PERJANJIAN SAINT GERMAIN | Perjanjian Saint Germain. Kuasa Berikat dalam Perang Dunia I (1914–1918) dan republik Austria menandatangani Perjanjian St. Germain pada 10 September 1919. 27 buah negara Berikat dan negara gabungan menandatangani perjanjian ini yang memansuhkan kuasa Austria. Hanya Romania dan juga negara yang kemudiannya dikenali sebagai Yugoslavia merupakan dua negara Berikat yang melambat-lambatkan proses menandatangani perjanjian ini. Kedua-dua negara ini tidak bersetuju dengan jaminan perjanjian yang diberikan kepada kumpulan minoriti. Setelah beberapa bulan berlalu, barulah mereka berjaya dipujuk untuk menandatangani dokumen ini. Perhimpunan Kebangsaan Austria mengesahkan perjanjian ini pada 17 Oktober 1919, dan perjanjian ini berkuat kuasa pada 16 Julai 1920. | UMUM | |
TIKUS TOBRUK | Tikus Tobruk ialah pasukan tentera Pihak Berikat dalam Perang Dunia II, yang mampu bertahan dalam satu pengepungan selama lapan bulan, semasa kempen Afrika Utara pada tahun 1941. Pasukan tentera Berikat telah dikepung oleh Kor Jerman Afrika di Tobruk, yang terletak di pesisiran pantai Libya, setelah keseluruhan Tentera Inggeris berundur dari situ. Mereka bertahan dari 11 April hingga 10 Disember, apabila tentera Jerman menghentikan kepungan itu. | UMUM | |
PERJANJIAN TRIANON | Perjanjian Trianon ditandatangani oleh Hungary dan Berikat Barat selepas Perang Dunia I (1914–1918). Perjanjian itu ditandatangani di galeri Grand Trianon, iaitu istana di Versailles, Perancis pada 4 Jun 1920. Perjanjian ini menghukum keras Hungary kerana penglibatannya dalam peperangan. Amerika Syarikat, yang turut menandatangani perjanjian ini, tidak pernah meratifikasikannya tetapi membuat perdamaian yang berasingan dengan Hungary pada tahun 1921. | UMUM | |
PERSIDANGAN TEHRAN | Persidangan Tehran ialah mesyuarat pertama pemimpin utama negara Berikat semasa Perang Dunia II. Pemimpin-pemimpin ini dikenali sebagai Tiga Kuasa Besar, iaitu Perdana Menteri Great Britain , Winston Churchill; Presiden Amerika Syarikat, Franklin Delano Roosevelt; dan Perdana Menteri Kesatuan Soviet, Joseph Stalin. Mesyuarat ini juga ialah persidangan kemuncak yang pertama melibatkan ketua-ketua Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Persidangan ini diadakan dari 28 November hingga 1 Disember 1943, di Tehran, ibu negara Iran. | UMUM | |
SIMPSON DAN KELDAINYA | Simpson dan keldainya menjadi terkenal kerana membantu tentera Berikat yang cedera semasa pendaratan angkatan Anzac di Gallipoli semasa Perang Dunia I (1914–1918). | UMUM | |
PERANG KRIMEA | Perang Krimea (1853–1856) ialah perang antara tentera Rusia dengan tentera Berikat dari Perancis, Empayar Uthmaniyyah (kini Turki), Sardinia–Piedmont, dan United Kingdom. Nama perang ini berasal daripada Semenanjung Krimea, sebuah kawasan yang kini terletak di Ukraine, tempat kebanyakan perang itu berlaku (lihat Krimea ). Perang bermula daripada pertelingkahan tentang status Gereja Ortodoks Kristian dalam Empayar Islam Uthmaniyyah. Bagaimanapun, sebab-sebab jangka panjangnya adalah lebih kompleks. Austria, Perancis dan United Kingdom mula gusar terhadap cita-cita Rusia di rantau Balkan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang dasar peluasan kuasa Rusia di rantau itu. | UMUM | |
PERJANJIAN SÈVRES | Perjanjian Sèvres. Pada akhir Perang Dunia I (1914–1918), Empayar Uthmaniyyah Turki dan Pihak Berikat menandatangani Perjanjian Sèvres di Sèvres, Perancis. Perjanjian tersebut telah ditandatangani pada 10 Ogos 1920 dan menandakan titik kelemahan kuasa dan sejarah Turki. Perjanjian tersebut menyatakan bahawa Syria , Palestin dan Mesopotamia (kini Iraq) akan “diiktiraf sebagai negara yang merdeka dengan kuasa mandatori sebagai penasihat”. | UMUM | |
ASKAR YANG TIDAK DIKENALI | Askar yang tidak dikenali. Selepas Perang Dunia I (1914–1918), pegawai negara-negara Berikat menemui banyak mayat askar yang tidak dapat dikenali. Kerajaan Belgium, Perancis, Great Britain, Itali, dan Amerika Syarikat mengambil keputusan memberikan suatu bentuk penghormatan sebagai tanda mengingati askar ini. Setiap kerajaan memilih satu simbol yang mewakili askar mereka yang tidak dikenali, mengebumikan sisa mayat itu di dalam atau berhampiran dengan ibu negara dan membina satu tugu peringatan untuk mengenang jasa askar tersebut. Belgium menempatkan askar yang tidak dikenali di sebuah kawasan perkuburan di dasar Colonnade of the Congress di Brussels. Perancis pula mengebumikan askar yang tidak dikenalinya di bawah Arc de Triomphe di Paris dan menyalakan obor di atas makam tersebut. | UMUM | |
DUNKERQUE | Dunkerque (pend. 73 120; pend. kaw. met. 200 000) ialah pelabuhan Perancis dan pusat kawasan industri serta tempat pemindahan tentera Berikat yang penuh dramatik dalam Perang Dunia II. | UMUM | |
ORLANDO, VITTORIO EMANUELE | Orlando, Vittorio Emanuele (1860–1952), berkhidmat sebagai perdana menteri Itali dari tahun 1917 hingga tahun 1919. Dia memegang jawatan sebaik-baik sahaja selepas tentera Itali mengalami kekalahan teruk dalam Perang Dunia I. Dia berusaha untuk menaikkan semangat orang awam dan tentera yang berdisiplin membantu Itali dalam perang, bersama-sama tentera Berikat, sehinggalah pihak Berikat mencapai kemenangan pada tahun 1918. Selepas perang, dia mengetuai delegasi Itali ke Persidangan Keamanan Paris pada tahun 1919. Dia meninggalkan persidangan itu buat sementara waktu kerana memprotes pihak Berikat yang tidak memenuhi tuntutan Itali terhadap bekas wilayah Austria. Penentangnya dalam Parlimen kemudian memaksa dia meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. | UMUM | |