AIR MATA | Air mata ialah rembesan kelenjar lakrimal yang sentiasa membasuhi kornea , iaitu lapisan luar yang liat pada bola mata. Air mata menolong membersihkannya daripada zarah asing, seperti habuk dan bulu, dan menjaganya agar tidak kering, yang boleh menyebabkan orang menjadi buta. | UMUM | |
TELAGA ARTOIS | Telaga artois ialah telaga yang menyadap air dalam tanah yang berada di bawah tekanan. Air ini naik ke permukaan tanpa bantuan pam jika tekanan yang cukup wujud. Istilah telaga artois juga merujuk kepada sebarang air telaga yang sangat dalam. Kebanyakan telaga artois menyadap selapisan bahan poros yang penuh dengan air bawah tanah. Lapisan ini, dikenali sebagai akuifer , mungkin terletak di antara dua lapisan tanah liat atau bahan-bahan lain yang tidak menyimpan air. Akuifer itu mungkin senget, dan oleh itu, ia menyerap air pada sebelah hujungnya yang di atas. Air ini menyerap turun ke dalam akuifer dan membekalkan air bawah tanah. Telaga artois mengalir secara semula jadi disebabkan oleh tekanan yang dikenakan pada air di dalam akuifer oleh air yang masih berada di hujung atas akuifer. | UMUM | |
SUNGAI RHÔNE | Sungai Rhône ialah jalan air komersial yang penting di Perancis. Sungai ini masyhur kerana keindahan lembahnya. Hulu sungai ini bermula di glasier Rhône di Switzerland, di paras ketinggian melebihi 1500 meter. Tanah liat glasier yang dibawa oleh sungai ini dari Pergunungan Alps Switzerland membuatkan air Sungai Rhône hampir keruh. Tetapi semasa aliran sungai ini melalui Tasik Geneva, ia kehilangan kebanyakan tanah liat glasier di dasar tasik itu. Warna biru jernih air sungai ini selepas ia meninggalkan Tasik Geneva, memberi inspirasi kepada pemuisi Inggeris, Lord Byron, untuk memerikannya sebagai “deruan biru Rhône yang meluru seperti anak panah.” | UMUM | |
ALUVIUM | Aluvium ialah tanah, pasir, batu kerikil, tanah liat, kelodak, atau bahan-bahan lain yang dimendapkan oleh air yang mengalir. Mendapan aluvium berlaku apabila sungai atau anak sungai berkurangan halajunya ketika mengalir menuruni lereng gunung atau memasuki tasik, laut pedalaman, atau teluk yang tenang. | UMUM | |
MEERSCHAUM | Meerschaum ialah tanah liat putih yang lembut, bergentian, atau berkelupas. Para pengilang menggunakan meerschaum untuk membuat paip tembakau. Meerschaum juga dikenali sebagai sepiolit. Meerschaum sangat ringan hingga boleh terapung di atas air. | UMUM | |
DELTA | Delta ialah tanah datar yang rendah yang terdiri daripada tanah liat, batu-batu, pasir dan endapan lain yang mendap di muara sungai. Delta diberi nama sempena huruf Yunani delta () kerana kebanyakannya berbentuk segi tiga. Delta terbentuk apabila air sungai mengalir ke dalam air yang tenang dengan kelajuan dan kemampuannya untuk membawa endapan menjadi kurang secara tiba-tiba. | UMUM | |
KELODAK | Kelodak ialah bahan berpasir halus dan berselut yang terdiri daripada zarah halus batuan yang mendap ke bahagian dasar sungai dan kumpulan air yang lain. Bahan yang mendap di dalam air atau udara dikenali sebagai enapan. Contoh enapan yang biasa ialah tanah liat, kelodak, pasir, tanih, dan kelikir. Kelodak terdiri daripada zarah halus yang berbeza-beza saiznya, iaitu bergaris pusat daripada 0.004 milimeter hinggalah 0.0625 milimeter. Kebanyakan tanah yang mengandungi longgokan lanar adalah subur. | UMUM | |
ARKWRIGHT, SIR RICHARD | Arkwright, Sir Richard (1732–1792) ialah pereka cipta dan pengilang British. Pada tahun 1769, dia telah mendapatkan paten untuk sebuah mesin pemintal benang yang dinamakan kerangka air kerana alat tersebut dijalankan oleh kuasa air. Mesin itu dipusingkan oleh beberapa set penggelek yang bergerak pada kelajuan yang berlainan untuk menarik kapas daripada mesin penyisir dan meluruskan seratnya. Kemudian, kapas itu diputar oleh gelendong supaya menjadi benang. Bagaimanapun, benang yang dihasilkan oleh kerangka air adalah keras, liat dan kasar. Arkwright dan dua pekilang lain mula membina kilang kapas yang menggabungkan pelbagai proses pengilangan yang terdiri daripada penyisir, penarik, peracik dan pemintal supaya menjadi satu proses sahaja. Dia dikatakan bekerja 16 jam sehari dan belajar pada waktu malam untuk menyambung semula alam persekolahannya yang tercicir. | UMUM | |
TERRACOTTA | Terracotta ialah sejenis barang tembikar yang keras dan tahan lama. Seperti barang tembikar yang lain, terracotta dibuat daripada sejenis tanah liat yang dibakar. Warnanya berbagai-bagai, iaitu daripada warna kuning pucat dan warna coklat hinggalah kepada berbagai-bagai warna merah. Terracotta biasanya tidak diglis. Terracotta digunakan dengan meluas untuk membuat pasu bunga, air pancut, jubin, hiasan seni bina, dan arca hiasan taman. Oleh sebab terracotta mudah dibentuk, ramai pengarca menggunakannya untuk membuat model awal. Terracotta berkembang pada zaman prasejarah. Orang Yunani dan Rom purba menggunakan bahan ini untuk membuat objek hiasan, di samping talang, paip, dan bahan binaan lain. Perkataan terracotta berasal daripada perkataan Itali yang bermaksud “tanah masak”. | UMUM | |
KELENJAR PROSTAT | Kelenjar prostat ialah organ sistem reproduksi lelaki. Kelenjar ini merembeskan bendalir kental yang keputih-putihan dalam tubuh. Semua mamalia jantan mempunyai bentuk kelenjar prostat yang serupa. Pada orang lelaki, kelenjar itu terletak betul-betul di bawah pundi air kencing dan bersetentangan dengan bahagian rektum. Beratnya lebih kurang 20 gram dan besarnya lebih kurang sebesar buah berangan. Prostat terdiri daripada tisu yang berotot dan berkelenjar, serta mempunyai permukaan yang bergentian lagi liat. | UMUM | |