Mahdiy, Muhammad Ahmad al- (1260 H.–  1302 H./1844 M.–1885 M.), tokoh politik dan  pemimpin agama di Sudan. Nama sebenarnya ialah  Muhammad Ahmad ibn al-Sayyid ‘Abdullah yang  juga digelar al-Mahdiy. Dia lahir di Pulau Labab di  wilayah Danqala, di utara Sudan. Bapanya bekerja  dalam industri pembuatan kapal layar di Sungai  Nil, dan berasal daripada keluarga bangsawan. Dia  mempelajari al-Qur’an di Khartoum sambil berguru  kepada Syeikh Muhammad al-Khayr dalam bidang  fiqah. Dia cenderung kepada bidang tasawuf. Oleh  sebab itu, dia berguru dengan Syeikh Muhammad  Sharif Nur al-Da’im, guru tarekat sufi al-Samaniyyah   pada tahun 1273 H./1861 M. sehingga bertaraf  syeikh (imam/guru). Dia kemudiannya pergi ke  Pulau Aba lantas membina sebuah masjid untuk  tujuan ibadat dan pengajian. Dakwahnya mendapat  sambutan ramai di wilayah Jazirah yang terletak di  tengah Sudan. Sepanjang tahun 1295 H./1876 M.,  al-Mahdiy dan gurunya, Muhammad Syarif sentiasa  berselisih pendapat hinggakan mereka berpisah.  Selepas itu, dia bergabung dengan Syeikh al-  Qurshiy, salah seorang guru tarekat Samaniyyah  sehingga Syeikh al-Qurshiy meninggal dunia. Dia  diamanahkan untuk menggantikan tempat Syeikh  al-Qurshiy dan menjadi guru tarekat Samaniyyah.  Semasa berada dalam tarekat ini, dia berkenalan  dengan ‘Abdullah al-Ta‘ayushiy.  |