Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu



Definisi : kawasan hutan milik negara yg dijadikan sbg kawasan perlindungan alam semula jadi, flora dan fauna, atau bahan sejarah; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Ensiklopedia

TajukSinopsisBidangKlasifikasi
TAMAN NEGARA BANFF

Taman Negara Banff, didirikan pada tahun

1855, merupakan taman negara tertua di Kanada.

Pemandangannya yang menakjubkan telah menjadi

daya tarikan pelancong yang paling popular di

Kanada. Taman ini mempunyai banyak lembah

yang dalam, glasier, tasik dan gunung yang diliputi

ais. Ia terletak di bahagian timur Pergunungan

Rocky di barat daya provinsi Alberta.

UMUM 
TAMAN NEGARA KRUGER

Taman Negara Kruger di Afrika Selatan

merupakan taman negara yang terbesar di dunia. Ia

terletak di sebahagian provinsi utara dan

sebahagian di Mpumalanga. Ia juga bersempadan

Sungai Crocodile di selatan, Sungai Limpopo dan

Luvuvhu di utara, Mozambique dan pergunungan

Lebombo di timur dan kawasan selebihnya di

provinsi utara dan Mpumalanga di barat. Panjang

taman ini kira-kira 350 kilometer dan lebarnya 60

kilometer. Kawasannya seluas 19 455 kilometer

persegi.

UMUM 
TAMAN NEGARA

Taman negara ialah kawasan yang disimpan

oleh kerajaan sesebuah negara untuk melindungi

keindahan alam semula jadi, hidupan liar atau ciri-ciri

luar biasa yang lain. Taman negara juga

melindungi kawasan-kawasan yang penting dari

segi budaya, sejarah, atau sains. Sesetengah taman

melindungi keseluruhan persekitaran seperti

terumbu karang, padang pasir, padang rumput,

banjaran gunung, atau hutan hujan.

UMUM 
TAMAN NEGARA CARLSBAD CAVERNS

Taman Negara Carlsbad Caverns, di

tenggara New Mexico, Amerika Syarikat terkenal

kerana terdapat banyak gegua atau gua. Gegua

yang paling besar ialah gua carlsbad Caverns.

Gegua ini merupakan salah sebuah gegua bawah

tanah yang terbesar di dunia. Dalam ruang gegua

ini, stalaktit dan stalagmit terbentuk menyerupai

kuil Cina, tiang besar, dan isikel seperti renda (lihat

Stalagmit; Stalaktit ). Satu ruang besar yang

dikenali sebagai Big Room, panjangnya 500 meter

dan lebarnya 335 meter. Di satu tempat, tinggi

silingnya 78 meter. Haiwan seperti musang,

gopher , jack rabbit , mule deer , dan ular orok-orok

terdapat di taman ini. Taman Negara ini dibina

pada tahun 1930. Untuk mengetahui keluasannya,

lihat Taman negara.

UMUM 
TAMAN NEGARA YELLOWSTONE

Taman Negara Yellowstone di Wyoming,

Amerika Syarikat ialah taman negara yang tertua di

dunia. Taman ini terkenal kerana terdapat banyak

keajaiban semula jadinya. Taman ini mempunyai

lebih banyak geiser dan kolam air panas daripada

mana-mana tempat di dunia. Antara tarikan

pemandangan yang menakjubkan di Yellowstone

ialah ngarai yang dalam, air terjun yang menderam,

tasik yang berkilauan, dan kawasan rimba yang

sentiasa menghijau, saujana mata memandang, yang

diselang-seli dengan padang rumput yang luas.

Taman ini meliputi kawasan seluas 900 000 hektar.

Yellowstone juga ialah hutan simpan hidupan yang

terbesar di Amerika Syarikat. Beruang, rusa, dan

kerbau liar, bebas merayau-rayau di taman itu,

helang botak, angsa, dan burung undan putih

bersarang di sana.

UMUM 
TAMAN NEGARA BRYCE CANYON

Taman Negara Bryce Canyon, yang terletak

di selatan Utah, Amerika Syarikat, merupakan salah

satu kawasan di dunia yang mengandungi batuan

yang berbentuk aneh dan warna yang cantik. Ia

meliputi 14 500 hektar wilayah Grand Canyon di

Dataran Tinggi Colorado. Namanya adalah

sempena nama Ebenezer Bryce, perintis yang

menetap di wilayah ini pada tahun 1875.

UMUM 
TAMAN NEGARA KAKADU

Taman Negara Kakadu terletak antara Sungai

Alligator Selatan dengan Sungai Alligator Timur di

Wilayah Utara, Australia. Taman ini berada 220

kilometer di timur Darwin dan mempunyai keluasan

6000 kilometer persegi.

UMUM 
TAMAN NEGARA GRAND CANYON

Taman Negara Grand Canyon, di Amerika

Syarikat, meliputi sebahagian besar Grand Canyon,

sebuah daripada ngarai yang paling hebat di dunia.

Sungai Colorado mengalir melalui ngarai yang

terbentang seluas 446 kilometer di barat laut

Arizona. Sebahagian daripada ngarai tersebut

sedalam 1.5 kilometer dan 29 kilometer lebar.

Taman ini juga meliputi bukit yang curam dan

puncak menara batu yang tinggi.

UMUM 
TAMAN NEGARA YOSEMITE

Taman Negara Yosemite ialah kawasan tanah

gersang yang luas di bahagian tengah-timur

California, Amerika Syarikat. Taman ini terletak di

pergunungan Sierra Nevada, kira-kira 320 kilometer

di timur San Francisco. Terdapat kira-kira 1100

kilometer jalan denai yang kebanyakannya menuju

ke “High Sierra”, iaitu kawasan tasik yang airnya

berkilauan, penuh dengan jeram berarus deras, dan

dikelilingi oleh puncak gunung yang berceranggah.

Muzium Yosemite yang terletak di dalam taman ini

mempamerkan koleksi Orang Asli Amerika dan

hidupan liar di kawasan ini.

UMUM 
TAMAN NEGARA MESA VERDE

Taman Negara Mesa Verde ialah satu kawasan

taman di Amerika Syarikat. Ratusan tahun dahulu,

Orang Asli Amerika membina tempat tinggal di

tebing kawasan penara tinggi di sepanjang tembok

ngarai, yang merupakan sebahagian daripada

dataran tinggi terbesar di barat daya Colorado,

Amerika Syarikat. Sebahagian daripada kawasan

petempatan cenuram masih lagi wujud sehingga

kini. Pada tahun 1906, Kongres Amerika Syarikat

telah memperuntukkan kawasan ini sebagai taman

negara. Taman ini dinamakan Mesa Verde

(perkataan Sepanyol bererti meja hijau ), kerana ia

dipenuhi oleh hutan pokok juniper dan pokok pain

piñon.

UMUM 
1234

Kembali ke atas