| TELESKOP ANGKASA LEPAS HUBBLE | Teleskop Angkasa Lepas Hubble ialah teleskop pemantul yang dibina sebagai balai cerap dalam orbit. Cermin pengumpul cahayanya yang utama mempunyai diameter 240 sentimeter. Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, The National Aeronautics and Space Administration (NASA), telah melancarkan teleskop ini di atas kapal bolak-balik angkasa lepas pada bulan April 1990. Teleskop ini dinamakan sempena nama ahli astronomi Amerika, Edwin P. Hubble (lihat Hubble, Edwin Powell) . | UMUM | |
| AGENSI ANGKASA LEPAS KEBANGSAAN AMERIKA | Organisasi yang bertanggungjawab dengan hal ehwal angkasa lepas dan bidang astronomi di Amerika Syarikat. | FIZIK | Institusi/Organisasi |
| AGENSI ANGKASA LEPAS EROPAH | Agensi Angkasa Lepas Eropah (European Space Agency - ESA), pertubuhan penyelidikan dan teknologi angkasa lepas yang dianggotai oleh beberapa negara Eropah. | FIZIK | Institusi/Organisasi |
| PENJELAJAHAN ANGKASA LEPAS | Penjelajahan angkasa lepas ialah penerokaan fizik terhadap objek di luar angkasa dan secara amnya apa sahaja berkaitan dengan teknologi, sains dan politik berkenaan usaha ke angkasa lepas. | FIZIK | Kegiatan |
| AGENSI ANGKASA LEPAS EROPAH (ESA), | Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), menggalakkan kerjasama dalam program angkasa lepas dalam kalangan negara Eropah Barat. Agensi ini ditubuhkan pada tahun 1975 melalui gabungan Organisasi Pembangunan Pelancar Eropah (European Launcher Development Organization) dan Organisasi Penyelidikan Angkasa Lepas Eropah (ESRO). Anggota ESA terdiri daripada Austria, Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan United Kingdom. Kanada dan Finland menjadi anggota bersekutu. | UMUM | |
| SHEPARD, ALAN BARTLETT, JR. | Shepard, Alan Bartlett, Jr. (1923–1998), menjadi orang Amerika yang pertama berada di angkasa lepas. Pada 5 Mei, 1961, angkasawan Shepard terbang dengan roket pada jarak 188 kilometer ke angkasa lepas dari Cape Canaveral, Florida. Dia mendarat 15 minit kemudian, pada jarak 486 kilometer di luar Lautan Atlantik. Pada tahun 1971, Shepard mengetuai Apollo 14 melakukan pendaratan kali ketiga di bulan. Dia menjadi angkasawan kelima yang mendarat di bulan. Dia tidak dibenarkan terbang dari tahun 1963 hingga tahun 1969 kerana mengalami gangguan pendengaran. | UMUM | |
| PUSAT ANGKASA LEPAS JOHN F. KENNEDY | Institusi yang menjadi tempat rujukan para angkasawan atau ahli astronomi. | FIZIK | Institusi/Organisasi |
| SINAR KOSMIK | Sinar kosmik ialah zarah bertenaga tinggi yang berasal dari angkasa lepas. Ahli sains berpendapat sinar ini memenuhi Bima Sakti dan juga galaksi lain. Sinar kosmik terdiri daripada zarah subatom yang membawa satu cas elektrik, seperti proton, elektron, dan nukleus atom. Di angkasa lepas, sinar ini bergerak pada kelajuan yang hampir sama dengan kelajuan cahaya, iaitu 299 792 kilometer per saat. | UMUM | |
| TERESHKOVA, VALENTINA VLADIMIROVNA | Tereshkova, Valentina Vladimirovna , (1937– ) ialah angkasawan wanita Soviet yang pertama mengembara ke angkasa lepas. Tereshkova membuat 45 edaran mengelilingi bumi dalam penerbangan yang memakan masa selama 70 jam 50 minit dari 16 Jun hingga 19 Jun 1963 dengan kapal angkasa lepas Vostok VI . | UMUM | |
| YOUNG, JOHN WATTS | Young, John Watts (1930– ) ialah angkasawan Amerika Syarikat. Dia melakukan lebih banyak penerbangan ke angkasa lepas berbanding angkasawan lain. | UMUM | |