| LAUT CHINA SELATAN | | UMUM | |
| TELUK MANILA | Teluk Manila ialah pintu masuk ke bandar raya Manila di Luzon, Filipina. Teluk ini menghala ke barat daya Laut China Selatan. Untuk lokasi, lihat Filipina (peta) . Teluk Manila adalah lebih kurang 65 kilometer panjang dan 55 kilometer lebar. Perairannya cukup dalam untuk kapal-kapal besar berlabuh. Terdapat dua pelabuhan di Cavite dan Manila. Pulau Corregidor yang berbatu-batan terletak di muara Teluk Manila. Beberapa peperangan sengit berlaku semasa Perang Dunia II (1939–1945) di pulau ini. Pulau ini diserang oleh tentera Jepun pada awal Perang Dunia II . Semasa Perang Sepanyol-Amerika (1898), sebuah armada Amerika di bawah pimpinan Komander George Dewey memusnahkan tentera Sepanyol dalam peperangan di muara Teluk Manila. Lihat juga Corregidor ; Semenanjung Bataan. | UMUM | |
| KELANTAN | Kelantan (pend. 1 400 000), negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia bersempadan dengan negeri Perak di barat, Pahang di selatan, Terengganu di timur, Thailand di utara dan Laut China Selatan. Kelantan merupakan salah sebuah penempatan tertua di Alam Melayu. | UMUM | |
| TAIWAN | Taiwan ialah sebuah pulau yang bergunung-ganang, terletak di Laut China Selatan, lebih kurang 140 kilometer dari perairan China. Orang Cina menamakan pulau ini Taiwan yang bermaksud teluk yang berteres. Hutan yang tumbuh meliar, sumber keindahan pulau ini, telah menyebabkan pelayar Portugis pada tahun 1590 menamakan pulau ini Ilha Formosa yang bermaksud pulau yang indah. Selepas Komunis China mengambil alih pemerintahan di tanah besar China pada tahun 1949, kerajaan Nasionalis China telah berpindah ke Taiwan. Presiden Parti Nasionalis China, Generalisimo Chiang Kai-shek menjadikan Taipei sebagai ibu negara Republik China. Kerajaan Nasionalis juga mengambil alih beberapa buah pulau di Selat Taiwan yang memisahkan Taiwan dengan China. Pulau-pulau ini termasuk Quemoy, Matsu dan gugusan Pulau Pescadores. Pulau Quemoy dan Matsu adalah sebahagian daripada provinsi Fujian kepunyaan Tanah Besar China, tetapi ditadbir oleh Taiwan. | UMUM | |
| SIANTAN | SIANTAN, salah satu pulau dalam kelompok Pulau Anambas, Indonesia, dan sebahagian daripada kepulauan di Laut China Selatan yang dikenal sebagai Pulau Tujuh. Kepulauan Pulau Tujuh yang terletak di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Kalimantan, termasuk lebih daripada 300 buah pulau. Orang setempat membahagikan kepulauan itu ke dalam tujuh kelompok, iaitu Jemajar (Anambas Barat), Siantan (Anambas Besar), Pulau Laut (Natuna Utara), Bunguran (Natuna Besar), Subi (Natuna Selatan), Serasan (Pulau Perompak) dan Tambelan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
| SUNGAI KELANTAN | SUNGAI KELANTAN, sungai ketiga terpanjang di Semenanjung Malaysia. Sungai Kelantan merupakan sungai utama dan terpenting di negeri Kelantan dan merupakan pertemuan antara Sungai Galas dan Sungai Lebir. Sistem aliran Sungai Kelantan bermula dari tanah tinggi Terengganu dan sayap-sayap sebelah timur banjaran Titiwangsa dan mengalir ke arah utara terus ke Laut China Selatan. Ia merupakan salah satu daripada tiga kawasan tadahan utama yang meliputi 12 691 km persegi. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
| ORANG KIWI | ORANG KIWI, pedagang antarabangsa yang giat berdagang pada zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400 – 1511). Mereka adalah pedagang yang kaya-kaya dan dipercayai mempunyai kapal-kapal perdagangan yang besar. Kapal mereka boleh belayar mengharungi Laut China Selatan, Lautan Hindi, Laut Arab, perairan Melaka dan Kepulauan Melayu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bangsa/Suku/Kaum |
| PATANI | PATANI, sebuah negeri di bawah Kesultanan Melayu Patani, di selatan Thailand pada pertengahan abad ke-15. Patani terletak di kawasan tepi pantai Laut China Selatan. Tanjung Patani digunakan sebagai tempat kapal perdagangan berlabuh pada musim monsun, sementara Sungai Patani ialah jalan perhubungan utama. Majoriti penduduk Patani terdiri daripada orang Melayu beragama Islam, manakala orang Siam dan Cina adalah penduduk minoriti. Selain golongan bangsawan dan golongan pemerintah, kebanyakan orang Melayu adalah petani dan nelayan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
| SABAH | Sabah ialah negeri yang terletak di Malaysia Timur. Sabah terletak di timur laut Kepulauan Borneo, bersempadan dengan negeri Sarawak di bahagian barat daya, Negara Brunei Darussalam di bahagian timur laut, dan wilayah Kalimantan, Indonesia di bahagian tenggara. Sabah dikelilingi oleh Laut Sulawesi di bahagian tenggara, Laut Sulu di timur laut dan Laut China Selatan di barat laut. Sabah mempunyai keluasan 711 kilometer persegi dan meliputi satu per sepuluh daripada keseluruhan Kepulauan Borneo. Ibu negerinya ialah Kota Kinabalu. | UMUM | |
| DUNGUN | DUNGUN, sebuah daerah di Terengganu, yang terletak di timur laut Semenanjung Malaysia. Luasnya 2735 km persegi dan mempunyai lebih kurang 85 000 orang penduduk. Pusat pentadbirannya di Kuala Dungun. Mengikut sejarah, pada tahun 1365, negeri Terengganu termasuk daerah Dungun terletak di bawah takluk kerajaan Majapahit. Sebagai daerah pesisir Laut China Selatan, Dungun terkenal di kalangan pedagang asing semenjak dahulu kala lagi terutama dari China dan seluruh Nusantara. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |