LIBERIA | Liberia ialah sebuah negara di pantai barat Afrika. Ia merupakan negara merdeka yang kedua tertua di dunia yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada warganegara kulit hitam. Negara merdeka yang tertua ialah Haiti. Liberia ditubuhkan pada tahun 1822 oleh hamba abdi yang telah dibebaskan dan dihantar ke sini oleh masyarakat penjajah di Amerika Syarikat. Hamba abdi yang dibebaskan ini disertai oleh hamba abdi lain yang dibebaskan daripada kapal hamba abdi yang menuju ke Amerika Syarikat. Nama Liberia berasal daripada perkataan Latin yang bermakna Tanah Bebas. | UMUM | |
SPARTACUS | Spartacus (? –71 S.M.) , memimpin satu pemberontakan besar hamba abdi menentang Empayar Rom. Pemberontakan tersebut berlangsung dari tahun 73 S.M. hingga 71 S.M. | UMUM | |
PERHAMBAAN | Perhambaan merupakan satu amalan manusia yang memiliki manusia lain. Seorang hamba abdi menjadi hak milik kepada tuannya dan bekerja untuknya tanpa sebarang upah atau gaji. Pemilik yang disebut tuan atau puan membekalkan makanan, tempat tinggal, dan pakaian kepadanya. Perhambaan bermula pada zaman prasejarah dan diamalkan sejak dari zaman tersebut. Perhambaan pada zaman purba mencapai kemuncaknya di Greece dan Empayar Rom. Pada Zaman Pertengahan, amalan perhambaan mengalami kemerosotan. Kemudian pada tahun 1500-an dan 1600-an, penjajahan Dunia Baru oleh orang Eropah telah mengakibatkan berkembangnya perhambaan secara pesat. Kemerosotan perhambaan disebabkan oleh perubahan moral terhadap perhambaan pada tahun 1800-an. Kini, perhambaan adalah tidak sah di sisi undang-undang di hampir setiap negara tetapi amalan ini masih lagi wujud di beberapa bahagian Afrika, Asia, dan Amerika Selatan. | UMUM | |
TAYLOR, ZACHARY | Taylor, Zachary (1784–1850) ialah Presiden Amerika Syarikat dari tahun 1849 hingga tahun 1850. Dia meninggal dunia pada 9 Julai 1850 setelah hanya 16 bulan memegang jawatan. Taylor ialah pemilik hamba abdi di Selatan tetapi dia tidak menentang kemasukan California dan New Mexico ke dalam kesatuan sebagai negeri bebas (bukan hamba abdi). | UMUM | |
PARIS | Paris dalam mitologi Yunani ialah anak lelaki Priam, raja Troy. Ibu Paris, Hecuba, bermimpi bahawa anak yang dikandungnya itu merupakan obor yang akan membakar negara. Seorang tukang tilik berkata mimpi itu bererti bahawa anak itu akan menyebabkan kemusnahan Troy. Priam menyerahkan Paris kepada seorang abdi dan menyuruh abdi itu membunuh bayi tersebut. | UMUM | |
ORANG MERDEHEKA | ORANG MERDEHEKA, kelompok bukan hamba abdi. Istilah merdeheka atau merdeka berasal daripada istilah Sanskrit ‘mahard-dika’. Pada zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ke-17, merdeheka merujuk kepada seorang pembesar yang berkuasa terhadap rakyatnya atau hamba beliannya. Istilah ini kemudiannya tersebar ke Sulawesi dan kepulauan Filipina dengan penggunaan yang membawa makna kelompok atau kelas yang di atas golongan hamba ataupun mereka yang mempunyai hamba abdi. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bangsa/Suku/Kaum |
MONROVIA | Monrovia (pend. 421 058) ialah ibu negara dan bandar utama Liberia, negara di barat Afrika. Monrovia terletak di pantai Atlantik, di muara Sungai Saint Paul, dan mempunyai sebuah pangkalan yang baik dan moden. Untuk lokasi, lihat Liberia (peta). Monrovia ialah pusat pendidikan dan kebudayaan Liberia. Universitiy of Liberia terletak di bandar Monrovia. Monrovia mengambil sempena nama James Monroe, Presiden Amerika Syarikat. Bandar ini diasaskan pada tahun 1822 oleh Persatuan Penjajahan Amerika. Persatuan ini telah menebus kebebasan ramai hamba abdi Amerika dan membantu mereka menubuhkan Republik Liberia. | UMUM | |
SENOI | SENOI, kumpulan Orang Asli yang mendiami kawasan tengah Semenanjung Malaysia. Istilah Senoi berasal daripada perkataan Semai dan Temiar, ‘Sen-oi’ atau ‘seng-oi’ yang bermaksud orang atau manusia. Istilah ini kemudiannya digunakan oleh penyelidik dan pentadbir sebagai istilah rujukan bagi kumpulan Orang Asli yang menggunakan bahasa Austroasiatik dan mendiami kawasan tengah Semenanjung Malaysia, iaitu Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor. Sebelum istilah Senoi diperkenalkan, pengkaji dan pentadbir menggunakan istilah Sakai. Namun, istilah ini tidak dipersetujui oleh masyarakat Orang Asli kerana membawa makna dan konotasi yang negatif seperti hamba abdi, tidak bertamadun, kotor dan seumpamanya. Istilah ini telah diketepikan dan digantikan dengan ‘senoi’ sebagai istilah rasmi. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |