PERBADANAN INDUSTRI BERAT MALAYSIA | Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM) ialah agensi yang bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan industri berat. HICOM ditubuhkan pada tahun 1982. Menerusi syarikat bersekutunya, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON), HICOM menjadi pengeluar pertama kereta nasional Malaysia. | UMUM | |
INDUSTRI BERAT | Industri berat, kegiatan ekonomi yang melibatkan penggunaan sumber pengeluaran dalam bentuk fizikal, kewangan dan infrastruktur yang banyak. | EKONOMI DAN PENGURUSAN | Institusi/Organisasi |
YAWATA | Yawata ialah sebuah pusat industri berat Jepun yang penting. Yawata juga sebahagian daripada bandar raya Kitakyushu, yang terletak di utara pantai pulau Kyushu (lihat Jepun [peta politik]). Kilang di Yawata membuat besi jongkong daripada bijih yang diimport dan menghasilkan kebanyakan daripada besi keluli yang diperlukan oleh Jepun. Yawata terletak berhampiran dengan lombong batu arang dan mempunyai loji kok. Semasa Perang Dunia II, Yawata menjadi sasaran pertama serangan udara B-29 Amerika Syarikat, pada 15 Jun 1944. | UMUM | Konsep |
PLUMBUM | Plumbum , unsur kimia yang berat, berwarna kelabu kebiruan, adalah satu daripada logam yang paling lama diketahui di dunia. Simbol kimianya, Pb, berasal daripada perkataan Latin, plumbum . Manusia telah menggunakan plumbum ribuan tahun dahulu sebagai bahan binaan, bahan untuk perpaipan air dan membuat tembikar serta objek lain. Kini, plumbum adalah penting kepada banyak industri, terutamanya industri yang menghasilkan bahan kimia, tenaga nuklear dan petroleum. | UMUM | |
MUATAN | Muatan ialah barangan pembuatan atau bahan mentah yang diangkut dari satu tempat ke satu tempat. Kereta api masih mengangkut muatan berat seperti batu arang dan mineral lain. Tetapi di kebanyakan negara industri, jalan raya mengangkut lebih banyak muatan berbanding kereta api. Trak dan van mengangkut muatan dari kilang ke gudang, dan dari gudang kepada pelanggan. Muatan selalunya dipindahkan melalui kontena . Ia merupakan kotak logam besar yang dinaikkan ke atas trak dan boleh diturunkan terus ke atas gerabak kereta api atau ke atas dek kapal kargo. Pengenalan muatan berkontena telah mengurangkan kerja pemunggahan naik dan turun, serta pemunggahan semula barangan dengan banyaknya. | UMUM | |
NEODIMIUM | Neodimium ialah unsur kimia yang mempunyai simbol Nd. Ia adalah logam yang tergolong dalam kumpulan nadir bumi. Nombor atomnya ialah 60. Berat atomnya ialah 144.24. C. F. Auer von Welsbach dari Austria menemui unsur ini pada tahun 1885. Dia mengasingkan unsur yang dikenali sebagai didimium kepada neodimium dan praseodimium. Neodimium melebur pada 1021 o C, dan mendidih pada 3074 o C. Ia mempunyai ketumpatan 7.003 gram per sentimeter padu pada 25 o C. Logam ini boleh disediakan melalui elektrolisis garam halidanya, atau melalui penurunan garam ini oleh logam bumi alkali ini dengan menggunakan haba. Industri seramik menggunakan garam neodimium untuk mewarnakan kaca dan dalam serlis. Logam ini wujud dalam logam misch , iaitu aloi yang mempunyai banyak kegunaan, dan dalam laser Nd- YAG yang penting. | UMUM | |
TANAH BENCAH | Tanah bencah ialah sebuah kawasan tanah yang aras airnya kekal hampir atau di atas permukaan tanah selama hampir sepanjang tahun. Tanah bencah meliputi kira-kira enam peratus daripada permukaan tanah bumi. Ia menampung pelbagai jenis haiwan dan kehidupan tumbuh-tumbuhan dan merupakan satu daripada ekosistem dunia yang paling produktif (subur) dari segi biologi. Tanah bencah pantai, muara dan kukup ialah tempat bertelur dan pembiakan yang penting bagi ikan dan kerang-kerangan. Tanah bencah juga berupaya menyaring keluar keseluruhan pencemaran dalam air seperti virus daripada kerja kumbahan atau logam berat daripada loji industri. | UMUM | |