| MISTRAL | Mistral adalah angin utara yang sejuk, kering, dan bertiup kencang dari barat Alps dan penara di selatan Perancis dan keluar ke Mediterranean. Udara yang berat dan sejuk dari tanah tinggi bergerak semakin laju apabila menghampiri udara yang lebih panas dan ringan di atas permukaan laut pada musim sejuk. Keadaan ini menyebabkan wujudnya angin kencang secara tiba-tiba, apabila angin sejuk turun ke aras laut dan angin panas bergerak ke atas. Mistral menyebabkan fros berlaku dan menyebabkan kerosakan tumbuhan. Keadaan ini tidak sesuai bagi ladang anggur di selatan Perancis. Angin mistral lazimnya bertiup selama 100 hari dalam setahun. | UMUM | |
| ATOL | Atol ialah lingkaran bulat karang di laut lepas yang terbina di atas tebing yang tenggelam, atau terbentuk di atas kawah gunung berapi yang telah tenggelam di bawah permukaan laut. Umumnya satu lapisan tanah yang nipis terlekat di atas terumbu karang, dan ditumbuhi tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan tropika hidup subur di atas atol, dan ia menjadi pulau karang. Atol mengepungi kolam atau lagun yang cetek. Satu saluran atau lebih biasanya menghubungkan lagun kebanyakan atol dengan laut di sekelilingnya, di bahagian hadap angin. Atol ditemui terutamanya di Lautan Pasifik. Lihat juga Karang . | UMUM | |
| METEOROLOGI | Meteorologi ialah kajian ke atas atmosfera bumi dan perubahan keadaan atmosfera yang mempengaruhi cuaca. Ahli meteorologi mengukur angin, suhu, kerpasan, tekanan udara dan keadaan atmosfera yang lain. Mereka juga mengukur bahan kimia di atmosfera seperti karbon dioksida dan ozon yang mempengaruhi iklim. Dengan menganalisis data tentang atmosfera, ahli meteorologi dapat meramal keadaan cuaca. | UMUM | |
| TAUFAN AIR | Taufan air ialah sejenis puting beliung yang berlaku di atas permukaan tasik atau lautan. Taufan air bermula apabila satu pusat tekanan udara rendah terjadi, menyebabkan angin berpusar. Awan tebal, hitam dan berputar-putar terbentuk, dengan satu gumpalan udara yang berputar-putar mengunjur di bawah awan ke permukaan air. Gumpalan udara ini menjadi kelihatan apabila wap air dalam atmosfera memeluwap dalam gumpalan itu dan air di permukaan disedut naik daripada dasar gumpalan itu. | UMUM | |
| TIBET | Tibet ialah kawasan di sebelah selatan Asia Tengah. Ia selalu digelar Bumbung Dunia. Gunung-ganangnya diseliputi salji dan penaranya yang terdedah kepada angin adalah yang tertinggi di dunia. Gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest, menjulang sepanjang kawasan pergunungan di bahagian selatan Tibet. Ka-erh, di barat Tibet dipercayai bandar tertinggi di dunia. Ia terletak lebih daripada 4570 meter di atas aras laut. Dasar lembah di Tibet lebih tinggi daripada puncak gunung di kebanyakan negara lain. Lhasa ialah ibu negara Tibet. | UMUM | |
| SAYAP KEMENANGAN | Sayap Kemenangan (Winged Victory) ialah sebuah patung Yunani purba yang cantik yang ditemui oleh ahli arkeologi Perancis pada tahun 1863. Patung ini telah pecah dan kesemua 118 keping serpihannya yang dijumpai bertaburan di atas sebuah bukit di pulau lereng, Samothraki (Samothrace), Greece. Patung ini menggambarkan Nike, dewi kemenangan Yunani. Tubuhnya diselubungi pakaian bak ditiup angin sambil membawa mesej kemenangan, penawanan, dan kejayaan daripada dewa-dewa. Dia mempunyai sayap yang melambangkan kepantasan dan kurniaannya, yakni boleh terbang. Ritma komposisi patung ini bergelombang, mungkin melambangkan perjalanan yang sukar untuk mencapai kemenangan. Pengukir patung ini tidak diketahui, tetapi sarjana mentarikhkan patung ini diukir sekitar tahun 180 S.M. Patung ini kini ditempatkan di Louvre, Paris. | UMUM | |
| ARUS LABRADOR | Arus Labrador ialah arus sejuk lautan yang bermula di Lautan Artik. Ia mengalir di sepanjang pantai Labrador, Kanada, sehingga ke suatu tempat yang berhampiran dengan pulau Newfoundland apabila ia bertemu dengan Arus Telukan. Pengaruh Arus Labrador dirasakan di selatan sejauh New England di Amerika Syarikat. Pelabuhan di Labrador terhalang oleh ais selama kira-kira setengah tahun, sebahagiannya disebabkan oleh arus sejuk ini. Tetapi pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan British yang terletak pada latitud yang sama seperti Labrador, tetap dibuka kepada perkapalan sepanjang tahun. Pelabuhan-pelabuhan tersebut bebas daripada ais sebahagiannya disebabkan oleh Arus Telukan yang panas. Apabila udara sejuk di atas Arus Labrador bertemu dengan angin panas dan lembap di atas Arus Telukan, kabus tebal terbentuk di luar pantai. Lihat juga Kabut; Lautan (Bagaimana lautan bergerak). | UMUM | |
| KEMARAU | Kemarau ialah keadaan yang berlaku apabila purata hujan bagi sesuatu kawasan turun jauh di bawah amaun normal bagi tempoh yang lama. Anak sungai, kolam, perigi sering kali kering semasa kemarau. Bekalan air untuk kegunaan pertanian, perindustrian dan persendirian berkurangan dengan banyak. Biasanya tanah atas yang kering dan berderai terbang ditiup angin panas kering (lihat Ribut debu). Di kawasan yang tidak diairi kekurangan hujan menyebabkan tanaman ladang menjadi layu dan haiwan ternakan mati. | UMUM | |