SYED SYEIKH AHMAD AL-HADI | Syed Syeikh Ahmad al-Hadi (1867–1934) ialah penulis dan wartawan. Ketika berumur 14 tahun, dia dibawa oleh ayahnya ke Pulau Penyengat, Riau, Sumatera untuk berguru dengan Raja Ali Haji mengenai agama, bahasa Melayu dan Arab. Dia kemudiannya dihantar ke Makkah, Beirut dan Kaherah untuk memperluaskan pengetahuannya. Semasa berada di Kaherah, dia menimba ilmu daripada Syeikh Muhammad Abduh, iaitu seorang tokoh gerakan pembaharuan Islam di Timur Tengah. | UMUM | |
MAHDIY, MUHAMMAD AHMAD AL- | Mahdiy, Muhammad Ahmad al- (1260 H.– 1302 H./1844 M.–1885 M.), tokoh politik dan pemimpin agama di Sudan. Nama sebenarnya ialah Muhammad Ahmad ibn al-Sayyid ‘Abdullah yang juga digelar al-Mahdiy. Dia lahir di Pulau Labab di wilayah Danqala, di utara Sudan. Bapanya bekerja dalam industri pembuatan kapal layar di Sungai Nil, dan berasal daripada keluarga bangsawan. Dia mempelajari al-Qur’an di Khartoum sambil berguru kepada Syeikh Muhammad al-Khayr dalam bidang fiqah. Dia cenderung kepada bidang tasawuf. Oleh sebab itu, dia berguru dengan Syeikh Muhammad Sharif Nur al-Da’im, guru tarekat sufi al-Samaniyyah pada tahun 1273 H./1861 M. sehingga bertaraf syeikh (imam/guru). Dia kemudiannya pergi ke Pulau Aba lantas membina sebuah masjid untuk tujuan ibadat dan pengajian. Dakwahnya mendapat sambutan ramai di wilayah Jazirah yang terletak di tengah Sudan. Sepanjang tahun 1295 H./1876 M., al-Mahdiy dan gurunya, Muhammad Syarif sentiasa berselisih pendapat hinggakan mereka berpisah. Selepas itu, dia bergabung dengan Syeikh al- Qurshiy, salah seorang guru tarekat Samaniyyah sehingga Syeikh al-Qurshiy meninggal dunia. Dia diamanahkan untuk menggantikan tempat Syeikh al-Qurshiy dan menjadi guru tarekat Samaniyyah. Semasa berada dalam tarekat ini, dia berkenalan dengan ‘Abdullah al-Ta‘ayushiy. | UMUM | |
SHIRAZIY, ABU ISHAQ AL- | Shiraziy, Abu Ishaq al- (393–476 H. / 1003–1084M.), ahli fiqh, sejarawan dan juga sasterawan. Nama penuhnya ialah Ibrahim ibn ‘Ali ibn Yusuf al- Shiraziy al-Shafi’iyy Abu Ishaq. Dia lahir di Fayruz Abad dan menghabiskan zaman kanak-kanaknya di sana. Kemudian dia berhijrah ke Shiraz dan Basrah serta Baghdad. Dia berguru daripada ulama-ulama terkenal di sana seperti Abu ‘Abdullah al-Baydawiy, Abu Hatim al-Qazwiniy, al-Zujjaj, Abu Bakr al-Barqaniy dan Abu al-Tayyib al-Tabariy. Walau bagaimanapun berlaku sedikit perselisihan antaranya dengan al-Tabariy dalam pengajiannya. Ramai tokoh yang berguru padanya. Antaranya ialah Abu ‘Abdullah al-Hamidiy, Abu al-Qasim al- Samarqandiy dan Abu al-Hasan ibn ‘Abd al-Salam dan ramai lagi. Al-Shiraziy sendiri pernah berkata: “Semasa saya pergi ke Khurasan, di sana saya tidak temui walau seorang kadi, mufti mahupun khatib melainkan semuanya terdiri daripada murid-murid dan sahabat saya”. Al-Shiraziy mengarang beberapa buah buku yang menjadi bahan rujukan dalam mazhab Syafi’i. Antaranya seperti al-Tabsirat fi Usul al-Fiqh, al-Lam ’ fi Usul al-Fiqh’ al- Nakt fi al- Khilaf wa al-Tanbih’ al-Muhadhdhib Tabaqat al- Fuqaha’. Al-Shiraziy meninggal dunia di Baghdad. | UMUM | |
