakah ayat-ayat tersebut betul dan penjelasannya. 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselataman. ( mana yang tepat ) 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi. Sekian, terima kasih. | 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. ( mana yang tepat ) Orang ramai berebut-rebut/berasak-asak masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. (tepat) - dalam konteks ayat ini, situasi pintu dibuka oleh pengawal. 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. (Tepat) 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. (tepat) 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. (TEPAT) 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. (TEPAT) 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. frasa yang betul ialah perkara-perkara lain. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi.(Tepat) | Tatabahasa | 13.08.2012 |
1. "Saya (bukan/tidak) ponteng sekolah. Saya sakit tadi," kata adik kepada Pak Ali. 2. Cara utama ke tempat tersebut (ialah/adalah) melalui udara dan sungai. 3. Perkara yang penting (ialah/adalah) bahawa ilmu dalam bidang nyanyian itu perlu didalami. 4. Masalah yang sering diperkatakan (ialah/adalah) yang berkaitan dengan masalah sosial yang sering melanda remaja. | 1. "Saya tidak ponteng sekolah. Saya sakit tadi," kata adik kepada Pak Ali. 2. Cara utama ke tempat tersebut ialah melalui udara dan sungai. 3. Perkara yang penting adalah bahawa ilmu dalam bidang nyanyian itu perlu didalami. 4. Masalah yang sering diperkatakan adalah yang berkaitan dengan masalah sosial yang sering melanda remaja. | Tatabahasa | 13.12.2011 |