Rajah 1.1 menunjukkan teori perkaitan di antara sebab dan syarat-syarat wajib zakat bagi zakat yang berasaskan harta perolehan. Soalan: Sesuaikah penggunaan perkataan "perkaitan" di situ, atau ada perkataan lain yang lebih sesuai? Kemudian perlukah diletakkan perkataan "di" sebelum "antara" atau cukup dengan "antara" sahaja tanpa "di (di antara) dalam konteks ayat di atas? Terima kasih. | Rajah 1.1 menunjukkan kaitan antara sebab dan syarat wajib zakat bagi zakat yang berasaskan harta perolehan. - perkaitan bermaksud hal atau keadaan yang berkaitan, manakala kaitan bermaksud hubungan. Kata kaitan lebih sesuai dalam ayat ini. Perkataan di antara lazimnya digunakan bagi perkataan yang menunjukkan ada ruang/jarak antara kedua-duanya, oleh itu kata antara lebih sesuai dalam ayat ini. | Tatabahasa | 12.05.2011 |
Assalamualaikum, Saya bukan ingin membuat pertanyaan, tetapi ingin menegur pentakrifan perkataan ZAKAT yang dikeluarkan oleh pihak DBP untuk Kamus Dewan cetakan ke3 dan ke4. DBP menulis: --zakat Ar rukun Islam yg keempat yg mewajibkan seseorang Islam mengeluarkan sebahagian drpd hartanya kpd orang yg berhak menerimanya (spt fakir miskin), mengikut syarat-syarat yg ditentukan; ...... (Kamus Dewan Edisi Tiga) -zakat Ar rukun Islam yg keempat yg mewajibkan seseorang Islam mengeluarkan sebahagian drpd hartanya kpd orang yg berhak menerimanya (spt fakir miskin), mengikut syarat-syarat yg ditentukan; .... (Kamus Dewan Edisi Empat) PErkara yang ingin ditegur di sini ialah, zakat bukan merupakan rukun Islam yang ke4, tetapi yang ke3, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: "Islam ialah: Bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, dan mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, dan menunaikan haji bagi yang berkuasa." (Hadis Sahih). Sekian, harap maaf. -Suryani Masnan- | Waalaikumsalam wbt. Terima kasih atas pandangan saudari yang begitu bernas. Untuk pengetahuan saudari, setiap entri yang berkaitan dengan agama atau kata yang berasal daripada bahasa Arab mempunyai panel penilainya tersendiri. Dan panel-panel tersebut terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Kebanyakan pakar yang terlibat datangnya dari universiti-universiti tempatan. Berbalik kepada soalan saudari. Sekiranya saudari merujuk kepada mana-mana kitab tauhid/aqidah, saudari akan dapati kedudukan 'zakat' itu di tangga yang keempat bukan ketiga. Kedudukan zakat dalam hadis yang disebutkan itu tidak bermaksud kedudukannya dalam keutamaan rukun Islam. Banyak laman web berbahasa Arab yang saya layari, kesemuanya merujuk bahawa zakat merupakan rukun Islam keempat. Sila rujuk juga kitab-kitab lain yang berkaitan rukun Islam. Jangan sekadar mengambil maksud langsung hadis tersebut. Lihat juga kepada kupasannya. | Lain-lain | 13.05.2009 |
Assalamualaikum, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memasang papan tanda arah. Pihak LZS ingin memohon pengesahan tulisan jawi bagi perkataaan "PUSAT PEMBANGUNAN ZAKAT SELANGOR". Dilampirkan lakaran untuk rujukan pihak tuan. Sekian, terima kasih. | Sila buat permohonan melalui https://dbpsahbahasa.my/ untuk penyemakan dan Pengesahan iklan. Terima kasih. | Lain-lain | 16.12.2019 |
Assalamualaikum Tuan yang dihormati. Bagaimana ejaan PUSAT PUNGUTAN ZAKAT MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN di dalam ejaan Jawi? Terima kasih. | PUSAT PUNGUTAN ZAKAT MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN ڤوست ڤوڠوتن زكاة مجليس اڬام ٳسلام ولايه ڤرسكوتوان | Ejaan | 04.02.2020 |