SYEIKH BURHANUDDIN ULAKAN | SYEIKH BURHANUDDIN ULAKAN ( ? - 1690), ulama Indonesia. Beliau berasal dari Minangkabau. Nama beliau semasa kecil ialah Si Pono. Ayahnya bernama Pampak. Beliau suka mengikut ayahnya berniaga di pekan Batang Bengkawas. Pada tahun 1559, beliau mengikut ayahnya yang masih beragama Buddha berpindah ke Sintuk. Kemudian, mereka berpindah pula ke Ulakan. Syeikh Burhanuddin meneruskan perjalanan ke Aceh dan berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Singkel. Beliau berguru selama 13 tahun dan ada pendapat lain mengatakan beliau berguru dengan Syeikh Abdul Rauf selama 30 tahun. Rakan seperguruannya yang lain ialah Syeikh Tajul Khalwati (Bugis) dan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (Terengganu).
| SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SYEIKH OSMAN JALALUDDIN | SYEIKH OSMAN JALALUDDIN (1880-1952), ulama dan penulis. Beliau lahir di Kampung Panjang, Sering, Kota Bharu, Kelantan. Beliau berasal daripada keluarga yang berada. Ayahnya ialah seorang bomoh terkenal yang boleh mengubati penyakit gila dan penyakit puru. Beliau mendapat pendidikan awal daripada Haji Jamal Perupuk dengan mempelajari kitab-kitab agama dalam tulisan Jawi. Beliau kemudiannya berguru dengan Dato’ Mufti Haji Wan Ahmad di Kota Bharu, Kelantan dan juga pernah belajar agama di Sungai Pinang. Selepas beberapa tahun belajar di Kelantan, beliau melanjutkan pelajarannya di Makkah. Di Makkah, beliau berguru dengan beberapa orang ulama terkenal. Setelah berada di Makkah selama empat tahun, akhirnya beliau pulang ke tanah air. Di Kelantan, beliau terus menyambung pelajarannya di Pondok Tuk Kenali, seorang ulama yang terkenal di Kelantan. Beliau dilantik sebagai pembantu Tuk Kenali dan mengajar kitab fiqah kepada pelajar di pondok itu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SALLEH AL-MASRI | SALLEH AL-MASRI (1875 – 1971), ulama dan pengasas Madrasah al-Masriah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Dia berasal dari Kampung Rasah, Seremban, Negeri Sembilan. Nama sebenarnya ialah Mohd. Salleh al-Masri bin Baki. Dia menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Nanas, Seremban. Selepas tiga tahun belajar di sekolah ini, dia mempunyai kecenderungan untuk belajar agama. Keinginan ini mendapat restu daripada orang tuanya. Akhirnya Salleh al-Masri bersama-sama dua orang sepupunya dihantar berguru di Bersilam Langkat, Sumatera, Indonesia. Di Bersilam Langkat, dia berguru dengan Syekh Abdul Wahab. