PINGGUL | Pinggul ialah bahagian badan di antara badan dengan paha. Sendi pinggul dibentuk oleh tulang pinggul (yang terdiri daripada tiga tulang yang bercantum iaitu ilium, iskium dan pubis ) dan pangkal femur (tulang paha). Pangkal femur dipadankan dengan asetabulum, iaitu rongga pada tulang pinggul. Susunan ini membentuk sendi bebola dan rongga yang memberikan kekuatan dan membolehkan pelbagai pergerakan dalam semua arah. Beberapa otot yang kuat mengelilingi sendi ini, termasuk gluteus maksimus yang besar, bulat di belakang; gluteus medius di sisi; dan rektus femoris yang panjang bak pengikat di depan. Otot-otot ini menegakkan sendi supaya seseorang boleh berdiri. Ia juga menggerakkan kaki untuk berjalan dan berlari. | UMUM | |
ABDOMEN | Abdomen ialah rongga badan di antara toraks (dada) dengan rongga pelvik. Dinding otot yang kuat, dikenali sebagai diafram, memisahkan abdomen dari toraks. Tetapi tidak ada struktur yang memisahkan abdomen dari rongga pelvik. Organ abdomen terdiri daripada perut, hati, pankreas, usus, ginjal, kelenjar adrenal dan limpa. Membran nipis yang dikenali sebagai peritoneum melapisi seluruh rongga abdomen dan melitupi kebanyakan organ abdomen. | UMUM | |
DADA | Dada, yang juga dinamakan toraks, ialah bahagian badan di antara pangkal leher dengan abdomen. | UMUM | |
ANESTESIA | Anestesia ialah hilang deria rasa – terutama rasa sakit, di seluruh badan atau sebahagian badan. Ubat yang dinamakan anestetik digunakan bagi menghasilkan anestesia sementara untuk tujuan perubatan. Anestesia juga dihasilkan melalui hipnosis dan akupunktur – cucukan jarum di tempat tertentu pada badan. Sesetengah kecederaan dan penyakit, terutamanya pada sistem saraf, boleh menyebabkan kehilangan deria rasa. | UMUM | |
OTAK | Otak ialah pusat kawalan induk bagi badan. Otak sentiasa menerima maklumat dari deria tentang keadaan di dalam dan di luar badan. Otak dengan pantas menganalisis maklumat ini dan kemudian menghantar mesej yang mengawal fungsi dan tindakan badan. Otak juga menyimpan maklumat daripada pengalaman silam, yang menjadikan proses pembelajaran dan mengingat boleh berlaku. Di samping itu, otak adalah sumber pemikiran, mood, dan emosi. | UMUM | |
PROSTAGLANDIN | Prostaglandin ialah nama sekumpulan sebatian kimia yang penting. Ia terdapat di seluruh badan manusia dan haiwan. Ia membantu mengatur berbagai-bagai fungsi, seperti pengeluaran asid perut, tekanan darah dan suhu badan, serta aktiviti otot dalam organ seperti bronkus, usus, rahim dan lain-lain organ badan. Prostaglandin juga memainkan peranan utama dalam pembiakan. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 20 prostaglandin, yang kesemuanya adalah asid lemak versi yang telah diubahsuai. | UMUM | |
BADAN BERKANUN | BADAN BERKANUN, sebuah perbadanan awam dalam struktur pentadbiran kerajaan. Badan berkanun ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, dan oleh kerajaan negeri di bawah enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undang Negeri masing-masing. Penubuhan badan berkanun pada umumnya bertujuan untuk membolehkan penglibatan kerajaan secara terus dan lebih berkesan dalam bidang perkhidmatan awam dan pembangunan sosioekonomi yang memerlukan modal yang banyak dan kurang mendapat sambutan daripada sektor swasta. Badan berkanun dijangka akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif dan bebas kerana badan tersebut tidak perlu mengikut peraturan biasa yang diamalkan dalam pentadbiran kerajaan, walaupun badan itu diletakkan di bawah kuasa kerjaaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
PERBADANAN PEMBANGUNAN BANDAR (UDA) | Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) ialah badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan. Badan ini lebih dikenali sebagai UDA iaitu singkatan daripada Urban Development Authority. UDA berfungsi sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan bagi menyusun semula masyarakat selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) melalui pembangunan dan penyusunan semula bandar. | UMUM | |
KELENJAR ADRENAL | Kelenjar adrenal ialah organ kecil dalam badan yang merembeskan banyak hormon penting. Terdapat dua kelenjar adrenal di dalam badan, satu di atas setiap ginjal. Adrenal, yang juga dikenali sebagai suprarenal, mempunyai garis pusat kira-kira lima sentimeter setiap satu. Setiap kelenjar adrenal terdiri daripada medula (teras dalam) dan korteks (lapisan luar). | UMUM | |
OEDEMA | Oedema ialah bengkak tisu badan yang disebabkan oleh bendalir terkumpul dalam ruang antara sel. Oedema mungkin setempat – iaitu, terhad kepada satu bahagian badan – atau ia mungkin menjejaskan tisu di seluruh badan. Oedema setempat biasanya terjadi apabila kandungan kapilari yang cedera bocor dan masuk ke dalam ruang-ruang tisu yang berdekatan. | UMUM | |