ibnu sabil (salah satu asnaf zakat) yang bermaksud orang yang dalam perjalanan, bagaimana tulisannya dalam bahasa Melayu. Atau perlu diitalickan dalam penulisan artikel. | Jika terdapat penggunaan bahasa-bahasa asing dalam penulisan bahasa Melayu, ejaannya perlulah diitalikkan seperti ... ibnu sabil merupakan sebahagian daripada yang layak menerima zakat. | Ejaan | 06.02.2014 |
Assalamualaikum, 1- Bolehkah digunakan perkataan "yang mana" dalam ayat? 2- Bolehkah digabungkan perkataan Bahasa Arab atau Inggeris dengan Bahasa Melayu tetapi Bahasa lain tersebut disengetkan (italic) kerana kalau ingin diterjemah agak panjang dan kurang sesuai: contohnya: Penta'ajilan zakat (iaitu bermaksud mempercepatkan pembayaran/pengeluaran zakat sebelum haul). Perkataan ta'ajil di atas disengetkan, tetapi imbuhan "Pen" dan "an" dibiarkan tegak. | 1. Frasa 'yang mana' tidak digunakan memandangkan bahawa frasa ini lebih merupakan terjemahan langsung bagi perkataan which dalam bahasa Inggeris. Penggunaan yang betul ialah sama ada yang atau mana - bergantung pada kesesuaian ayat. 2. Perkataan Taajil belum ada dalam Kamus Dewan, kami cadangkan saudara menggunakan perkataan/frasa yang melambang maksudnya dalam bahasa Melayu agar dapat difahami oleh khalayak. Walau bagaimanapun jika perkataan taajil (pentaajilan) perlu dikekalkan istilahnya, maka hendaklah ditulis dengan huruf condong. | Tatabahasa | 25.01.2011 |
Mohon pencerahan berkenaan penggunaan tulisan jawi pada papan tunjuk arah Lembaga Zakat Selangor yang akan dipasang di sekitar Selangor, bagi pemasangan papan tunjuk arah cawangan Kompleks PKNS, "PKNS" perlu ditukarkan dalam huruf jawi atau rumi ? Jika penggunaannya dalam huruf jawi, mohon nyatakan. Sekian ,terima kasih. | Dalam teks Jawi PKNS juga perlu dieja dalam huruf Jawi, iaitu . ڨ . ک . ن . س . | Ejaan | 22.02.2017 |
Bagaimana caranya untuk mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa jawi dalam pengiklanan papan tanda tunjuk arah bagi setiap daerah/cawangan Lembaga Zakat Selangor ? Saya telah menghubungi pihak DBP namun tidak berjaya. Boleh saya dapatkan no tel yang boleh dihubungi ? | Tuan/puan boleh menghubungi nombor seperti yang berikut: 02-21479400/9108 Terima kasih. | Lain-lain | 26.02.2017 |
Saya ingin bertanya penggunaan 'sayugia' didalam ayat. Adakah betul ayat yang tersebut dibawah: 'sayugialah bagi seseorang hamba Allah menyempurnakan ibadah zakat khasnya dan segala ibadah yang lain amnya dengan hati yang tulus ikhlas semata-mata kerana Allah untuk mendapat keredhaannya.' | Ayat itu betul. | Lain-lain | 13.08.2009 |
1. Apakah perbezaan penggunaan perkataan "diakui" dan "diperakui"? 2. Apakah takrif "MATAN"? 3. Apakah perbezaan penggunaan perkataan "pungutan" dan "terimaan"? | Dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 217, bentuk-bentuk apitan diper-...-i seperti diperolehi, diperakui dan dipersetujui merupakan bentuk terbitan yang lewah. Bentuk yang gramatis bagi diperakui ialah diakui atau diperakukan. Untuk maklumat lanjut, rujuk halaman berkenaan. Menurut data kami, maksud matan ialah 1. naskhah asli, teks (untuk syarahan dan lain-lain); 2. nas yang terdapat pada akhir sanad; 3. erti atau maksud sesuatu ayat. Maksud pungutan ialah sesuatu yang dipungut, pendapatan (perolehan, hasil) memungut: kata ~; wang ~; ~ suara a) referendum; b) pilihan raya; ~ zakat hasil kutipan zakat. Terimaan bermaksud apa-apa yang diterima. | Makna | 13.11.2015 |