Samaniat, Kerajaan (261–389 H./874–999 M.) ialah kerajaan Parsi yang diasaskan oleh Saman. Saman ialah seorang bangsawan Parsi berketurunan Bahram Jovin yang mengetuai revolusi menentang pihak istana. Saman menjalin hubungan dengan kerajaan Islam pada zaman Khalifah Umaiyyah, Hisham b. ‘Abd Malik. Dia melawat Asad ibn ‘Abdullah al-Qasari, gabenor Khurasan pada zaman kerajaan Umawi. Dia telah diberi penghormatan oleh gabenor tetapi dibenci oleh musuh-musuhnya. Dia telah memeluk Islam dan menamakan anaknya Asad, sempena nama Asad al-Qasari yang telah memberi penghormatan kepadanya. |