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SHAYBANIY, MUHAMMAD IBN AL-HASAN AL- | Shaybaniy, Muhammad ibn al-Hasan al- (131–189 H. / 748–804 M.), ahli fiqh dan ahli hadith. Nama sebenarnya ialah Muhammad ibn al- Hasan al-Shaybaniy. Dia juga seorang hafiz al- Qur’an dan mempunyai gaya bacaan yang amat menarik. Al-Shaybaniy memulakan pengajiannya dengan mempelajari hadith, kemudian fiqh dengan Abu Hanifah dan berguru pula kepada Abu Yusuf selepas kematian Abu Hanifah. Dia turut mendengar syarahan ilmu daripada para imam besar seperti Imam Malik, Imam Syafi’i, Imam al- Awza’iy dan Imam al-Thawriy. Khalifah Harun al- Rasyid melantiknya sebagai kadi di al-Riqqah. Kemudian al-Shaybaniy digugurkan daripada jawatan itu, tetapi diminta oleh khalifah agar sentiasa bersama-samanya di istana dan dia menerima pelawaan itu. Muhammad ibn al-Hasan amat mahir dalam fiqh mazhab Hanafi dan banyak mengarang kitab yang menjadi rujukan pertama dalam mazhab Hanafi. Antaranya seperti al-Mabsut, al-Ziyadat, al-Jami ’ al-Saghir, al-Jami ’ al-Kabir, al-Sayr al-Saghir, al-Sayr al-Kabir. Di samping itu, dia menulis kitab al-Athar dan al-Radd ‘ ala Ahl al-Madinah. Dia meninggal dunia di sebuah kampung di Rayy. | UMUM | |
ZIRIKLIY, KHAYR AL-DIN AL- | Zirikly, Khayr al-Din al- (1310 H–1396 H/ 1793 M–1976 M) ialah sasterawan, penyair, dan pengarang. Nama penuhnya ialah Khayr al-Din ibn Mahmud ibn Muhammad ibn ‘Ali ibn Faris al-Zirikliy al-Dimashqi. Dia lahir di Beirut. Ibu bapanya berasal dari Damsyik. Dia dibesarkan dan mendapat pendidikan di Damsyik serta berguru dengan para ulama di sana. Kemudian, dia menumpukan perhatian dalam bidang sastera dan berjaya menerbitkan majalah mingguan yang bertajuk al-Asma’i. | UMUM | |
ABU ZAYD AL-ANSARIY | Abu Zayd al-Ansariy ( ?–251 H./ ? –830 M.), pakar ilmu nahu dan pengarang buku-buku sastera dan bahasa. Nama penuhnya ialah Sa‘id ibn Aws ibn Thabit al-Ansariy. Dia ialah imam yang terkenal. Dia mampu menguasai ilmu bahasa dan ilmu-ilmu yang sukar dikuasai oleh orang lain. Dia berguru dengan Abu ‘Amru ibn al-‘Ala’, Ru’yah ibn al-‘Ajaj, ‘Amru ibn ‘Abid, Abu Hatim al-Sajistaniy, Abu ‘Ubayd al-Qasim ibn Salam, ‘Umar ibn Shu‘bbah dan sekumpulan tokoh lain. Abu al-‘Abbas pernah berkata, “Abu Zayd seorang yang berkebolehan dalam ilmu nahu tetapi masih tidak mampu menyaingi al-Khalil dan Sibawayh. Sekalipun Yunus menyamainya dalam penguasaan ilmu bahasa, namun Yunus lebih mengatasinya dalam ilmu nahu. Abu Zayd ialah orang ketiga dalam penguasaan ilmu nahu”. | UMUM | |
SHARBINIY, SYAMS AL-DIN AL- | Sharbiniy, Syams al-Din al ( ? – 977 H. / ? –1569 M.), ahli fiqh mazhab Syafi‘i, ahli tafsir dan juga pakar nahu. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Ahmad al-Sharbiniy al-Qahiriy yang lebih dikenali dengan nama al-Khatib al-Sharbiniy Syams al-Din. Dia lahir di Kaherah dan berguru dengan para sarjana Mesir pada zamannya. Dia mengeluarkan fatwa dan mengajar ilmunya semasa guru-gurunya masih hidup. Orang sezamannya memperakui kebaikan, kelebihan dan kezuhudannya dalam hal keduniaan. Antara buku karangannya ialah al-Siraj al-Munir fi al-I‘anah ‘ala Ma‘rifat ba‘du Ma‘aniy Kalam Rabina al-Hakim al-Khabir, al-Fath al-Rabbaniy fi Hilliy Alfaz Tasrif ‘Izz al-Din al-Zanjaniy dan Sharh Minhaj al- Din li al-Jurjaniy fi Sha‘biy al-Iman. | UMUM | |