Safiyyah bint Huyay (?–50 H. / ?–670 M.), salah seorang daripada isteri Rasulullah s.a.w. Nama sebenarnya ialah Safiyyah bint Huyay ibn Akhtab. Dia berasal daripada keturunan Yahudi Bani Nadir yang tinggal di Madinah. Dia diusir dari Madinah bersama kaumnya ke Khaybar. Ayahnya telah bekerjasama menyokong kumpulan Ahzab untuk menentang orang Islam dan telah dihukum bunuh bersama Bani Qurayzah. Safiyyah dikahwini oleh Salam ibn Mashkum al-Qarziy dan kemudiannya bercerai. Seterusnya dia dikahwini oleh Kinanah ibn al-Rabi‘ al- Nadriy. Kinanah terbunuh dalam Perang Khaybar pada tahun ketujuh Hijrah apabila tentera Islam mencapai kemenangan dalam peperangan tersebut. Safiyyah ialah salah seorang tawanan perang tersebut. Dia dimiliki oleh Dahiyyah ibn Khalifah al- Kalbiy tetapi Rasulullah s.a.w. membebaskannya lalu diislamkannya dan dikahwininya. Hadith yang diriwayatkannya daripada Rasulullah adalah sedikit iaitu 10 hadith. Dia meninggal dunia di Madinah pada zaman pemerintahan Khalifah Mu’awiyah. Lihat Isteri- isteri Rasulullah s.a.w. |