| ARTERI | Arteri ialah nama tiub atau salur darah yang melaluinya darah dipam keluar dari jantung ke berbagai-bagai bahagian tubuh. Darah yang dibawa oleh kebanyakan arteri itu merah terang kerana darah ini telah mengambil oksigen semasa melalui paru-paru. Akan tetapi darah yang mengalir melalui arteri yang menghubungkan ventrikel sebelah kanan jantung dengan paru-paru belum lagi mengambil oksigennya. Darah ini berwarna kecoklat-coklatan. Jika arteri itu terpotong, darah akan memancut keluar secara bersamaan dengan degupan jantung. Vena berbeza daripada arteri oleh sebab vena membawa darah balik ke jantung, bukannya membawa darah keluar dari jantung. Jika vena terpotong maka darah mengalir daripadanya dalam aliran yang sekata. | UMUM | |
| SPIRITUALISME | Spiritualisme ialah kepercayaan bahawa roh orang yang telah mati boleh berhubung dengan orang yang masih hidup. Kepercayaan ini wujud dalam berbagai-bagai bentuk di seluruh dunia. Pergerakan spiritualis moden bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1848. Pada tahun tersebut, dua orang wanita adik-beradik bernama Katherine dan Margaret Fox, dari Hydesville, dekat Rochester, New York, mendengar bunyi ketukan dalam rumah mereka. Mereka tidak dapat mengesan punca yang boleh menyebabkan bunyi ketukan itu. Kedua-dua wanita adik-beradik itu berikhtiar membuat satu kod untuk mentafsirkan bunyi ketukan itu supaya mereka dapat berhubung dengan roh yang dipercayai cuba menghantar isyarat kepada mereka. Peristiwa yang berlaku di Hydesville itu membawa kepada penubuhan beberapa pertubuhan bebas di bawah anjuran gereja dan juga kumpulan falsafah yang lain yang bertujuan untuk mengemukakan idea tentang spiritualisme. | UMUM | |
| GERAKAN PEMBEBASAN PATANI | GERAKAN PEMBEBASAN PATANI, gerakan kaum Melayu Islam Patani berteraskan ikatan etnik dan agama menentang kerajaan Bangkok. Pada awal abad ke-20, tujuh wilayah Melayu bekas Kesultanan Patani ditakluk oleh Negara Thai melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Sejak penaklukan itu, berbagai-bagai dasar integrasi nasional telah dilaksanakan oleh kerajaan Thai. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
| MAJOLICA | Majolica ialah sejenis tembikar yang disepuh dengan oksida timah untuk menghasilkan warna putih yang lembut. Kadang-kadang namanya dieja sebagai maiolica. Reka bentuk dicat pada latar belakang yang putih dengan oksida logam yang lain. Oksida-oksida ini mengubah berbagai-bagai warna pada latar belakangnya apabila tembikar itu dibakar. Majolica diberi nama sempena nama pulau Majorca, Sepanyol, tempat tembikar dieksport ke Itali. Pusat untuk menghasilkan tembikar ini berkembang di seluruh Itali. | UMUM | |
| BAHASA-BAHASA SARAWAK | BAHASA-BAHASA SARAWAK, bahasa-bahasa bumiputera yang ada di Sarawak yang tergolong dalam keluarga Indonesia daripada rumpun Austronesia. Di samping itu, terdapat bahasa-bahasa yang tidak boleh dimasukkan ke dalam keluarga berkenaan kerana bahasa-bahasa itu berasal daripada rumpun yang berlainan. Misalnya bahasa Cina dengan berbagai-bagai dialeknya, dan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua penting di Malaysia. | BAHASA | Bahasa |
| PERTUBUHAN SUKARELA | PERTUBUHAN SUKARELA, badan yang keahliannya secara sukarela. Kebebasan berpersatuan dan kewujudan pertubuhan sukarela adalah satu ciri penting dalam sistem demokrasi. Sungguhpun kebebasan itu perlu disesuaikan dengan keperluan dan kepentingan setempat namun, pertubuhan jenis ini menjadi saluran terpenting bagi manusia memenuhi hasrat dan naluri semula jadi untuk hidup berkelompok atau berkumpulan. Sistem demokrasi menggalakkan kewujudan berbagai-bagai bentuk dan jenis persatuan atau pertubuhan sukarela kerana dengan demikian sahajalah tercapainya suatu bentuk keseimbangan dalam masyarakat yang boleh mengurangkan pula kemungkinan tercetusnya ketegangan yang boleh menggugatkan sistem itu sendiri. | BUDAYA | Persatuan |
| CHEWONG | CHEWONG, kelompok kecil Orang Asli yang tergolong dalam subkelompok Senoi. Dalam banci penduduk pada tahun 1983, kelompok Chewong berjumlah 203 orang. Kelompok itu diberi nama yang berbagai-bagai, antaranya termasuklah Maroi, Jo-Ben, Cho-Ben, Jelbeng, Kleb dan Siwang. Pada masa ini, mereka menyebut diri mereka sebagai Chewong. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |
| BAHASA-BAHASA SABAH | BAHASA-BAHASA SABAH, bahasa penduduk di Sabah yang tidak terbatas kepada mereka yang sudah beratus tahun tinggal di Sabah dan di Kepulauan Melayu, tetapi juga termasuk mereka yang datang dari luar untuk bermastautin di situ. Dengan itu, bahasa yang dituturkan di Sabah tidak terhad kepada bahasa daripada rumpun Austronesia, tetapi juga bahasa dari rumpun yang lain. Golongan kedua ini diwakili oleh bahasa Cina yang terdiri daripada berbagai-bagai dialek, bahasa dari India, dan juga bahasa Inggeris. Di samping itu, terdapat bahasa Chabacano yang pada hakikatnya tidak termasuk dalam mana-mana rumpun, kerana bahasa yang dibawa oleh pendatang Filipina ini merupakan bahasa Kreol, hasil campuran bahasa Filipina, Sepanyol dan Inggeris. | BAHASA | Bahasa |
| PERUMPAMAAN | PERUMPAMAAN, sejenis peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan mengiaskannya kepada perkara lain. Dari segi bentuknya, perumpamaan berbeza daripada bidalan, pepatah dan perbilangan. Cirinya yang berbeza ialah bentuknya yang dua lapis dan menggunakan kata-kata banding: ‘seperti’, ‘bagai’, ‘bak’, ‘laksana’, ‘ibarat’ dan ‘umpama’. Oleh sebab itu maknanya menjadi dua lapis. Perumpamaan berbeza daripada bidalan, pepatah dan perbilangan, yang mempunyai makna selapis. | SASTERA | Konsep |