Saljuk, Kerajaan, sebuah kerajaan yang diasaskan oleh Dinasti Turki-Islam yang memerintah Iran, Iraq, Syria dan negara Asia Kecil pada abad ke-12 dan ke 13 M. Kerajaan Saljuk dinamakan bersempena nama Saljuk, ketua dinasti bangsawan Turki, iaitu al-Ghuzza al-Turkamaniyyah yang pernah berhijrah dan membuat petempatan di Bukhara. Seorang cucu Saljuk, Tughrul Bek telah dilantik memerintah Khurasan pada tahun 429 H./ 1037 M. Sewaktu kekuasaan Bani Buwayh di Baghdad semakin lemah, lebih-lebih lagi setelah mereka melakukan banyak kezaliman, khalifah Abbasiyyah di Baghdad meminta bantuan daripada al-Qa’im ibn Amrillah Tughrul Bek untuk menghapuskan golongan tersebut. Tughrul Bek segera mara ke Baghdad dan berjaya menewaskan mereka. Sebagai membalas jasanya, khalifah Abbasiyyah menganugerahkan gelaran raja kepada Tughrul Bek sambil memberi kuasa pentadbiran pada tahun 447 H./1055 M. |