TASIK-TASIK BESAR | Tasik-tasik Besar, Tasik Superior , Michigan , Huron, Erie, dan Ontario – lima Tasik-tasik Besar – ialah kumpulan tasik air tawar yang terbesar di dunia. Tasik ini menjadi laluan air daratan yang terpenting di Amerika Utara. Tasik ini merupakan laluan utama yang digunakan oleh pengembara dan peneroka awal di Wilayah Barat Daya. Tempat ini adalah rantau yang luas yang kini ialah Amerika Syarikat. Ia termasuk Ohio, Indiana, Illinois, Michigan, Wisconsin , dan sebahagian daripada Minnesota. | UMUM | |
TASIK SUPERIOR | Tasik Superior, salah satu daripada lima Tasik-tasik Besar Amerika Utara, merupakan kawasan air tawar yang terbesar di dunia. Antara Tasik-tasik Besar itu, Tasik Superior ialah tasik yang paling dalam, paling tinggi di atas aras laut, dan paling jauh ke utara dan paling jauh ke barat (lihat Tasik-tasik Besar ). Tasik Superior membentuk sebahagian daripada sistem jalan air pedalaman Amerika Syarikat dan Kanada. Sistem ini menganjur dari Lautan Atlantik melalui Jalan Laut St. Lawrence, Tasik-tasik Besar, dan Sungai Mississippi hingga ke Teluk Mexico. Pedagang bulu haiwan bangsa Perancis yang awal menamakan tasik ini dalam bahasa Perancis Lac Supérieur, yang bererti Tasik Hulu dalam bahasa Perancis. | UMUM | |
TASIK GREAT SLAVE | Tasik Great Slave, salah satu tasik terbesar di Amerika, yang meliputi 28 438 kilometer persegi di wilayah barat laut Kanada. Ia terletak kira-kira 400 kilometer di timur Pergunungan Rocky. Air tasik itu kebanyakannya dari Sungai Slave. Saluran keluarnya menjadi permulaan Sungai Mackenzie yang besar. | UMUM | |
TASIK ONTARIO | Tasik Ontario ialah tasik yang terkecil dan yang paling ke timur daripada lima Tasik-tasik Besar di Amerika Utara. Ia merupakan hubungan penting dalam sistem Jalan Air St. Lawrence. Walaupun Tasik Ontario terbuka kepada kapal besar sepanjang tahun, namun ia mempunyai kurang lalu lintas, berbanding Tasik-tasik Besar yang lain. | UMUM | |
TASIK TANA | Tasik Tana, juga dikenali sebagai Tsana, terletak di barat laut Ethiopia. Untuk lokasi, lihat Ethiopia (peta). Tasik ini bertindak sebagai sumber utama Sungai Nil Biru, atau Sungai Abbai. Sungai Nil Biru menerima warnanya daripada air Tasik Tana yang tidak berkelodak. Tasik Tana letaknya 1829 meter di atas aras laut, panjangnya 76 kilometer dan lebarnya 71 kilometer. | UMUM | |
TASIK MACQUARIE | Tasik Macquarie ialah lagun pinggir laut yang besar di New South Wales, Australia. Luasnya kira-kira 100 kilometer persegi dan terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan Newcastle. Air Tasik Macquarie dibekalkan daripada beberapa anak sungai kecil dan yang terbesar daripadanya ialah Dora Creek dan Cockle Creek. Tasik Macquarie terbuka terus ke laut di Tasik Entrance, berdekatan dengan bandar pinggir laut Swansea. Bandar utama yang lain di pesisir tasik tersebut ialah Toronto, Wangi Wangi dan Belmont. Stesen penjanaan kuasa terma Vales Point dan Wangi mendapat bekalan air dari tasik tersebut. Tasik Macquarie sebuah tempat percutian popular yang menyediakan kemudahan bermain bot dan memancing yang sangat baik. | UMUM | |
TASIK HINDMARSH | Tasik Hindmarsh ialah tasik air tawar yang terbesar di Victoria, Australia. Luas tasik ini 12 000 hektar. Pinggir tasik ini melebihi 64 kilometer namun permukaan airnya tidak menentu kerana tasik ini menjadi kering pada tahun yang kering dan menjadi sebuah kawasan tanah datar yang diselaputi garam. Tasik Hindmarsh terletak di Dimboola Shire, kira-kira lima kilometer ke timur laut Jeparit. | UMUM | |
TASIK ALBERT | Tasik Albert, juga dikenal sebagai Albert Nyanza, salah sebuah punca Sungai Nil. Tasik ini terletak di antara Uganda dengan Zaire. Ia meliputi kira-kira 4248 kilometer persegi. Panjangnya kira-kira 160 kilometer dan lebarnya kira-kira 32 kilometer. Air Tasik Albert datangnya dari Tasik Edward di selatan melalui Sungai Semliki dan mengalir keluar ke utara melalui Nil Albert. Tasik Albert dinamakan sempena suami Ratu Victoria dari Great Britain. | UMUM | |
TASIK MICHIGAN | Tasik Michigan ialah kumpulan air tawar yang terbesar di Amerika Syarikat. Tasik ini merupakan tasik yang ketiga terbesar antara Tasik-tasik Besar dan satu-satunya tasik daripada kumpulan tersebut yang terletak keseluruhannya di Amerika Syarikat. Tasik Michigan membentuk satu hubungan yang penting dalam sistem jalan air yang besar yang menganjur ke timur menuju ke Lautan Atlantik dan ke selatan melalui Sungai Mississippi menuju ke Teluk Mexico. | UMUM | |
TASIK NYASA | Tasik Nyasa ialah tasik yang terletak paling selatan dalam rangkaian tasik air tawar besar di Lurah Sesar Besar di timur Afrika. Ia terletak lebih kurang 640 kilometer ke pedalaman dari Lautan Hindi. Tasik Nyasa, juga dikenali sebagai Tasik Malawi , mengalir ke Lautan Hindi melalui Sungai Shire dan Sungai Zambezi (lihat Malawi ). | UMUM | |