AMMONIA KONTANG | Ammonia kontang ialah gas ammonia tulen dalam bentuk cecair. Oleh sebab kandungan nitrogennya tinggi – kira-kira 82 peratus– peladang menggunakan ammonia kontang sebagai baja. Ia boleh digunakan bersendirian atau dalam campuran komersial yang mengandungi sebatian fosforus dan kalium. Ia boleh berpadu dengan air untuk membentuk larutan bagi membuat baja campuran. Ammonia kontang juga digunakan sebagai bahan penyejuk dalam simpanan sejuk dan loji pembuatan ais. Ia dibuat dengan memampatkan gas ammonia kering (NH3 ). | UMUM | |
AMMONIA | Ammonia (formula kimia NH3 ) ialah gas alkali yang tidak berwarna yang terdiri daripada satu bahagian nitrogen dan tiga bahagian hidrogen. Ia lebih ringan daripada udara, dan mempunyai bau yang sengit. Ammonia boleh disedut jika ia dicairkan dalam udara, tetapi gas ammonia pekat boleh menyebabkan kelemasan dan kematian. Ammonia tidak terbakar dalam udara, tetapi ia terbakar dalam oksigen dengan nyala yang lemah berwarna kuning. | UMUM | |
AMINA | Amina ialah nama kumpulan bes organik lemah yang sama dengan ammonia dari segi strukturnya. Ahli kimia membentuk amina dengan menggantikan satu atau lebih daripada tiga atom hidrogen pada ammonia dengan mana-mana kumpulan struktur organik yang mengandungi karbon dan hidrogen. Apabila dineutralkan oleh asid, amina membentuk garam (lihat Garam; Kimia ). Amina digunakan secara komersial sebagai pelarut dan juga dalam pembuatan bahan pencuci, pencelup, racun herba, ubat, bahan pencuci filem fotograf, dan perencat karat. | UMUM | |
AMMONIUM HIDROKSIDA | Ammonium hidroksida lihat Ammonia. | UMUM | |
PROSES HABER | Proses Haber ialah kaedah komersial mengeluarkan ammonia daripada nitrogen dan hidrogen. Fritz Haber, ahli kimia Jerman, mencipta proses ini dan membuktikannya pada tahun 1909. Dia mempatenkan proses ini pada tahun 1910. Seorang lagi ahli kimia Jerman, Carl Bosch, kemudiannya menyesuaikan proses ini untuk kegunaan industri. Proses ini juga dikenali sebagai proses Haber-Bosch . | UMUM | |
OSTWALD, WILHELM | Ostwald, Wilhelm (1853–1932), ahli kimia, penulis, dan guru Jerman, yang menerima Hadiah Nobel tahun 1909 bagi bidang kimia. Dia menerima anugerah ini terutamanya kerana kajiannya tentang fenomena permukaan dan kelajuan tindak balas kimia. Ostwald menulis sebuah daripada buku awal tentang elektrokimia. Penyelidikannya tentang pengoksidaan ammonia membantu Jerman membuat bahan letupan semasa Perang Dunia I (1914–1915). Ostwald lahir di Riga, Latvia. | UMUM | |
BOSCH, CARL | Bosch, Carl (1874–1940) ialah ahli kimia dan usahawan Jerman. Dia menjadi terkenal kerana mencipta proses makmal eksperimen menjadi kaedah pengeluaran komersial. Pada tahun 1910, Fritz Haber mempaten kaedah membuat ammonia daripada hidrogen atau nitrogen atmosfera. Bosch menyesuaikan proses ini bagi penggunaan industri. Dia juga membantu mengembangkan secara komersial proses menghidrogenkan batu arang dan minyak, yang ditemui oleh Friedrich Bergius. Bosch dan Bergius berkongsi Hadiah Nobel tahun 1931 untuk kimia. | UMUM | |