Diuretik ialah dadah atau bahan yang
meningkatkan pengeluaran air kencing oleh
buah pinggang.
Diabetes ialah nama dua penyakit yang
mempunyai gejala yang serupa, rasa dahaga
yang berlebihan dan pengeluaran air kencing
yang banyak. Diabetes biasanya merujuk kepada
diabetes melitus, yang merupakan penyakit
yang paling biasa, apabila tubuh tidak boleh
menggunakan gula secara normal. Dalam penyakit
yang satu lagi, diabetes insipidus, kelenjar pituitari
atau hypothalamus, satu bahagian daripada otak,
tidak berfungsi secara normal.
Pundi kencing ialah nama biasa bagi organ
berotot berongga yang menyimpan air kencing
sebelum ia dikeluarkan dari badan. Pengosongan
pundi kencing berlaku secara terkawal pada
kebanyakan manusia dan banyak mamalia lain.
Demam kuning ialah penyakit virus yang
dibawa oleh nyamuk tertentu. Virus ini
merosakkan banyak tisu badan, khususnya hati dan
ginjal. Akibat kerosakan ini, pembuangan air kencing
berkurangan, hati tidak dapat berfungsi dengan
baik dan pigmen hempedu kuning berkumpul
dalam kulit.
Nefritis , asalnya dikenali sebagai penyakit Bright,
adalah nama umum bagi beberapa penyakit radang
buah pinggang. Glomerulonefritis ialah penyakit
yang selalunya dikenali sebagai nefritis. Ia
melibatkan radang glomeruli (unit penapisan) buah
pinggang. Keradangan biasanya mengurangkan
jumlah air kencing yang dihasilkan oleh buah
pinggang, menyebabkan bahan pembuangan yang
biasanya dibuang di dalam air kencing, berkumpul
di dalam badan. Glomerulonefritis yang teruk atau
berterusan boleh menyebabkan kerosakan yang
serius atau berkekalan pada buah pinggang.
Terapi kelation ialah rawatan perubatan yang
melibatkan penggunaan ubat untuk
menghilangkan ion logam daripada badan. Ubat
jenis chelate (bersebati kuat) dengan ion logam
menjadikannya bahan terlarut yang dikeluarkan
melalui air kencing. Penggunaan terapi kelation
yang paling terkenal adalah di dalam merawat
arteriosklerosis (pengerasan arteri). Walaupun
begitu, penggunaan terapi kelation ini menjadi isu
yang amat kontroversi. Terapi kelation terbukti
berkesan dalam merawat beberapa keadaan agak
luar biasa, termasuk keracunan oleh logam seperti
raksa dan plumbum.
Kelenjar prostat ialah organ sistem reproduksi
lelaki. Kelenjar ini merembeskan bendalir kental
yang keputih-putihan dalam tubuh. Semua
mamalia jantan mempunyai bentuk kelenjar
prostat yang serupa. Pada orang lelaki, kelenjar itu
terletak betul-betul di bawah pundi air kencing dan
bersetentangan dengan bahagian rektum.
Beratnya lebih kurang 20 gram dan besarnya lebih
kurang sebesar buah berangan. Prostat terdiri
daripada tisu yang berotot dan berkelenjar, serta
mempunyai permukaan yang bergentian lagi liat.
Bright, Richard (1789–1858) ialah doktor
Inggeris yang menjadi terkenal pada tahun 1827
apabila berjaya menunjukkan hubungan antara
buah pinggang yang berpenyakit, albumin dalam
air kencing, dan dropsi.
Zakar ialah organ pembiakan luaran pada lelaki.
Pada lelaki dan kebanyakan mamalia jantan, air
kencing dan bendalir pembawa sperma yang
dikenali sebagai semen , keluar melalui zakar.
Thanks for clicking. That felt good.