huraian mengenai frasa nama dan frasa kerja | Frasa nama ialah frasa yang perkataan utamanya terdiri daripada kata nama, kata nama terbitan atau kata ganti nama. Frasa nama ialah satu daripada konstituen utama dalam binaan ayat. Frasa kerja ialah sekumpulan perkataan yang perkataan utamanya terdiri daripada kata kerja. Frasa kerja ialah satu daripada konstituen utama dalam binaan ayat. Untuk keterangan lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Istilah | 01.02.2009 |
Assalamualaikum dan selamat pagi. Contoh ayat: 1. Bahasa utamanya ialah bahasa Parsi, bahasa Arab, bahasa Ibrani, bahasa Assyria, bahasa Kurdis, dan bahasa Turki. 2. Wilayah tersebut mencakupi beberapa kelompok suku dan budaya termasuk suku Iran, suku Arab, suku Yunani, suku Yahudi dan lain-lain. 3. Dia telah menjalankan penyelidikan di Vietnam, di Indonesia, dan di Thailand. Adakah perkataan "bahasa", "suku", dan kata sendi nama "di" dalam ayat-ayat tersebut perlu diulang bagi setiap contoh atau boleh digugurkan bagi contoh yang kedua dan seterusnya? | Waalaikumussalam perkataan bahasa, suku dan kata sendi nama di tidak perlu diulang bagi contoh yang seterusnya. | Tatabahasa | 07.02.2017 |
Assalamualaikum. Soalan pertama, apakah nama hasil karya yang isi kandungan utamanya diambil daripada sesebuah buku dengan penambahan-penambahan isi daripada pengarang hasil karya itu sendiri? Hasil karya tersebut pula bukan berbentuk ringkasan, terjemahan, atau rumusan. Soalan kedua, adakah pihak DBP ada menerbitkan kamus istilah-istilah ilmu hadis? Jika ada, boleh saya tahu bagaimanakah cara untuk mendapatkannya? | Assalamu`alaikum. Terima kasih menggunakan Khidmat Nasihat DBP. Jawapan: Soalan pertama: Pengambilan hasil karya orang lain adalah menyalahi Undang-undang Hak Cipta. Soalan kedua: DBP telah menerbitkan Glosari Hadis pada tahun 1994. | Lain-lain | 10.01.2011 |
Mengapakah papadom ditakrifkan sebagai sejenis 'keropok' dan bukannya kerepek walhal ramuan utamanya berasaskan nabati (selalunya tepung kacang kuda). Bukankah keropok digunakan untuk produk makanan rangup berasaskan haiwan seperti keropok udang/ikan/lekor manakala kerepek digunakan untuk produk makanan rangup berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti kerepek pisang/ubi/beras? | Merujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua, keropok ialah makanan yang berkeping-keping yang dibuat daripada adunan tepung dengan ikan atau dengan udang dan lain-lain dan digoreng manakala kerepek ialah ubi kayu, pisang dan sebagainya yang dihiris tipis-tipis, dijemur dan digoreng. Berdasarkan definisi keropok dan kerepek seperti di atas, popadom lebih sesuai dikategorikan sebagai keropok kerana dibuat daripada adunan tepung (tidak semestinya berasaskan haiwan sahaja). | Makna | 19.06.2018 |
Bolehkah perkataan bandar agropolitan digunakan? Semakan istilah: Bandar Interaktif Agro Teknologi, Bandar Interaktif Agro Ekonomi, Bandar Interaktif Agro Pelancongan. Bolehkan semua istilah ini digunakan untuk menggambar sebuah kawasan petempatan yang sedang membangunkan dan produk utamanya berasaskan pertanian komersial. Contohnya: Kerian Bandar Interaktif Agro Teknologi. | Ejaan yang betul ialah agroteknologi, agroekonomi dan agropelancongan. Pada pandangan kami bagi menamakan sebuah petempatan yang berasaskan pertanian komersial sebagai kegiatan utamanya ialah Bandar Interaktif Agroekonomi. | Tatabahasa | 18.03.2013 |
saya mahasiswa YIU ingin bertanya apakah frasa nama | Merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, frasa nama ialah frasa yang perkataan utamanya terdiri daripada kata nama, kata nama terbitan atau kata ganti nama. Frasa nama juga ialah satu daripada konstituen utama dalam binaan ayat. | Lain-lain | 14.07.2010 |
Definisi Sastera Panji | Sastera Panji adalah karya-karya berbentuk hikayat yang secara umum berkisar di sekitar pengembaraan dan percintaan watak utamanya. Antara contoh karya Sastera Panji ialah Hikayat Chekil Waneng Pati, Hikayat Misa Perabu Jaya, Hikayat Panji Semirang, Cerita Damar Wulan dan lanin-lain. | Lain-lain | 22.11.2007 |
1. Apakah frasa nama? Sila beri contoh ayat. 2. Apakah frasa sendi nama? Sila beri contoh ayat. Terima kasih. | Frasa nama (FN) ialah frasa yang perkataan utamanya terdiri daripada kata nama, kata nama terbitan atau kata ganti nama. Frasa nama boleh menjadi subjek atau predikat. Contoh frasa nama subjek: Pemenang hadiah itu , Contoh frasa nama predikat: pelajar universiti tempatan. Ayat lengkap (FN + FN): Pemenang hadiah itu pelajar universiti tempatan. Frasa sendi nama terdiri daripada kata sendi nama diikuti oleh frasa nama. Contoh: kata sendi ke , diikuti frasa nama sawah setiap pagi, ayat (FN + FS): Ibu ke sawah setiap pagi. | Tatabahasa | 30.07.2011 |
1.Ibu membeli makanan laut di pasar . 2.Ibu membeli hidupan laut di pasar. Apakah yang kita panggil jika ikan,udang yang belum dimasak ? makanan laut atau hidupan laut ? | Makanan laut ialah makanan atau hidangan yang bahan utamanya ialah hidupan laut seperti ikan, udang dan sotong. Oleh itu, yang belum dimasak itulah hidupan laut.
| Tatabahasa | 27.09.2010 |
Salam sejahtera. Bagaimanakah untuk menterjemahkan "Santa Claus" dalam bahasa Melayu? Bolehkah frasa "caroling" dapat diterjemahkan sebagai "mendendangkan lagu natal"? Sekian, terima kasih. | Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, "carol" bermaksud menyanyikan, mendendangkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, karol bermaksud nyanyian gembira atau puji-pujian, terutamanya semasa perayaan hari Krismas, lagu hari Natal. | Makna | 04.01.2019 |