PETREL | Petrel adalah satu daripada sekumpulan besar burung laut. Ia berkeliaran di semua lautan di dunia. Petrel jarang datang ke daratan kecuali semasa musim membiak, atau apabila ia ditiup angin ribut ke pantai. Ia biasanya membuat sarang di belebas yang terlindung atau dalam lubang di sepanjang pesisir. Petrel berwarna hitam, kelabu atau putih. Panjangnya berbeza-beza daripada kira- kira 15 sentimeter hingga 90 sentimeter. Sesetengah petrel mencari makanan dengan menjunam ke dalam air. Tetapi kebanyakan petrel terbang dekat dengan ombak dan mengambil makanan dari permukaan air. | UMUM | |
PERTAHANAN AWAM | Pertahanan awam juga dikenali sebagai perlindungan awam , ialah program yang dibiayai oleh kerajaan, untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda jika musuh menyerang sesebuah negara ketika perang. Ia juga menyediakan pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan untuk orang ramai yang menderita akibat bencana alam seperti banjir, angin ribut, gempa bumi, gunung berapi, kebakaran, dan letupan. Pertubuhan pertahanan awam juga merangka rancangan untuk mengurangkan kesan buruk yang disebabkan oleh kejadian pemberontakan seperti pengeboman dan pencemaran yang teruk atau kemalangan nuklear. | UMUM | |
RIBUT PASIR | Ribut pasir ialah tiupan angin yang membawa pasir ke udara. Kebanyakan pasir yang diterbangkan angin tidak naik melebihi 50 sentimeter tinggi tetapi sesetengah butir pasir mungkin naik kira-kira dua meter tinggi. Purata diameter butir pasir yang dibawa oleh angin adalah antara 0.15 milimeter hingga 0.30 milimeter. Semasa ribut pasir berlaku, angin mencapai kelajuan 16 kilometer sejam atau lebih. Ribut itu mungkin berlaku selama tiga jam hingga lima jam. | UMUM | |
RIBUT DEBU | Ribut debu ialah golakan angin kuat yang membawa zarah tanah liat, kelodak, dan bahan tanah lain dalam jarak yang amat jauh. | UMUM | |
RIBUT | Ribut biasanya merujuk kepada keadaan cuaca yang tidak menyenangkan atau merosakkan yang terdiri daripada hujan, salji, kerpasan sangat sejuk, hujan batu, angin kencang atau gabungan kesemuanya. Ribut adalah siklon atmosfera – iaitu, kawasan tekanan rendah di keliling angin yang berpilin ke dalam. | UMUM | |
KAWAH DEBU | Kawah Debu merujuk kepada siri angin pemusnah dan ribut debu yang melanda Amerika Syarikat pada tahun 1930-an. Ribut ini merupakan antara malapetaka yang paling buruk dalam sejarah dunia. | UMUM | |
TAUFAN | Taufan ialah ribut tropika tekanan rendah yang berlaku di barat Lautan Pasifik. Taufan adalah seakan-akan hurikan (lihat Hurikan ). Taufan bermula berhampiran khatulistiwa dan bergerak ke barat, sambil menambah kekuatan dan saiznya. Ia akan mara dengan perlahan, biasanya lebih kurang 15 kilometer hingga 25 kilometer sejam. Tetapi angin yang berputar di tengah adalah sangat kuat, dengan kelajuan 240 kilometer sejam. Garis pusat sesuatu taufan boleh berukuran 480 kilometer. | UMUM | |
KEMARAU | Kemarau ialah keadaan yang berlaku apabila purata hujan bagi sesuatu kawasan turun jauh di bawah amaun normal bagi tempoh yang lama. Anak sungai, kolam, perigi sering kali kering semasa kemarau. Bekalan air untuk kegunaan pertanian, perindustrian dan persendirian berkurangan dengan banyak. Biasanya tanah atas yang kering dan berderai terbang ditiup angin panas kering (lihat Ribut debu). Di kawasan yang tidak diairi kekurangan hujan menyebabkan tanaman ladang menjadi layu dan haiwan ternakan mati. | UMUM | |